Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Lisa Surihani Amalkan 'Diet Dukan' Seperti Kate Middleton

PETALING JAYA: Aktres Lisa Surihani yang mengalami kenaikan berat badan sejak kebelakangan ini berhasrat untuk mengamalkan sistem diet Dukan Diet seperti dipraktikkan kebanyakan wanita Perancis dan isteri kepada Putera William iaitu Kate Middleton. Lisa, 26, berkata, sejak mengalami kenaikan berat badan sebanyak 4 kilogram daripada berat ideal, dia berasa terpanggil untuk mencuba sistem diet yang diasaskan doktor dari Perancis, Pierre Dukan itu yang menekankan kepada pengambilan protein. "Saya sudah selidik dan melakukan pembacaan di Internet dan buku-buku kesihatan. "Sistem diet Dukan ini bukan sahaja popular dan diamalkan di kalangan wanita-wanita Perancis, malah ia turut diamalkan Kate Middleton. "Keberkesanan pelan itu menerusi kaedah pemakanan dan senaman yang sihat dan selamat membuatkan saya mahu mendalami sistem ini dan mencubanya," katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini. Isteri kepada pengarah filem Yusry Abdul Halim ini berkata, perubahan pada fizikalnya tiada kaitan dengan dakwaan kononnya dia sedang berbadan dua.
"Perubahan ini tiada kena-mengena dengan dakwaan kononnya saya sedang mengandung dan mahu merahsiakannya. "Mungkin saya bahagia dengan kehidupan sekarang, sebab itu badan naik sikit. "Kalau saya mengandung pada masa akan datang, saya tidak akan buka cerita dulu melainkan apabila tiba masa yang sesuai untuk berkongsi," ujarnya. Mengenai alam rumah tangga yang dilaluinya sejak 23 Februari lalu, Lisa berkata, dia berasa bahagia dengan perkembangan kehidupannya selepas bergelar isteri. "Mungkin ia kedengaran klise tetapi terus-terang saya katakan, perkara terbaik sejak berkahwin adalah ketika saya pulang ke rumah dan dapat menghabiskan masa bersama Yusry. "Hilang segala kepenatan bekerja di luar apabila kami dapat berbual dan berkongsi pendapat mengenai pelbagai hal. "Sejak awal lagi, kami amalkan perbincangan dalam segenap keputusan yang hendak dibuat dan perkara itu menjadikan kami lebih mengenali antara satu sama lain," katanya.

Ammar sudah banyak kali ajak kahwin - Puteri Saleha

PELAKON yang dikenali menerusi drama bersiri Asmaradana dan bakal muncul menerusi Evolusi KL Drift The Series pada 4 Oktober ini nekad mahu meninggalkan dunia lakonan untuk bekerja dalam bidang perhotelan. Dia yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari Kolej Olympia, Kuala Lumpur dan ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti dari Kolej Taylor, Kuala Lumpur kini sudah bersiap sedia untuk menerima sebarang jawatan dalam bidang berkaitan. Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 27, atau lebih dikenali Puteri Sarah berkata, dia sudah menghantar resume kepada beberapa buah hotel bertaraf lima bintang untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan ijazah yang diraihnya. Bukan disebabkan merajuk atau kurang menerima tawaran berlakon, pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie ini menganggap keputusannya untuk bersara daripada bidang lakonan adalah bagi memenuhi impian kedua-dua ibu bapanya. “Malah jika fikir balik, baik juga saya bekerja macam orang biasa (bukan artis), ada jaminan masa depan dan kewangan. Sampai bila saya hendak berlakon dengan meraih pendapatan yang tidak tetap,” ujarnya ketika ditemui di majlis pelancaran Evolusi KL Drift The Series di Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambah Puteri Sarah, memandangkan umurnya sudah mencecah 27 tahun dan akan menghampiri 30 tahun, sudah masanya dia memikirkan masa depan agar mendapat pendapatan yang tetap. Ujar kekasih kepada pelakon Ammar Alfian ini lagi, resume yang dihantarnya itu juga adalah kepada beberapa hotel terkenal di luar negara dan jika mendapat maklum balas positif, dia tidak kisah andai terpaksa berhijrah. “Saya memang hendak bekerja di luar negara sebab itu saya hantar resume ke hotel di sana. Adik-beradik saya juga ada di luar negara jadi apa salahnya saya pula ikut jejak mereka,” jelasnya. Keputusannya untuk berhijrah ke luar negara itu juga turut mendapat sokongan kuat keluarganya dan Ammar sendiri. Bercerita mengenai wataknya dalam Evolusi KL Drift The Series pula, dia berkata, dalam drama bersiri itu dia memegang watak sebagai Tasha seorang gadis lasak dan pemandu kereta drift. “Memang sukar juga sebab saya terpaksa memandu kereta manual, saya sudah lama tidak memandu kereta jenis itu dan terpaksa diajar beberapa kali baru mahir,” ujarnya yang pertama kali bekerjasama dengan syarikat Skop Production. Tambah Puteri Sarah, dia tidak menyangka ditawarkan watak utama dalam drama berkenaan kerana ketika itu dia hanya menemani Ammar yang turut berlakon drama itu untuk perbincangan dengan syarikat berkenaan. “Terkejut saya apabila ditawarkan watak utama padahal saya hanya temankan Ammar ke situ. Lalu, saya tidak fikir panjang terus menerima tawaran tersebut memandangkan saya tidak pernah bekerja di bawah syarikat perfileman Datuk Yusof Haslam,” katanya. Ketika diajukan persoalan jodohnya dengan Ammar pula, Puteri Sarah mengambil masa seketika untuk menyusun kata-katanya. Katanya, dia dan Ammar sudah acap kali berbincang soal perkahwinan tetapi perbualan mereka masih tiada penghujung dan kata putus. “Ammar sudah banyak kali ajak saya kahwin dan kami juga sudah banyak kali berbincang. Susah saya nak cakap bila kami akan berkahwin,” ujarnya yang sudah empat tahun menyulam cinta bersama Ammar. Tambahnya, dia tidak mahu membuat sebarang sasaran umur untuk mendirikan rumah tangga dan membiarkan ia berlaku secara semula jadi.

Filosofi seni Saleha

MUDAH sahaja merakam foto aktres muda Siti Saleha Mohd. Baharum atau mesra disapa dengan nama Saleha pada sesi fotografi yang diadakan di restoran Rebung, Bangsar Kuala Lumpur baru-baru ini. Manakan tidak, sejak berusia 18 tahun, Saleha telah mula berlakon dan terlibat dalam puluhan iklan komersial. Namun, baru kini bakat gadis berdarah campuran Melayu sebelah bapa dan Inggeris sebelah ibunya itu meraih perhatian khalayak apabila drama bersiri Nora Elena lakonannya bersama aktor tampan Aaron Aziz mencipta fenomena luar biasa pada tahun lalu. Sejak itu, tawaran lakonan datang mencurah-curah tetapi jauh di sudut hati Saleha jika boleh dia enggan lagi membawakan watak wanita baik, bertudung dan teraniaya berulang kali. Katanya, dia mahu cabar dirinya melakukan sesuatu yang berbeza. "Kalau diperhatikan saya sering diberikan watak wanita baik, teringin pula berlakon watak antagonis, orang gila atau yang bertentangan dengan apa yang saya sering lakonkan. Saya tidak mahu penonton bosan lihat saya bawa watak yang saya berulang kali, kerana saya sendiri pun bosan. "Setakat hari ini belum ada lagi watak antagonis yang diberikan atas alasan wajah saya tidak sesuai. "Saya ingin menjadi seorang pelakon versatil yang boleh berlakon bermacam-macam watak, saya tidak mahu orang ingat saya hanya boleh berlakon watak baik sahaja," katanya penuh serius. Saleha yang kini lebih bersifat selektif terhadap tawaran yang diberikan menegaskan, kualiti lakonan merupakan kunci untuk lebih bertahan lama dalam dunia lakonan. "Hayat populariti seseorang pelakon tidak bertahan lama jika tidak memberi lakonan yang berbeza dan berkesan kepada penonton. "Saya ingin terus hidup dalam industri lakonan dan kekal bertahan selama yang mungkin, jadi untuk mengekalkan periuk nasi saya hanya satu, iaitu cabar diri untuk sesuatu yang berbeza," jawab gadis yang berusia 22 tahun itu. Selain menjaga mutu lakonan, kata Saleha dia enggan lagi dikaitkan dengan sebarang kontroversi dan kisah peribadi selepas mengaku bercinta dengan bekas kekasihnya iaitu penjaga gol pasukan bola sepak Sabah, Syed Adney Syed Hussein yang juga adik kepada aktres Sharifah Sofea pada April lalu. "Ketika cerita cinta saya itu keluar, drama Nora Elena sedang hangat ditayangkan, saya pun masih baharu dan belajar untuk tangani segala kontroversi. "Selepas pengalaman tersebut saya kini lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan," luahnya yang mengaku kini tidak terikat dalam sebarang hubungan cinta. Populariti Adik kepada Sam Bunkface itu juga memberitahu hidupnya berubah 360 darjah sejak drama Nora Elena ditayangkan. Semakin popular bermakna semakin kurang privasi diri dan itulah yang dialami oleh Saleha. Tidak merungut dengan perhatian yang diberikan khalayak dan media kepadanya kerana sedar itulah harga yang harus dibayar oleh seorang artis sepertinya, namun, selepas mempunyai pengalaman menerusi kontroversi cinta, Saleha kini lebih bijak untuk terus hidup dalam dunia penuh glamor. "Sebelum drama Nora Elena ditayangkan, saya bebas jalan bersendirian tetapi sekarang harus ditemani rakan, memang terasa perbezaannya. "Orang ramai juga mula menegur saya dan cerita peribadi mula muncul di media, mulanya saya rasa agak kekok tetapi sekarang kena belajar sesuaikan diri serta terima segala cerita yang ditulis mengenai saya. "Sejujurnya, sebelum ini saya tidak kisah untuk muat naik bermacam-macam gambar di akaun Facebook tetapi selepas kontroversi cinta itu, saya berfikir banyak kali untuk letak gambar di Facebook dan laman sosial yang lain.
Ramai rakan di Facebook yang saya tidak kenal, saya buang kerana saya tidak tahu apa yang akan dilakukan mereka pada gambar dan status yang saya tulis. "Bukan itu sahaja, saya lebih berhati-hati dalam setiap perkara yang saya lakukan termasuk harus bijak memilih kawan. "Dalam dunia glamor, ada jenis kawan yang makan kawan. Bukan tiada rakan artis yang rapat dengan saya, tetapi saya jenis bukan sampai keluar melepak dengan mereka. Saya lebih selesa menghabiskan masa dengan kawan-kawan kolej jika tidak bekerja," ujarnya. Balas anak ketiga daripada empat beradik itu, disebabkan dia dan abangnya, Sam berkecimpung dalam dunia seni keluarganya sangat memahami asam garam dunia seni, sungguhpun begitu bapanya sering menasihatinya supaya menjaga tingkah laku dan nama baik keluarga. "Alhamdulillah, keluarga saya amat memahami kerja saya dan abang. Jika ada cerita tidak enak yang keluar tentang saya dan abang, bapa saya akan tanya terus kepada kami, lebih penting bagi saya keluarga tahu hal sebenar daripada dihebohkan kepada orang lain. "Segala kisah peribadi atau rahsia, saya tidak pernah cerita pada orang lain selain kawan baik saya sendiri. Saya berjanji dengan bapa untuk menjaga nama baik keluarga dan tidak akan buat sesuatu yang jahat atau gila," ucapnya. Tawaran lakonan yang lumayan, menjadi duta kepada produk Palmolive dan Enchanteur Paris tidak membuatkan Saleha lalai. Walaupun sibuk di lokasi penggambaran, Saleha masih meneruskan kuliahnya di Kolej Inti, Subang Jaya dalam bidang komunikasi. "Memang saya sibuk belajar dan bekerja, jadi kena pandai membahagikan masa. Saya tidak kisah jika ada kelas pada waktu pagi dan harus berada di lokasi penggambaran pada tengah hari, bukan masalah untuk saya kerana mempunyai pengurus yang akan mengaturkan jadual harian. "Saya suka jika saya sibuk kerana itu tandanya saya mempunyai masa yang produktif. Pelajaran tetap diutamakan, jika saya sudah tidak berlakon pada masa depan, saya mempunyai kelulusan untuk menceburi bidang yang lain pula," beritahunya.

Kucing buat Kila menangis

LEBIH setahun lalu namanya mendadak popular. Ketika itu, produk yang sepatutnya menjadi sandaran anak gadis penyanyi Rohana Jalil itu masih samar-samar. Seketika kemudian, barulah filem Karak muncul dengan persembahan sulung Kilafairy di layar perak. Filem Hoore! Hoore! yang menyusul Mei lalu juga menambahkan keyakinan ramai bahawa pucuk muda yang terkenal dengan bibir seksinya itu layak diberi lebih banyak peluang untuk menonjolkan bakat. Buktinya, buat kali pertama setelah memasuki tahun ketiga dalam industri, pemilik butik pakaian Rack yang lebih mesra dikenali sebagai Kila ini diberi ruang membawa watak utama sebuah drama bersiri. “Saiful Nita merupakan drama terbesar yang pernah saya jayakan. Inilah kali pertama saya bawa watak heroin iaitu Nita,” tutur Kila. Tambah anak pasangan penyanyi dan pegawai polis itu, walaupun Nita yang merupakan anak orang kaya itu memiliki perwatakan manja dan suka berpoya-poya, baginya watak itu cukup mencabar dan menguji kemampuan dirinya. “Masa mula-mula dapat skrip, saya terus teruja. Walaupun saya membesar di ibu kota, watak anak orang kaya sangat berbeza dengan diri saya. “Pada mulanya watak Nita agak biasa, tapi penonton akan melihat Kila sebagai Nita yang agak kompleks apabila memasuki episod ke-18. “Terus-terang saya katakan, saya banyak belajar daripada YouTube dan internet untuk mendekati ilmu lakonan. “Nasihat daripada pelakon senior seperti Datuk Jalaludin Hassan, Arash Mohd., Fauzi Nawawi dan Hamidah Wahab sangat membantu,” ujar Kila yang turut menyimpan episod menyedihkan sepanjang lebih dua bulan menjayakan Saiful Nita. “Mungkin sebab terlalu lama berada di lokasi, kucing kesayangan saya hilang. Rasanya kena curi. “Disebabkan itu, semua babak sedih yang pada mulanya payah untuk saya jayakan jadi mudah. Saya automatik bertukar sedih apabila teringatkan kucing yang hilang itu,” tambahnya. Berlakon di sisi pendatang baharu, Aidil Aiziz sebagai tunangnya serta aktor senior Fauzi Nawawi sebagai kekasihnya, akui Kila, dia beruntung kerana kedua-dua pelakon itu banyak menyokong untuk sama-sama memberi emosi. “Satu hal lagi, babak yang paling susah untuk saya ialah adegan mabuk. Banyak juga rujuk sana sini untuk realisasikan aksi mabuk macam cara bercakap dan berjalan. Saya juga kena jadi gila dan tertekan, tertekan sangat rasanya,” cerita Kila yang semakin diburu penerbit. Sedang mengidam untuk melancarkan single pertamanya yang sudah lama terperap, Kila tidak mahu mengambil tawaran berlakon sebaik sahaja Saiful Nita selesai di lokasi. Dia juga mahu komitmennya ditumpukan kepada operasi butik milik keluarganya di Subang Jaya, Selangor. Berbalik kepada Saiful Nita, drama arahan Amy Maziah itu mengisahkan percintaan tiga segi antara Nita, Saiful dan Effendi. Ia mula disiarkan 4 September lalu menerusi slot Samarinda di TV3.

Ayu anggap sengketa dengan Rita selesai

PELAKON jelita, Ayu Raudhah Che Wan, 28, menganggap kontroversi dengan birasnya, pelakon Rita Rudaini sudah selesai memandangkan Rita tidak mahu berjumpa dengannya. Kata Ayu, dia berharap selepas ini tiada lagi timbul isu baharu yang boleh mengeruhkan keadaan berkaitan dirinya dan Rita. “Saya anggap apabila dia (Rita) tidak mahu jumpa saya untuk berbincang, isu ini selesai, lagipun dia cakap tulisannya di Twitter tiada kaitan dengan saya,” ujarnya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ayu beranggapan isu yang berlaku antara dia dengan Rita adalah dugaan dan tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada pihak ketiga yang sengaja melaga-lagakan mereka di laman sosial itu. Baru-baru ini nama Ayu dikaitkan apabila berlaku ‘perang Twitter’ antara suaminya yang juga bintang bola sepak, Zaquan Adha yang membalas Twitter Rita. Twitter itu yang berbunyi: “Baru rasakan bagaimana perasaan terganggu tengah pregnant (hamil). Macam itulah orang itu rasa masa pregnant apa yang kau buat dahulu. Allah itu Maha Adil.” Tulisan itu menjadi hangat apabila Zaquan membalas melalui akaun Twitter yang mengatakan ada orang sedang meroyan. Sebelum ini, Sensasi Bintang pernah menyiarkan bahawa Ayu ingin bertemu Rita bagi menjernihkan keadaan dan menjalinkan hubungan baik tetapi Rita menolak usaha berbaik-baik itu. Tambah Ayu, selepas ini dia berharap tiada lagi kata-kata yang menyalahkan dia dan suaminya berhubung isu yang berbangkit pada masa hadapan. “Saya hormati pendiriannya untuk tenang bersama anak-anaknya begitu juga saya, harap tiada apa-apa berkait lagi” ujarnya yang sedang hamil tiga bulan.

Debaran Nora Danish

JIKA badai jadi penentu kepada termometer ketahanan mental dan akal seseorang, jarum termometer penunjuk badai buat Nora Danish antara yang sentiasa turun naik pergerakannya. Si kecil molek ini antara yang terkena badai malah kisahnya sentiasa menjadi tontonan ramai. Daripada bergelar anak dara hinggalah bertukar kepada janda, dia seakan tidak kalis pertanyaan. Namun badai pasti berlalu. Wanita berusia 30 tahun itu kini menjadi pemanis bibir khalayak dengan pujian terhadap peningkatan lakonannya. Satu demi satu naskhah yang direalisasikan mendapat pujian yang bukan sedikit. Tonton lakonan sendiri Buat Nora, dia sentiasa menjalani pembaikan diri dengan menonton setiap produk yang dilaksanakan. Di samping itu dia mencari variasi agar tidak menadahkan para penonton dengan pembawaan karakter yang sama. "Mungkin ada pelakon yang tidak menonton lakonannya sendiri tetapi saya berbeza. Saya akan menonton kembali dan melihat untuk belajar memperbaiki teknik lakonan sendiri. Saya perlu tengok untuk jadi lebih baik," petahnya yang mengambil cuti berlakon sejak bulan puasa hingga minggu ini. Begitu juga untuk sebuah pencapaian diri yang mapan, aktres yang awalnya digilap melalui drama Puteri ini mahu sentiasa mencari watak yang lebih mencabar. Memang itulah keinginan dirinya dan pelakon untuk meratah sebuah karakter baharu dan dilontarkan kepada peminat agar terlihat perbezaan. "Alhamdulillah selepas drama Tentang Dhia, saya diberikan watak yang berbeza dan berat. Asalnya memang dari dahulu saya mahukan sebegini tetapi sering diberikan watak komedi," katanya. Jujurnya, Nora berasa tertekan dengan karakter yang berat malah terbawa-bawa ke rumah dan sekelilingnya. Namun itu yang dicarinya atas nama pelakon dan penawar untuk tekanan itu, dia bercuti bersama famili dengan membawa karakter dirinya sendiri.
"Usai membawakan watak wanita didera dan menangis, minggu ini saya akan masuk set filem Legenda Budak Hostel. Sebuah filem arahan Bob dan lakonan bersama pelakon-pelakon komedi seperti Along dah Angah," katanya yang tidak mahu penonton bosan jika dia terusan membawa karakter yang tiada ragam bahasa. Harap ada stylist Larut bercerita dalam nafas seorang aktres, Nora menambah sebuah harapan agar ada perubahan dalam industri lakonan. Bukan besar namun perubahan yang kecil itu mampu membuahkan sebuah impak yang ketara. "Saya mengharapkan agar ada stylist dalam sebuah produksi. Ini untuk membentuk sebuah karakter itu lebih semula jadi. Di sini semuanya kena sediakan sendiri. Memang ada tetapi wardrobe yang sama sekali lain dengan stylist. Kalau saya jadi watak Senah, saya mahu stail Senah dan bukan Senah dalam stail Nora," buah harapnya berbunyi selain mengharapkan skrip sentiasa datang awal ke tangannya. Di sebalik harapan yang satu itu, debaran dan harap juga hinggap pada filem Aku Terima Nikahnya yang bakal dipertontonkan mulai 11 Oktober ini di pawagam. Rentetan kemesraan dan ketulenan watak dalam Tentang Dhia, filem terbitan MIG ini akan mempamerkan sekali lagi kemesraan Nora dan aktor Adi Putra sebagai suami isteri. Berdebar, ujar Nora kerana dia tahu para peminat meletak harapan tinggi untuk filem tersebut. "Saya tahu para peminat meletakkan harapan yang menggunung terhadap Lisa dan Johan dalam Aku Terima Nikahnya. Sebuah filem yang santai namun sarat dengan mesej perhubungan antara suami dan isteri. Harapan saya agar kelak janganlah para penonton terbawa-bawa hingga ke luar filem," jawabnya yang mengaku malu-malu membawa sikap romantis dalam diri Lisa. "Penonton harus faham bahawa kadangkala kamera juga pandai temberang. Ada visual menampakkan kami banyak bersentuhan. Ini adalah sebuah filem tentang hubungan suami isteri. Sebenarnya tidaklah begitu intim," ketawanya yang berterima kasih kepada Adi kerana banyak membantunya. Filem ini juga ulas Nora ialah sebuah karya yang mendapat banyak sentuhan wanita. Suntikan wanita itu bukan sahaja pada pengarahnya, Eyra Rahman tetapi juga pada pembantu pengarah dan kru.
"Cerita ini sesuai untuk tontonan mereka yang bercinta juga pasangan suami isteri. Pasti akan membuai-buai perasaan," ulasnya. Pernah terkena tempias gosip dengan sang aktor gara-gara lakonan bersama, kali ini untuk sebuah respons terhadap kolaborasi layar lebar, Nora mengaku bersedia. Sedia dikritik "Daripada segi fizikal dan mental, saya bersedia. Saya faham penerimaan penonton berbeza-beza dan cara mereka lihat filem itu kelak nanti berbeza. Seperti yang saya katakan, mereka perlu lihat Johan dan Lisa, bukan saya dan Adi," bunga sedia Nora berbunyi terhadap impak yang mengalir melalui filem romantis ini kelak. Petah katanya semakin matang dan sikap itu tampak jelas dalam pembawaan dirinya. Melalui hari-hari dengan status ibu tunggal, sikap berdikari Nora semakin hari semakin terserlah. Fasa hidupnya adakala santai dan tidak kurang dikasari gelombang dalam jalur bergelar anak seni. Tabah dan mengaku bebas, Nora melakukan ini atas nama kehidupan. "Umur makin meningkat, saya ada anak dan berstatus janda. Di sebalik itu sebenarnya saya berasa lebih kuat dan berdikari. Malah ada peminat meminta nasihat daripada saya. Saya tidak boleh lemah. Kritikan juga saya lihat sebagai sebuah nasihat agar saya terus berdiri," ujarnya dalam nada tegas. Tidak melihat jauh, ibu kepada Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram ini melihat ibunya sebagai mentor dan idola. "Saya melihat ibu saya sebagai mentor. Jiwa dan semangatnya kuat. Ibu besarkan kami di Malaysia sewaktu ayah di Amerika Syarikat. Dia orang Myanmar yang belajar hidup berdikari di tanah Malaysia. Buka restoran dan jaga kami adik-beradik sendirian. Bayangkan kekuatan itu," cerita seorang anak tentang semangat ibunya, Salimah Talib. Memegang erat kata-kata hikmah ibunya sebagai panduan hidup, itu antara yang dijadikan darah daging semangat kuatnya. "Ibu pesan agar sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, perlu sentiasa ingat Yang Maha Esa. Ibu ingatkan saya untuk sentiasa berdoa dan berzikir. Jadikan ia makanan jiwa. Hati kena baik dan juga perlu sentiasa berfikiran positif," patah-patah semangat itu dikongsi. Untuk Nora kini, dia fokus dengan kerjaya dan hidup berdikari. Rayqal yang merupakan pengarang jiwa juga adalah semangat hidupnya. "Anak adalah segalanya untuk saya. Semangat dan keceriaannya kunci untuk hidup saya," akhir ceritanya yang Rayqal yang gemar bergaya seperti ibunya.

Ekoran Twitter Remy akui putus cinta dengan Tiz Tiz akui terganggu

ENGGAN mengesahkan mahupun menafikan, tetapi mengakui dirinya sedikit terganggu. Itu jawapan yang diberikan oleh aktres Tiz Zakiah ketika diminta memberikan komen tentang kebenaran dia dan kekasihnya, aktor Remy Ishak kini telah putus cinta. Ia ekoran selepas Remy sendiri mengakui telah mengakhiri hubungan cinta itu di akaun Twitter miliknya pada 20 September lalu (kelmarin). Remy telah menulis di akuan Twitter miliknya: "The relationship was gone a long time ago, i haven't been involved with anything and everything. "The best way to end the relationship is to burn the bridge. Glad i did it. No turning back." Tiz yang dihubungi Kosmo! semalam menegaskan dia enggan memanjangkan cerita cinta mahupun memberi komen mengenai kehidupan peribadinya. "Saya tidak mahu komen hal peribadi. Apa yang ditulis Remy di Twitter itu hak dia. Siapa yang baca Twitter dia bacalah, saya tidak mahu komen mengenai tulisannya di Twitter. "Sebenarnya, saya penat disoal soalan yang sama berulang kali. Jika boleh, saya mahu peminat menumpukan perhatian terhadap kerjaya saya bukannya kisah peribadi," ujarnya. Biarpun begitu, Tiz yang kini sibuk berlakon drama bersiri Cinta Jangan Pergi yang turut menampilkan Remy Ishak mengakui: "Ya, saya mengaku ada terganggu sedikit tetapi saya masih boleh tanganinya dengan baik. "Drama yang lakonan saya ini (Cinta Jangan Pergi) turut menampilkan Remy tetapi setakat hari ini kami belum ada sebarang babak bersama. Walau apa pun yang terjadi, apabila tiba bab kerja, saya dan Remy akan bersikap profesional," ujar aktres yang popular dengan filem dan drama Nur Kasih itu. Tiz dalam pada itu menafikan hubungan cintanya diganggu orang ketiga. "Mengarutlah, tiada orang ketiga (antara kami)," tegas Tiz. - HARYATI KARIM

Cinta Yuna kecundang

HATI wanitanya ini sangat rapuh untuk berbicara lanjut mengenai kisah cinta yang sudah pun bernoktah bersama kekasih, Qushairi Mohammed Razali yang dikenali sebagai Qi baru-baru ini. Tambahan pula banyak fakta tak betul tersebar tentang hubungan cintanya yang putus itu. Ada yang kata penyanyi membesar di Subang Jaya, Selangor ini putus sebab kehadiran orang ketiga dan retak menanti belah selepas Yuna,25, menukar gambar profil di laman sosial Twitter apabila selama ini gambar mereka berdua di situ. "Sebenarnya, kami beri ruang sementara dalam hubungan ini. Kami cuba fokus dalam karier masing-masing sebab susah, saya di Amerika Syarikat (AS) dan dia di sini. Apa pun, kami hormat keputusan sebab nak kejar impian masing-masing," katanya jujur. Apa maksud 'beri ruang sementara' mengikut definisi Yuna? Yuna berkata: "Kami dah tak ada komitmen. Saya bebas nak buat apa yang saya nak. Boleh kata macam single but not available." Penyanyi yang mula menulis lagu sejak berusia 19 tahun ini turut mengakui bahawa mereka masih berkawan baik sehingga ke hari ini. "Benda ini macam rumit nak cakap terus terang. Saya hormat Qi sebab dia seorang yang kuat bekerja dan dia pun tahu macam mana cara saya bekerja. Tapi sejak akhir-akhir ini, (hubungan) ada susah sikit. Tanggungjawab saya terlalu banyak. Saya kena kerja kuat. "Mungkin juga sebab jarak terlalu jauh mengundang perkara ini. Kamu semua (wartawan) pun tahu yang kesibukan saya macam mana, sentiasa ada kerja yang kena buat. Jadi, biarlah berehat sekejap dan fokus pada apa yang kami nak. Kami manusia biasa dan tetap berdepan dengan masalah seperti pasangan kekasih lain," ulas Yuna lagi. Adakah keputusan berpisah itu atas kehendak bersama? Penyanyi yang masih dalam mempromosikan album dan siri jelajah di 20 tempat AS berkata: "Ia adalah keputusan bersama."

Cukup-cukuplah tu - Amy Mastura

CUBA juga mencari kelainan dan keistimewaan penyanyi bernama Amy Mastura ini tanpa mahu melihat pada faktor usianya. Ternyata, usaha itu cuma menemui jalan buntu sahaja. Masakan tidak, Amy sejak dari dulu memang terkenal dengan ciri fizikalnya yang sentiasa nampak muda. Walhal, usianya dah pun mencecah 41 tahun. Namun, disebabkan tubuhnya kecil molek, dia beruntung kerana seringkali kelihatan awet muda! Mungkin benarlah kata orang, kalau nak nampak sentiasa muda, kita kenalah selalu tersenyum dan ceria. Itulah petua yang diamalkan oleh Amy selama ini yang ternyata menjadi. Bercakap soal untung, pastinya ramai yang sedar bahawa kewujudan Amy sebagai anak seni bukan sahaja memfokus pada bidang nyanyian dan lakonan semata. Dia juga dikenali sebagai duta produk dan yang terkini bersama rangkaian produk jenama dari Jepun, Kose. Merupakan tahun kedua bersama Kose, Amy dilihat seakan selesa cuma mahu dikenali sebagai duta produk. Lalu timbullah pelbagai persoalan bahawa Amy mungkin sudah tidak lagi berminat untuk menoleh kepada bidang asalnya iaitu bidang nyanyian. Benarkah begitu? Menafikan hal tersebut, kata Amy, tidak sedikit pun di hatinya mahu melupakan terus bidang nyanyian sementelah permulaannya melangkah dalam dunia seni sebagai penyanyi. “Saya sebenarnya tak rancang pun perjalanan seni saya dan saya serahkan semuanya pada rezeki mana yang datang dulu. “Sewaktu saya masuk dalam industri ini dulu pun, cita-cita saya cuma mahu ada satu album. Saya tak fikir pun apa yang saya nak buat selepas itu. “Lakonan juga begitu. Saya akan ambil mana-mana yang datang dulu ikut kesesuaian watak. Biasanya saya dapat watak komedi. Mungkin juga kerana orang melihat saya sesuai dengan watak begitu, " katanya. Bagi membuktikan bahawa dia tidak mahu terus tenggelam dalam dunia seni suara, kata Amy, dia juga bakal lahir dengan single baru berjudul Itu Dulu hasil ciptaan komposer seberang, Panji. “Dua tahun saya ambil masa untuk hasilkan single selepas Happy. Bukan saya sengaja, tapi jujurnya saya memang tak sedar masa berlalu begitu pantas. “Bagi mengubat rindu peminat, insya-Allah, saya akan muncul dengan album kompilasi Itu Dulu diselitkan sebagai lagu baru. “Sebanyak 20 buah lagu akan dimuatkan dalam album kompilasi itu nanti dan ia akan dipasarkan dalam masa terdekat, " kata duta jam tangan Omega dan produk Takasima ini lagi. Nafi eksklusif Amat jarang melihat kelibat Amy di acara-acara besar. Entah kenapa, disebabkan itu, maka timbul pula spekulasi bahawa Amy sengaja mahu menjadikan dirinya eksklusif di mata umum. Bertanyakan mengenai hal ini, tanpa prejudis, Amy tenang mengulas. “Kalau tak nampak saya di mana-mana acara besar, itu sama ada saya tak dijemput atau memang saya sangat sibuk. “Mungkin juga ada beberapa acara yang saya tak dapat nak pergi kerana bertindan dengan acara lain atau mungkin juga saya bersama keluarga. “Tapi saya tolak andaian bahawa ia terjadi kerana saya rasa saya ni eksklusif. Tidak, saya tak rasa saya eksklusif. “Sama juga kalau saya jarang keluar di majalah atau surat khabar. Bukan sebab saya memilih untuk jadi eksklusif. “Tapi sebab saya memang tak ada bahan untuk diceritakan. Kalau boleh, saya lebih suka jika cerita mengenai saya keluar seiring dengan produk yang saya mahu tonjolkan. “Sebenarnya, kalau ada yang kata saya eksklusif, rasanya, ada lagi artis yang lebih eksklusif," katanya bersahaja. Cukuplah dua Perkahwinannya bersama suami tercinta, Alvin Tham Suffian sudah pun mencecah 12 tahun. Hasil perkahwinan, Amy dan Alvin Tham dikurniakan dua orang anak iaitu Adriana, 11, dan Adalia, 7 tahun. Memandangkan anak-anaknya sudah semakin membesar, Amy seperti artis lain yang telah berkeluarga, pastinya tidak dapat lari daripada usikan teman-teman media soal perancangan nak tambah anak. Cuma tergelak, kata Amy, dia percaya kehadiran Ardiana dan Adalia sudah memadai dalam hidupnya bersama suami. “Betul, saya tak ada perancangan nak tambah anak pun. Lelaki ke perempuan ke, saya rasa cukup-cukuplah dua orang ni. “Nak cari masa untuk dua orang anak ini pun kadang-kadang saya mengalami kesulitan, ini kan pula nak tambah lagi bilangan anak. “Tapi, apa pun, saya akan berusaha cari juga masa untuk mereka terutama kalau membabitkan aktiviti di sekolah atau acara-acara istimewa. “Tak apalah, biarlah saya fokus yang dua orang ini sahaja. Tapi kalau ada rezeki saya tak menolak. Alhamdullillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang bersama suami dan anak-anak, " katanya.

Cantik bukan ukuran - Nad Zainal

SPENGALAMAN sepanjang menyaksikan 13 episod drama popular Aku Bukan Bidadari baru-baru ini cukup mengujakan. Drama tersebut yang membariskan ramai muka baru dianggap sebagai sebuah naskah yang boleh dibanggakan ketika ini. Di sebalik kehebatan drama tersebut, tidak dinafikan watak lakonan Nad Zainal atau nama sebenarnya Nadia Zainal Abidin dikatakan menjadi sebab utama mengapa drama tersebut mempunyai pengikut yang cukup ramai. Dengan membawa watak sebagai Inas, seorang gadis yang pada mulanya mempunyai masalah sosial, Nad dilihat berjaya menjiwai watak tersebut dengan baik. Jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon wanita hebat lain, Nad sebenarnya mempunyai kekurangan dari segi saiz badannya yang sedikit kecil. Namun baginya saiz atau ketinggian bukanlah penentu kepada kejayaan seseorang pelakon. “Saya tahu, ramai yang kata saya tidak cukup tinggi jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon seangkatan dengan saya. Tapi bagi saya itu tidak penting, yang penting adalah mutu lakonan kita dalam setiap drama atau filem yang kita lakonkan. “Saya tidak nafikan saiz badan memainkan peranan yang cukup penting bagi menentukan sebarang watak, tetapi kalau kita memiliki saiz badan yang tinggi dan lengkap tetapi tidak memiliki teknik lakonan yang baik, itu semua tidak guna. “Bagi saya yang penting adalah teknik serta cara kita membawa dan melakonkan watak yang diberi demi kepuasan penonton," jelas anak jati Selangor ini. Tambahnya, sekiranya seorang pelakon hebat mempunyai pakej lengkap cantik dan lakonan yang mantap, itu adalah satu bonus yang cukup berharga. “Ramai juga artis serta penyanyi hebat lain yang mempunyai saiz badan yang kecil antaranya, Norkhiriah, Stacy. Namun lakonan serta nyanyian mereka cukup hebat, saya berharap satu hari nanti saya boleh menjadi sehebat mereka. “Bakat yang dianugerahkan serta minat saya yang mendalam dalam bidang ini sudah cukup bagi saya untuk mengharungi kerjaya saya sebagai anak seni," kata Nad Zainal. Dalam pada itu, ditanya mengenai teman hidup, jawab Nad selamba; “ Ya, saya dah ada teman istimewa. Kami berdua dah kenal hampir dua tahun. “Dia sangat ok, dia faham dengan kerjaya saya dan selalu menyokong serta memberi semangat kepada saya. Dia bekerja di belakang tabir, jadi tiada masalah kerana dia memahami tugas saya," jelasnya. Jelasnya lagi, mereka berdua belum memikirkan tentang soal untuk berumah tangga dalam masa terdekat ini. “Kami berdua masih muda, lagipun masing-masing tidak mampu lagi untuk bergelar suami dan isteri. Banyak perkara yang perlu kami lakukan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin. “ Harapan saya agar saya mampu menempuh segala sepak terajang dalam industri ini dan bergelar sebagai pelakon versatail suatu hari nanti berjaya," jelasnya. Terus mengorak langkah Bagi pelakon berusia 22 tahun ini, peluang menerajui drama Aku Bukan Bidadari memberi makna dalam kariernya sejak menceburi bidang seni pada tahun 2007. “Sebelum ini saya dah cuba berlakon, namun agak tenggelam-timbul. Masa tu saya sibuk dengan pengajian saya di Aswara," jelas pelakon yang mempunyai diploma dalam bidang teater ini. Walaubagaimanapun Nad berkata, dia agak gementar untuk menanti reaksi penonton terhadap lakonannya dalam drama bersiri yang baru sahaja tamat baru-baru ini. “Terus-terang saya katakan, walaupun saya sangat gembira dengan lakonan ini, tetapi sebenarnya saya gementar untuk mendengar reaksi penonton selepas menonton drama tersebut. “Bagaimanapun, saya perlu bersedia menerima segala kritikan membina demi memajukan kerjaya saya. Lagipun tahun ini merupakan tahun paling sibuk bagi saya kerana mendapat banyak peluang berlakon. Nad yang digandingkan dengan pelakon Sharnaz Ahmad memberitahu, dia melalui beberapa cabaran untuk melakonkan wataknya sebagai Inas dalam drama tersebut. “Mencabar dan penat itu yang dapat disampaikan kerana saya terlalu banyak bermain dengan emosi. Namun saya bersyukur kerana dapat melakukannya dengan baik," akui Nad. Tambahnya, dalam banyak-banyak watak, watak yang paling diingini adalah watak biografi, iaitu watak seorang tokoh terkenal sebelum ini. “Watak biografi yang paling saya dambakan adalah primadona filem kita Latifah Omar. Saya cukup suka wataknya. Saya teringin untuk memegang wataknya yang begitu hebat ketika era filem hitam putih pada tahun 1960-an. “Ketika itu, ramai pelakon-pelakon hebat yang dilahirkan, sehingga kini kita masih ingat setiap lakonan yang cukup menjadi oleh seniman serta seniwati di era itu," jelasnya. Saya tidak cabar sesiapa Dalam mana-mana bidang sekalipun, persaingan dan saling mencabar diri selalu sahaja berlaku, apatah lagi dalam bidang seni. Bagi Nad, itu semua adalah satu cubaan yang menguji kekuatan diri sebelum benar-benar berjaya dalam bidang ini. “Kehadiran saya dalam dunia seni ini diharapkan mendapat persaingan yang sihat. “Saya juga berharap mendapat tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman dalam industri ini. Saya tidak mencabar sesiapa tetapi saya cabar diri saya sendiri untuk menjadi yang lebih baik," jelasnya. “Saya juga jenis orang yang tidak suka kontroversi kerana ia langsung tidak berfaedah. “Orang luar serta peminat kita juga benci sekiranya kita dikaitkan dengan pelbagai kontroversi. Perkara ini hanya akan merosakkan kerjaya seni kita. Insya -Allah saya akan terus mencuba untuk menghindari perkara ini," katanya. Tambahnya lagi, hubungan baik perlu dijalinkan dengan setiap orang terutamanya dengan wartawan hiburan. “Saya mahu bina hubungan harmoni dengan wartawan. Mereka banyak menolong saya sehingga saya ketahap ini," ujar Nad Zainal.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails