Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kalau boleh jangan tanya - Anzalna

SISI peribadi seseorang sememangnya tidak akan lagi menjadi satu perkara rahsia andainya anda memilih jalan untuk menjadi seorang artis atau selebriti. Dalam hal ini, Nur Anzalna Md Nasir, 24, juga tidak terkecuali. Lantaran itu, jangan pelik jika kisah cinta pelakon baru ini dengan jejaka bernama Mohamad Hanif Mohamad Zaki, 24, menjadi bahan tatapan umum. Itulah harga yang harus dibayar oleh Anzalna di saat dia memilih lapangan seni hiburan sebagai kerjayanya. Bahkan, semakin namanya meningkat naik, semakin banyak pihak yang mahu tahu dan mengorek kisah peribadinya. Dek kerana banyak pendedahan terbuka mengenai kisah cintanya dengan kekasih hati, ada pihak yang melahirkan rasa mual dengan wanita ini. Menyelami perasaan sebenar Anzalna, pelakon drama bersiri Mahabbah ini mengaku, kadangkala dia tidak mampu menahan rasa bosan apabila seringkali disoal pihak media mengenai hal yang sama. Kata Anzalna, meski tahu dirinya kini merupakan seorang figura umum, dia mengaku tidak dapat mengelak daripada soalan-soalan cepu emas daripada pihak media tentang buah hatinya itu. “Memanglah kadang-kadang rasa macam malas nak jawab sebab isunya sama saja. Isu tentang kisah cinta saya dan dia. “Saya lebih suka kalau orang bertanya mengenai kerjaya saya berbanding hal peribadi. “Kalau boleh jangan tanya langsung, tapi saya faham, lumrah artis, mana boleh lari daripada soalan-soalan macam ni. Hendak tak hendak saya harus memberikan jawapan yang terbaik. “Lagi satu, saya takut juga kalau orang bosan. Iyalah, balik-balik cerita hal teman lelaki. Macam tak ada benda lain nak cakap," katanya. Tahu bahawa keterbukaannya mengenai hal peribadi mungkin menyebabkan sesetengah pihak kurang selesa, Anzalna bagaimanapun mengaku dia lebih suka berterus-terang. “Daripada saya menipu dan kata tak ada teman lelaki, tetapi kemudiannya orang dapat tahu dan ternampak saya keluar bersama, itu lebih buruk. “Jadi lebih baik saya cakap apa yang benar. Mungkin ada sesetengah artis lebih suka berteka-teki. Saya tak mahu begitu, " katanya. Teman lelaki sensitif Berkongsi lanjut mengenai isu itu, kata Anzalna, apa yang dibimbangkan bagaimana untuk mengimbangkan publisiti mengenai kisah cinta agar apa yang disiarkan di dada akhbar tidak keterlaluan. Jelas Anzalna, semestinya ia adalah dari sudut bagaimana untuk menjaga hati kekasihnya agar apa yang diceritakan kepada media tidak mengguris perasaan lelaki itu. “Apa yang orang tak tahu ialah Hanif adalah seorang lelaki yang sensitif. Sebab itu kadang-kadang saya risau jika ada cerita yang bukan-bukan tentang saya atau kami disiarkan media. “Mujurlah setakat ini tak ada. Malah saya pun berhati-hati dengan sebarang kenyataan saya. Bukan apa, banyak hati yang perlu dijaga," katanya. Pun begitu, apa yang melegakan hati Anzalna ialah, teman lelakinya itu kini sudah semakin pandai menyesuaikan diri dengan publisiti dan pihak media. “Kalau dulu mungkin sedikit susah untuk dia berdepan dengan publisiti dan tidak biasa dengan keadaan itu. “Tapi sekarang saya tengok dia dah boleh menyesuaikan diri dan saya harap ia akan berterusan, "katanya. Dalam pada itu, menurut Anzalna yang kini muncul berlakon dalam drama bersiri Indera Joned, dia bertuah kerana teman lelakinya tidak pernah melahirkan rasa tertekan setiap kali dia mendedahkan cerita cinta mereka kepada media. “Ada orang yang tak biasa dengan publisiti mungkin akan berasa tertekan dengan setiap pendedahan yang diterima mereka. "Tapi mujurlah sama ada saya atau dia, kami berdua belum lagi sampai ke tahap itu. Apa pun, saya tahu apa yang perlu saya titik beratkan ialah menjaga tingkah-laku saya, "katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails