Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tak payah gaduh-gaduh - Faizah Elai

TAK terbilang banyaknya kes salah faham antara artis dengan wartawan hiburan direkodkan dalam direktori industri seni tempatan. Macam-macam jenis kes. Kadang-kadang boleh gelak bila selidik punca tercetusnya masam muka antara kedua-dua entiti berpengaruh itu. Selalunya, ia berpunca daripada perkara kecil tapi gegak gempita boleh kecoh satu Malaysia. Macam kena gigit semut, bila digaru lama-lama jadi kudis dan parut. Situasi pergaduhan artis dan wartawan hiburan kerap terjadi bila artis tak puas hati dengan tulisan wartawan tentang dirinya. Macam-macam diluah, dikeji, dimaki kerja wartawan hiburan sama ada dalam bentuk sindiran atau perumpamaan. Kami dikata tak profesional, tak ada etika kewartawanan, dengki, jahat dan sengaja tutup rezeki si artis. Semua kata nista itu bagaimanapun hanya dikongsi dengan rakan-rakan alam maya si artis yang menuding kesilapan kepada wartawan hiburan. Jarang luahan itu dibuat secara bersemuka dengan wartawan hiburan itu sendiri. Artis suka kongsi masalah bergaduh dengan wartawan bersama peminatnya sebab cara itu lebih selesa. Artis juga ada maruah diri. Mereka pun nak raih sokongan peminat yang sentiasa bagi sokongan padu walaupun dia berada di pihak yang salah. Cerita ini benar dan saya sendiri pernah merasai penangan salah faham dengan artis bila mana si artis terlebih dahulu curahkan masalah salah faham itu di laman sosial. Bila dah banyak dapat komen dan sokongan daripada peminat, baru si artis rujuk masalah tersebut pada saya. Cara itu memang menyedihkan sebab bagi saya masalah itu boleh diselesaikan secara rasional. Tak perlu beremosi. Biarlah, saya tak nak ulas panjang sebab itu cerita lama. Saya juga minta maaf kalau ada silap dan sedia bersemuka dengan artis itu. Sebab apa kebanyakan wartawan hiburan tak ambil kisah dengan cerita masam muka ini? Sebab utamanya wartawan juga manusia biasa. Ada masa buat silap. Kami tahu batasan sebab itu tak pernah berkongsi dengan media tak rasmi seperti blog atau Facebook kalau ada masalah dengan artis tertentu. Kenalah guna media rasmi, baru adil. Saya tak faham kalau ada segelintir artis dakwa wartawan hiburan gunakan surat khabar sebagai medium rasmi tempat untuk ‘mengaibkan’ artis.. Kalau nak tahu, wartawan surat khabar cukup tolenrasi. Mereka tak akan boikot artis yang cuba memperbetulkan kenyataan kalau artis itu nak buat. Kami bersikap terbuka untuk menyiarkan kembali pembetulan kenyataan artis itu jika ada kesilapan. Artis kena ingat yang wartawan hiburan bekerja dengan surat khabar, bukan pemilik keseluruhan syarikat surat khabar itu. Wartawan tak untung apa-apa kalau bergaduh dengan artis. Sebab itu wartawan hiburan tak pernah gentar kalau ada artis ugut nak bagi surat saman. Alah, dah jadi makanan harian dah. Kenapa wartawan hiburan tak takut? Sebabnya, wartawan tak bergantung pada cerita seorang artis untuk melariskan surat khabar setiap hari. Surat khabar tetap dijual walaupun tanpa cerita hiburan. Seseorang wartawan hiburan tak untung apa-apa kalau seseorang artis yang keluar di surat khabarnya mendapat tawaran jadi duta kecantikan atau barangan berjenama bernilai jutaan ringgit. Sebabnya, wartawan tahu artikel yang ditulis tentang seseorang artis itu bukan boleh mempengaruhi mana-mana pihak yang ‘berkenan’ dengan artis kalau memang dah rezeki artis itu. Jadi, selepas ini artis tak perlu nak paranoid dengan tulisan wartawan hiburan dalam surat khabar tak kira dalam ruangan gosip ataupun artikel. Kenapa saya cakap begitu? Sebab apa yang artis fikirkan ketika itu adalah persepsi semata-mata. Mana boleh kita samakan kritikan yang ditulis seseorang wartawan itu bermotifkan untuk menjatuhkan maruah seseorang artis itu? Saya sedar itu dah jadi darah daging artis kita hari ini. Pandangan itu juga jadi pencetus utama kepada isu pergaduhan antara artis dengan wartawan hiburan hari ini. Walaupun zaman dan tahun silih berganti, tapi perangai artis kita tetap tak berubah. Jadi, selepas ini jika ada artis nak lancar perang dengan wartawan hiburan, baik fikir banyak kali. Sebab pergaduhan akan menjahanamkan keharmonian hubungan antara artis dan wartawan hiburan. Perkelahian itu tak ada faedah langsung! Iindustri hiburan kita ini kecil sahaja. Ke mana pergi pun pasti bersua muka yang sama.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails