Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Menjenakakan bahasa Melayu
BERANI Punya Budak (BPB) sebuah lagi filem kita meniru filem aksi Thailand sepenuhnya. Aktor Thailand dipinjam. Hampir keseluruhan latarnya di Thailand. Sehingga wira utamanya, Pairot lakonan Mike B berkata pemandangan yang indah di sana mewajarkan filem ini dibuat.
Persoalannya mengapa latar dan aksi mereka? Sedangkan filem ini filem kita. Baru-baru ini TV3 ada memutarkan kembali filem klasik kita berjudul Harimau Jadian. Aksi silatnya memang aksi kita yang sewajarnya dibanggakan dalam filem kita.
Walaupun Afdlin Shauki (watak Tong / Shuhaimi) ditulis sebagai watak utama namun peranannya dalam naratif tidak lebih sekadar pelakon pembantu semata-mata. Nabil dan Awie memegang watak jahat. Detektif Mazlan-Johan pula penyiasat abnormal. Sekali kelihatan seperti Sindrom Down. Begitulah nasib filem kita ini.
Atau beginilah nasib filem yang diadaptasikan. Asalnya naskhah ini dari pada filem Brave terbitan Film Frame Productions. Kononnya cuba disesuaikan dengan budaya kita. Budaya berkaitan bangsa, bahasa, agama dan wilayah kekuasaannya. Afdlin terpaksa merombak semula kira-kira 30 peratus skrip asal Brave.
Bukanlah ingin menilai kejayaan adaptasinya. Namun apa yang dapat kita lihat inilah hasilnya. Pelakon dan latar mereka. Kumpulan pelakon kita hanya sampingan semata. Tiada peranan signifikan. Malah personaliti artis kita menjadi sendaan. Bisik Awie dalam hati," Aku bukan Awie, aku John." Begitu Awie dibisukan, digengsterkan dan akhirnya dikalahkan oleh Pairot.
Barangkali yang dapat dibanggakan ialah bahasa pertuturan filem ini iaitu bahasa kita. Sementelah ada filem kita yang menggunakan bahasa asing. Namun kebanggaan itu tidak bertahan lama. Apabila lenggok pertuturan mereka dijadikan bahan kelucuan. Mengapa lenggok pertuturan watak-watak filem ini dimanipulasikan demikian rupa? Alih suara (dubbing) bukanlah baharu dalam bidang perfileman dan penyiaran. Ia menyebarluaskan pasaran karya ke berbagai negara di dunia.
Di negara kita sejarah alih suara sangat popular dalam anime Jepun dan animasi asing. Anime Jepun Doraemon sehingga Crayon Shin Chan, animasi asing pula paling popular Spongebob Squarepants. Alih suara ke bahasa kita dijayakan dengan profesional. Ia berjaya kerana intonasi bahasa kita dituturkan secara normal tanpa mengurangkan kualiti komedi dan kelucuan yang menjadi elemen penting dalam anime dan animasi.
Tanpa perlu berfikir serius dan berat, fakta yang membuatkan kita tersenyum ialah keupayaan bahasa kita menjadi bahasa perantara karya asing kepada penonton kita. Maka berbanggalah dengan bahasa kita. Berbanggalah dengan segala yang kita ada. Saya kira animasi Inggeris iaitu Jimmy Neutron adalah alih suara paling berjaya dengan elemen komedi dan lucu tanpa mencicirkan elemen eksperimental kreativiti saintifik yang menjadi nadinya.
Berbalik pada filem Berani Punya Budak ini, alih suara ke bahasa kita bermula apabila babak imbas kembali melalui penceritaan Tong. Awalnya alih suara meniru lenggok pertuturan suara yang biasa kita dengar. Kemudian ia berputar arah menjenakakan bahasa kita melalui alih suara itu dengan mempersendakan intonasi sebutan dan mempertentangkan dialog dengan aksi watak. Aksi sepenuhnya namun dialog alih suara telah menjadi bahan jenaka dan kelucuan yang melampau-lampau sehingga tamat filem.
Kononnya satu lagi perkembangan dalam industri filem komedi kita iaitu menjenakakan bidang alih suara bahasa kita. Kalau berjaya mungkin banyak lagilah filem asing dialih suara dengan menjenakakan bahasa kita. Malah seperti terdapat keinginan meluap-luap untuk mempersendakan kejayaan alih suara karya asing selama berdekad-dekad kepada penonton kita. Saya lihat usaha alih suara meninggikan martabat bahasa kita, menghormati kekuasaan bahasa kita dalam wilayahnya, dan membanggakan identiti kita melalui bahasa kita.
Jika pendapat saya ini dibangkang maka tanyalah diri sendiri apa maknanya filem kita wajah kita? Atau kita sekadar inginkan generasi penonton sekadar duduk, kunyah bertih jagung tanpa sebarang khasiat dan sedut air berkarbonat yang terlebih paras gulanya. Tonton sampai rabun mata dan ketawa sampai terpulas urat perut, kemudian bangun dan jadikan kawan-kawan kita yang belum menonton filem itu secemburu mungkin. Inikah minda kita harapkan tumbuh sihat dalam hati budi generasi sesudah separuh abad merdeka?
Mari luaskan pandangan dan dalami lagi akar kita membikin filem. Percayalah mereka tidak berani menganggap bahasa kita rendah, menganggap bangsa kita lemah dan wilayah kita huduh. Bermula penjenakaan bahasalah menyebabkan aksi dan pelakon mereka ditonjolkan dan latar mereka dimegahkan namun tiada segan silu mengisytiharkannya sebagai filem kita. Nah, Jimmy Neutron mengatasi Berani Punya Budak, perbezaannya pembaca renungkan sendiri.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]