Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Zaibo kahwin dalam diam?


Satu Johor kecoh kononnya ternampak pelakon komedi popular, Zaibo, 54, selalu sangat berkepit ke sana kemari dengan seorang wanita berusia awal 40-an.

Niezam dapat banyak panggilan telefon daripada orang Johor.

Salah seorang dari Rengit. Orang Rengit tu bagi tahu dia syak Zaibo dah kahwin senyap-senyap sejak beberapa bulan lalu.

Kalau tak kahwin pun mungkin tengah dok bercintan-cintun dengan wanita berkenaan.

Menurut peminat Kring Kring yang lain pula, Zaibo dengan wanita berkenaan begitu mesra. Mereka selalu ke pasar dan beli ikan sama-sama.

“Kami orang Johor ni minta Niezam tolong siasat segera. Dia orang macam laki bini. Mesti dah kahwin tu. Jangan la sorok-sorok kalau ye pun,” komen seorang pembaca.

Yalah... tak apa nanti akan disiasat perkara tu. Tak ada masalah sangat kalau setakat nak pasang teropong nak intai abang Zaibo kita ni.

Pagi Jumaat lepas Niezam telefon Zaibo dan minta dia jelaskan betul ke tak dia kahwin diam-diam?

Niezam kata kat dia, jangan nak sorok-sorok kalau benda yang baik. Nanti tak berkat, kahwin setahun, dua, terus bercerai sebab kena sumpah dengan peminat.

Tanpa mahu berselindung, kata Zaibo dia mengaku memang sedang berkawan baik dengan seorang janda anak sembilan.

Tapi hubungan tu tidak lebih-lebih. Hubungan tu macam adik dan abang angkat sahaja.

“Saya memang berkawan baik dengan wanita Rengit tu. Sejak kebelakangan ni bila tak ada shooting memang saya selalu ke sana. Dia adik angkat saya. Kami dah kenal dekat 10 tahun dah,” kata Zaibo.

Menurut Zaibo lagi pada mulanya dia berkawan baik dengan kakak kepada wanita itu yang merupakan seorang petugas di sebuah universiti di Johor.

Ketika ada banyak program di Singapura, Zaibo menumpang di rumah kenalannya itu di Johor Bahru. Dari situlah Zaibo dan keluarga wanita berkenaan menjadi rapat sampai sekarang.

“Saya minta kepada sesiapa yang nampak saya berdua-duaan di pasar atau di mana-mana kedai makan ke, jangan salah faham pula. Dia bukan isteri saya tapi adik angkat sahaja,” ujarnya.

Harap-harap selepas ini kepada sesiapa yang tertanya-tanya mengenai persoalan status Zaibo tu, akan berpuas hati dengan penjelasan ini ya. Jangan nak pening-pening lagi.

Pengalaman 'indah' Wendy di Eropah


MENETAP selama tiga bulan di Eropah dalam siri penggambaran program terbarunya, Wendy Wong atau kini dikenali sebagai Wani Wendy Wong Abdullah punyai pelbagai pengalaman untuk tatapan penonton.

Bakal disiarkan di TV2 mulaI 2 Mei ini, program pengembaraan berjudul My Travel Sight benar-benar menguji semangat dan kesabaran Wendy demi memaparkan yang terbaik di kaca televisyen.

Melintasi sempadan beberapa negara Eropah Timur seperti Romania, Sepanyol, Ireland, Austria, Republik Czech, Poland, Russia, Sweden dan Crotia, My Travel Sight membawa penonton menyelami budaya, sejarah dan kesenian negara-negara berkenaan.

Namun, apa yang lebih penting, ia turut menyelitkan pengalaman Wendy sendiri yang berhadapan dengan pelbagai kejadian sepanjang berada di bumi Eropah.

Kehilangan bagasi yang memuatkan pakaiannya, kejadian ditipu untuk mendapatkan visa, tertinggal keretapi dan gigi patah, semuanya dirangkum dalam program yang bersiaran untuk 13 episod itu.

Diterbitkan Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh Sdn. Bhd., Wendy tidak lupa 'mendidik' penonton dalam menyelesaikan masalah berkenaan terutama andai mereka kehilangan bagasi.

Apa yang perlu dilakukan, seperkara penting bagi Wendy, mengambil sikap bersabar dan tenang mampu membuatkan sesiapa sahaja mudah untuk berhadapan dengan cabaran seperti itu.

"Saya kehilangan bagasi setiba di Austria. Mula-mula memang panik. Bukan sahaja baju, alat mekap saya semua ada di dalamnya.

"Sebetulnya kita punyai ruang untuk mengadu permasalahan itu kepada pihak syarikat penerbangan.

"Sebelum memperoleh semula bagasi, saya terpaksa membeli baju-baju yang murah,'' katanya ketika ditemui di majlis pelancaran My Travel Sight di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pelancaran itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh, Nancie Foo serta wakil kedutaan negara-negara Eropah Timur yang membantu dalam melancarkan perjalanan penggambaran program tersebut.

My Travel Sight akan bersiaran setiap Ahad, pukul 11.30 pagi dan disediakan dalam bahasa Inggeris selama 30 minit.

Menceritakan beberapa lagi pengalamannya, Wendy tidak lupa akan kisah gigi hadapannya yang patah tatkala penggambaran dilakukan di Austria.

Terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk membuat gigi palsu bernilai RM17,000, ia perlu dilakukan segera memandangkan dirinya adalah hos dalam program terbabit.

"Saya pun tidak tahu bagaimana gigi saya boleh patah. Ia berlaku secara tiba-tiba.

"Hendak atau tidak, saya terpaksa menempah gigi palsu kekal di Austria dengan duit perbelanjaan sendiri,'' jelasnya sambil tergelak besar mengenangkan peristiwa itu.

Kejadian ditipu untuk mendapatkan visa juga menjadi antara lipatan kenangan yang sukar dilupakan Wendy.

Duit untuk mendapatkan visa sudah dibayar tetapi tatkala hendak memasuki Bosnia dari Romania, konflik mengenai permohonan visa menjadi satu detik yang cukup memberikannya tekanan.

"Perjalanan dari Romania ke Bosnia cuma memakan masa empat jam sahaja dengan menaiki van.

"Disebabkan masalah tersebut, saya dan tujuh lagi krew terpaksa menaiki keretapi ke Crotia selama lebih 10 jam untuk memasuki Bosnia.

"Bosnia memiliki bangunan bersejarah yang cukup indah dan ia sedikit sebanyak membuatkan kami melupakan segala masalah yang dialami,'' ujarnya.

Empat kerja dalam satu masa

Ditanya mengenai tugasannya sepanjang berada di Eropah Timur, Wendy memberitahu bahawa selain hos, dia turut memegang peranan selaku penulis skrip, pengarah dan penerbit.

Sebagai hos, katanya, semua perlu dilakukan dengan pantas kerana dia tidak mempunyai pengalaman mengembara ke Eropah Timur sebelum ini.

"Banyak penggambaran di lokasi-lokasi menarik yang telah diaturkan oleh pihak kedutaan negara-negara berkenaan dilakukan secara saat-saat akhir.

"Oleh sebab itu, saya tidak punyai masa untuk mengaturkan apa yang sepatutnya dilakukan terutama melibatkan jurukamera.

"Untuk siapkan skrip pun kena pantas dengan maklumat yang didapati secara segera. Nasib baik semua krew sudah biasa bekerja dalam keadaan pantas dan tekanan,'' jelasnya.

Antara lokasi-lokasi menarik yang sempat dirakamkan oleh Wendy adalah Auschwitch Death Camp di Poland; Wolfgang Amadeus Mozart (Vienna, Austria); Moser's Glass Factory (Republik Czech) dan National Theater di Zagreb, Crotia.

Lokasi berkenaan merupakan lokasi yang sebelum ini dilarang oleh pihak bertanggungjawab untuk mana-mana syarikat penerbitan menjalankan penggambaran di kawasan berkenaan.

Tetapi, atas 'campur tangan' pihak kedutaan negara-negara terbabit di Malaysia, semua kerja-kerja produksi dan Wendy berjalan dengan baik.

Kata Wendy, musim pertama My Travel Sight yang disiarkan dua tahunlalu memaparkan mengenai Eropah Barat dan telah mencatat rating yang tinggi. Dari kejayaan itulah mereka menerbitkan untuk musim kedua.

Serasi dengan Nancie

Dalam pada itu, Wendy yang ditanya mengenai keserasiannya bersama Nancie berkata, antaranya dan Nancie sudah memulakan Produksi Seni Dua Puluh Dua Puluh sejak 1992 lagi.

Dan, daripada situ sehingga kini, hubungan rapatnya dengan Nancie telah terjalin lama sehingga mereka berdua tahu akan soal peribadi serta emosi masing-masing.

"Kami tidak pernah berhadapan dengan masalah besar. Saya tahu karakter dia dan begitu juga dengan Nancie.

"Dalam syarikat, saya lebih banyak bertanggungjawab dalam soal kewangan manakala Nancie pula menjaga tentang pentadbiran,'' tambahnya.

Bunga Citra Lestari Hamil?


SPEKULASI Bunga Citra Lestari hamil bertiup kencang apabila tubuh artis jelita dari seberang itu kelihatan berisi pada satu majlis di EX Plaza baru-baru ini.

Perut Bunga yang merupakan isteri Ashraf Daniel Mohamed Sinclair kelihatan berisi seakan-akan mengandung tiga bulan.

Bagaimanapun, Bunga dan Ashraf enggan mengulas apabila ditanya mengenai perkara tersebut.

Bunga dan Ashraf bernikah dua tahun lalu di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta Selatan.

Pernikahan pasangan selebriti berkenaan cukup meriah dan mewah dan mendapat publisiti meluas di Indonesia maupun Malaysia.

Spin Akan Teruskan Perjuangan - Aie


KEMATIAN mengejut vokalis kumpulan Spin, Achik ekoran kemalangan ngeri kelmarin bukan sahaja mengejutkan peminat malah ahli kumpulan itu sendiri.

Pemain gitar utama kumpulan itu, Aie berkata, semua ahli seolah-olah berputus asa ketika ini.

"Kami macam putus asa... Saya tidak tahu sama ada akan mencari vokalis baru ataupun salah satu ahli kumpulan akan menggantikan Arwah Achik sebagai vokalis.

"Saya tak boleh nak jawab sekarang... yang pasti, kami akan terus berjuang demi Spin, selagi ada peminat Spin," katanya kepada mStar Online kelmarin.

Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari, 27, maut dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (Lekas).

Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki penyanyi itu dikatakan terbabas dan melanggar papan tanda.

Aie berkata, dia dan ahli kumpulan lain telah menjangkakan persoalan siapa pengganti Allahyarham itu timbul baik daripada peminat mahupun media.

"Kami telah berbincang mengenai masa depan kumpulan ini sebelum mencapai keputusan mahu meneruskan perjuangan seni kami," katanya.

Kumpulan Spin ditubuhkan pada tahun 1998 yang turut dianggotai Raymie sebagai pemain gitar bass dan Tal (pemain dram).

Antara lagu-lagu yang popular termasuk Janji Kita, Kasih Ibu dan Hadirlah Mustika. Album Spin termasuk Keranamu, Demi dan Balada Menyengat.

Sementara itu, Allahyarham Achik menurut Aie, telah menunjukkan tanda-tanda ganjil pada bulan lalu.

"Saya terima banyak panggilan telefon daripada Achik. Lebih 10 kali, dia membuat panggilan telefon dalam sehari tapi pada masa itu, saya tengah sibuk bekerja.

"Ia berlaku secara kerap.. bukan sahaja sekali dua. Bila pergi jumpanya, arwah diam dan tidak menceritakan apa-apa," katanya yang bekerja sebagai Pegawai Lapangan, Jabatan Penerangan Bahagian Hulu Selangor.

Malah Aie memberitahu, arwah menelefonnya pada pukul 5.15 petang hari kejadian dan mengajaknya keluar.

Kerana sibuk bekerja untuk pilihan raya kecil di Hulu Selangor kini, dia terpaksa menolak pelawaannya.

"Sejam kemudian, saya terkejut menerima berita sedih bahawa Achik telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya," ujarnya.

Aie menyifatkan Achik sebagai seorang yang happy-go-lucky dan tidak ambil hati jika ahli-ahli kumpulan bergurau kasar sekali pun.

"Kami bukan kawan tetapi macam adik-beradik," katanya dalam nada sedih.

Bagi peminat Spin, Aie memberitahu lagu 'Engkau yang kucinta' adalah nyanyian terakhir arwah Achik bersama kumpulan itu.

Katanya, ia terdapat dalam kompilasi album bertajuk '5 Remaja Rock Leleh'.

Poligami Tanpa Izin: Zizie Izette Serah Pada Mahkamah


“KES ini (poligami tanpa izin) terlalu peribadi. Jadi, biarkan pihak mahkamah tentukan pada 18 Mei ini,” kata aktres Zizie Izette kepada berhubung perkahwinannya dengan Datuk Bung Moktar Radin yang didakwa atas kesalahan berpoligami tanpa izin.

Isteri kedua kepada ahli Parlimen Kinabatangan itu bagaimanapun menegaskan perkahwinan mereka yang berlangsung di rumah saudara mereka di Cemerlang Height, Kuala Lumpur pada 16 Disember tahun lalu sah mengikut hukum syarak.

“Pernikahan kami sah mengikut hukum Allah dan syarak, ada wali dan saksi. Cuma kami bernikah tanpa izin dan menyalahi undang-undang syariah Malaysia.

“Bagaimanapun, kami tidak perlu mempertikaikan tentang pernikahan ini kerana ia terikat dengan kuasa undang-undang. Kita tunggu sahaja keputusannya pada 18 Mei ini dan lihat apa yang akan berlaku selepas itu,” ujar pelakon drama popular itu yang turut hadir ke Mahkamah Syariah Gombak Timur bersama-sama suaminya pagi tadi untuk dibicarakan atas kesalahan tersebut.

Bung Moktar dan Zizie telah dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombar Timur hari ini untuk menghadapi dakwaan berpoligami tanpa kebenaran. Kedua-duanya mengaku bersalah. Hakim menetapkan 18 Mei depan untuk menjatuhkan hukuman.

Bagi Zizie, biarlah dia simpan sahaja cerita tentang mengapa perkara itu berlaku kerana tidak elok untuk menceritakan tentang kisah peribadi mereka ibarat membuka pekung di dada.

“Saya rasa tak seronok untuk bercerita tentang perkara ini. Saya tahu mesti ramai yang tertanya-tanya tentang sebab-musababnya,” tuturnya lagi.

Ditanya adakah kes itu mengganggu hubungannya dengan suami, Zizie menjawab: “Kami masih lagi suami isteri…” ujarnya ringkas dan tergesa-tergesa untuk meletakkan telefon kerana mahu bersiap untuk terbang ke New York, Amerika Syarikat pada malam ini atas urusan perniagaan.

Wan Sharmila Alah Kerongsang Tudung


SEMENJAK aktres genit kelahiran Johor Bahru, Johor ini mula meniti langkah di pentas lakonan tanah air, dia begitu sinonim dengan watak-watak remaja yang berwarna-warni dan penuh ceria.

Namun, atas prinsip ingin memberikan warna terhadap watak yang dijayakan serta memperkembangkan bakat seni yang ada, Wan Sharmila Wan Mohamed atau Wan Sharmila (Wan) menyahut cabaran terbaru sebagai guru sekolah pula.

Bukan sahaja watak itu memberi anjakan terhadap watak lazim yang dibawakannya sebelum ini, peranan sebagai guru bernama Siti Hawa untuk telefilem terbaru Bianglala Di Kaki Langit itu juga bakal menyaksikan wanita berusia 28 tahun ini bertudung buat pertama kalinya.

Menurut Wan, pengalaman membawakan watak Siti Hawa bukan sahaja memaparkan imej lakonan yang lebih matang, malah ia juga pengalaman sulungnya bertudung sepanjang terlibat dalam telefilem arahan Rayromani itu.

"Ini adalah pertama kali saya bertudung dalam lakonan. Malah, watak sebagai guru sekolah juga amat berbeza daripada mana-mana watak yang biasa saya bawa sebelum ini.

"Untuk menjayakan watak Siti Hawa saya perlu tampilkan lakonan yang lebih matang, tenang dan baik serta sopan.

"Pada awalnya saya akui agak kekok dan janggal apabila terpaksa bertudung sepanjang penggambaran. Bayangkanlah saya terpaksa menyarung tudung selama berjam-jam selagi penggambaran tidak habis," katanya.

Selain bertudung buat pertama kali, Wan juga sempat berkongsi satu lagi insiden lucu yang berlaku terhadapnya gara-gara bertudung untuk watak itu.

Dia telah mendapat alahan yang agak serius di bahagian kulit bawah lehernya kerana alah pada kerongsang tudung.

"Saya mendapat alahan pada bahagian leher. Kulit pada bahagian bawah leher menjadi kemerahan, gatal dan timbul ruam.

"Tapi jangan salah faham, bukannya kulit saya mendapat alahan kerana terpaksa bertudung, tapi disebabkan oleh kerongsang tudung yang saya pakai.

"Ketika penggambaran hendak bermula, saya terus beli saja kerongsang yang ada di depan mata, mungkin kulit saya alah pada besi kerongsang itu. Habis kulit leher saya merah dan naik ruam," ceritanya dengan bersungguh-sungguh.

Bercerita lagi tentang watak itu, selain kejanggalan yang dirasainya kerana memainkan watak wanita bertudung, Wan turut berasa kekok apabila memainkan watak seorang guru sekolah menengah.

Apa tidaknya, saiz fizikalnya yang kecil itu sedikit sebanyak menimbulkan rasa kekok di hatinya apabila terpaksa mengajar pelajar-pelajar sekolah menengah yang rata-ratanya lebih besar dan tinggi daripadanya.

"Saya rasa kekok juga memainkan watak guru kepada pelajar-pelajar yang lebih bear dan tinggi daripada saya.

"Selain itu, ada juga rasa lucu apabila watak Siti Hawa itu memerlukan saya menjadi seorang wanita yang sopan, baik, berbudi-bahasa dan rasa seperti sangat tua daripada usia saya.

"Namun, ia satu pengalaman yang menarik dan lari daripada watak-watak yang biasa saya bawa sebelum ini seperti gadis remaja, pelajar sekolah, gadis yang ceria dan tergila-gila," tambahnya sambil berseloroh.

Anita Anita Baharom Makin Menyerlah Lakon Watak Antagonis


SEBELUM ini, aktres Anita Baharom lebih menyerlah dan dikenali menerusi watak remaja dan pelajar. Kini, dia semakin menyerlah menerusi watak antagonis pula.

Transisi baru yang dilakukan oleh pelakon drama dan filem Dunia Baru itu memberikan suatu anjakan baru kepada peminatnya yang selama ini menantikan kemunculan watak antagonis lakonan Anita.

“Saya mula berpeluang memegang watak jahat setelah membawakan watak itu dalam filem Hooperz.

“Dalam Hooperz, saya melakonkan watak Saidatul iaitu seorang perempuan yang agresif, mudah melenting dan cepat marah. Saya dah lama menantikan watak seperti itu kerana ia lebih menyerlah.

“Selepas itu, saya juga ditawarkan watak jahat dalam drama Kau dan Aku,” kata ibu kepada seorang anak ini kepada mStar Online.

Bercerita tentang watak Saidatul, bukan senang dia hendak melakonkan watak itu walaupun pada hakikatnya dia menyukai watak tersebut.

Kisahnya bermula apabila cerita ini memerlukan Anita bermain bola jaring dalam sebuah pasukan pelajar kolej yang turut dilakonkan oleh Akma AF, Melissa Maureen, Dawn Jeremiah, Intan Nor Saina, Juliana Evans dan Zazleen Zulkifli.

“Saya perlu berlatih bermain bola jaring dan kembangkan watak melalui latihan yang dilakukan selama dua bulan.

“Selain mendapatkan bantuan penolong pengarah, Pitt Hanif, saya juga mengeluarkan teknik lakonan sendiri berdasarkan pengalaman lalu,” ujarnya.

Ditanya tentang kenangan yang tidak dilupakan sewaktu menjalani penggambaran filem arahan dua pengarah baru, Rosihan Zain dan Sheikh Munasar itu, wanita berusia 27 tahun itu terpaksa melakonkan banyak kali semasa babak membaling tisu kepada kekasihnya lakonan Remy Ishak.

“Agak sukar juga bila perlu baling tisu banyak kali. Saya juga rasa tersangat penat semasa latihan bola jaring.

“Walaupun berlatih pada waktu malam, kami dilatih seperti askar kerana sebelum itu, kami perlu berlari pusing tasik dahulu.

“Selain itu, saya rasa sangat tercabar apabila penggambaran bola jaring dilakukan pada pukul 12 tengah hari yang panas terik,” ceritanya yang menggunakan semangat sukan dalam diri untuk terus bertahan.

Dalam perkembangan lain, Anita juga cuba lari dari selalu muncul membawakan watak remaja. Kali ini, menerusi drama Gugurmu Di Tangkai Madu dan Da’ Bomba, dia membawakan watak isteri orang.

Dia juga melakonkan watak pembantu rumah Indonesia dalam drama 3 Ning. Kini dia sedang sibuk dengan penggambaran drama itu di Pahang sehingga Mei ini.

Aziz Kahwin Untuk Berteman, Bukan Isteri


SEBELUM bulan puasa tahun ini, produser, pengarah dan pelakon terkenal Aziz M. Osman, 48, nekad untuk menamatkan zaman dudanya. Lantas dia memilih tarikh 6 Jun depan untuk bernikah dengan Puteri Sarbainun Lokman, 21, yang kini menjadi tunangannya.

Pasangan itu bertunang pada 18 April lalu di Taman Legenda Mas, Cheras setelah hampir setahun berkenalan.

Semuanya terdetik sekembalinya pulang dari mengerjakan umrah pada 1 hingga 14 Mac lalu. Dari situ, duda beranak enam itu memikirkan tentang hidupnya yang penuh dengan godaan dan cabaran.

“Saya mendapat hidayat untuk melamar Puteri Lily selepas balik dari umrah. Lepas tu, saya terus meminta keluarga saya meminangnya dan berbincang tentang perkahwinan kami.

“Selepas balik dari umrah, saya mula memikirkan tentang amalan yang saya lakukan. Jika mengikut Islam, perkahwinan merupakan amalan yang digalakkan dan saya fikirkan orang yang berkeluarga akan mendapat lebih banyak pahala.

“Sebagai manusia, saya tidak perlu serik untuk berkahwin lagi,” katanya.

Sebelum ini, dia pernah berkahwin tiga kali namun akhirnya ketiga-tiganya tidak dapat diselamatkan termasuk yang terakhir sekali disebabkan alasan perkahwinan tidak sah.

Sepanjang mengenali anak kepada Lokman Ghani, Pegawai Produksi Istana Budaya (IB) yang juga pengarah teater terkenal, Aziz berkenan dengan sikap perempuan itu yang matang dan serasi dengan anak-anaknya.

“Walaupun dia jauh lebih muda daripada saya, tetapi dirinya sangat matang. Isu muda 27 tahun dari saya tidak menjadi persoalan untuk saya berkahwin dengannya.

“Berdasarkan pemerhatian saya, dia bijak mengendalikan anak-anak saya dan mesra dengan mereka. Anak-anak juga dapat menerimanya dan memanggilnya ‘mummy’,” ujarnya lagi.

Walaupun Puteri Lily bergelar pelakon dan pemilik syarikat GNE Talent Agency, namun Aziz tidak mahu bakal surinya itu hanya terperap di rumah dan melakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri.

“Saya berkahwin dengannya bukan untuk dia menjaga makan dan pakaian saya tetapi sebab saya perlukan teman untuk berada di sisi saya ke mana sahaja saya pergi.

“Saya nak dia menjadi sahabat saya sehingga ke akhir hayat dan melakukan semua perkara termasuk kerja di rumah bersama-sama.

“Saya tak mahu dia melakukan kerja seorang isteri kerana terpaksa sehingga tiba pada satu peringkat ia boleh merosakkan hubungan kasih sayang,” tutur produser drama bersiri popular Puteri, Bong, Vice Versa dan Dunia Anita itu.

Jelasnya, pengajaran lalu banyak mengajar dirinya untuk melatih diri menganggap seorang isteri sebagai seorang sahabat.

“Saya sentiasa mencari perkara yang baik dalam hidup. Kesilapan lalu menjadi guru kepada diri-sendiri. Mungkin silap saya dulu apabila menganggap seorang isteri perlu duduk di rumah,” tambahnya.

Terbit semula filem Azura

Ditanya tentang kariernya, Aziz yang sibuk dengan syarikatnya, Ace Motion Picture sedang dalam proses menghasilkan semula filem lama terbitan Deddy M. Borhan berjudul Azura.

“Saya dah beli hak cipta filem Azura dan berminat untuk menerbitkan semula filem itu kerana ceritanya tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

“Jalan cerita dalam filem itu juga menggambarkan tentang apa yang berlaku sekarang. Walaupun saya akan memperbaharui sedikit jalan ceritanya, namun ia masih sesuai dengan keadaan semasa,” katanya yang turut akan menerbitkan siri terbaru Puteri.

Selain itu, Aziz berkata dia sedang menantikan tayangan filem arahannya CE1 pada Hari Raya Haji tahun ini.

Wan Aishah (Generasi ke-7 Mahsuri) Akhiri Zaman Bujang


PHUKET: Dengan sekali lafaz Wan Aishah Wan Nawawi, generasi ketujuh Mahsuri, semalam sah menjadi isteri kepada Alee Tongyon, 27, seorang usahawan muda industri pelancongan.

Digelar Princess, Wan Aishah, yang nama Siamnya ialah Sirintra Yayee, dinikahkan sendiri oleh datuk sebelah ibunya, Abdul Karim Dumluck dengan bersaksikan khatib Masjid Kampung Tambon, Kemala di sini Abdul Kadir dan bilal, Rofiq Somsat.

Majlis pernikahan itu dilangsungkan malam ini di masjid berdekatan kediaman ibu bapa Wan Aishah di Kampung Tambon, Kemala, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Satu majlis resepsi akan berlangsung di rumah Wan Aishah pada Sabtu ini dan dijangka dihadiri hampir 600 tetamu jemputan.

Salah seorang ahli keluarga Wan Aishah memberitahu pernikahan Wan Aishah diatur oleh keluarga.

Alee merupakan rakan sekampung Wan Aishah sejak kecil.

Pasangan ini bagaimanapun mula rapat sejak Wan Aishah memasuki universiti dan mengikat tali pertunangan awal tahun lalu.

Bakal suami Wan Aishah difahamkan seorang usahawan yang memiliki syarikat produksi dan terlibat dalam bisnes hotel serta resort di Phuket.

Wan Aishah, adalah anak sulung daripada dua beradik kepada pasangan Wan Nawawi Wan Hashim seorang pemandu tut-tut dan Sumaini Karim, pekerja hotel.

Wan Aishah menjadi idola rakyat Malaysia sekitar awal 90-an apabila kisahnya berjaya dijejak Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah yang kemudian disusuli Ekspedisi Melawat Phuket anjuran majalah Al-Islam pada 1998.

Ketika itu Wan Aishah baru berusia 12 tahun. Sejak itu berita mengenai penemuan waris generasi ketujuh Mahsuri itu tersebar luas terutama di Thailand dan Malaysia.

Penemuan Wan Aishah menamatkan sumpah Mahsuri ke atas Pulau Langkawi yang menjadi padang jarak padang tekukur sejak tujuh keturunan Mahsuri yang silam.

Ekoran penemuan itu, Utusan Melayu (M) Berhad mengambil daya usaha menjadikan Wan Aishah sebagai anak angkat dan mengatur beberapa program berkaitan sejarah moyangnya Mahsuri di Malaysia.

Antara yang paling menarik ialah Minggu Pengisahan Mahsuri di Pulau Langkawi yang mendapat sambutan hangat pelancong dalam dan luar negara.

Wan Aishah pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tetapi cuma untuk tempoh setahun dan kembali menyambung pelajarannya di University of Bangkok dalam jurusan komunikasi.

Pemegang Ijazah Komunikasi Ramkamseng Universiti Bangkok akan memenuhi impiannya menjadi wartawan walaupun setelah bergelar isteri.

Keputusan Lafaz Cerai Sha'arin-Ida 1 Julai


KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 1 Julai ini untuk membuat keputusan perbicaraan kes pengesahan lafaz cerai pelakon terkenal, Ida Nerina dan suaminya, bekas pemuzik Blackrose, Sha'arin Mohd Razali.

Hakim Mohd Yunus Mohamad Zin turut mengarahkan pihak plaintif (Sha'arin) dan defendan (Ida) untuk mengemukakan penggulungan hujah pada 21 Mei dan 21 Jun ini.

Pasangan itu hadir di mahkamah semalam. Ida menggunakan kerusi roda sambil ditemani saudara-mara serta artis kenalan seperti Atilia dan Susan Lancaster.

Dalam prosiding semalam, mahkamah meminta pihak plaintif membuat pindaan terhadap hujahan awalnya ekoran fakta baru yang ditimbulkan Sha'arin.

Semasa menjawab soalan peguam, Akbarden Abdul Kader yang mewakili Ida, plaintif memberitahu bahawa dia melafazkan cerai dalam bahasa Malaysia dan diikuti bahasa Inggeris.

Lafaz cerai itu berbunyi, "Baiklah, saya ceraikan kamu" dan "Okay, I'll divorce you".

Sebelum ini, Sha'arin dalam pengakuan bersumpahnya berkata, dia hanya melafazkan cerai dalam bahasa Malaysia.

Ekoran itu, Mohd Yunus mengarahkan peguam, Mahyuddin Md Zahari yang mewakili Sha'arin membuat pindaan terhadap fakta kes.

Jelas beliau, ini kerana fakta baru itu mempengaruhi bilangan talak yang dijatuhkan.

Pada 12 Oktober tahun lalu, Sha'arin memfailkan permohonan pengesahan cerai selepas mendakwa pernah melafazkan cerai terhadap isterinya pada September lalu.

Kedua-dua mereka berkahwin pada 2 Jun2006.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails