Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Spin Akan Teruskan Perjuangan - Aie


KEMATIAN mengejut vokalis kumpulan Spin, Achik ekoran kemalangan ngeri kelmarin bukan sahaja mengejutkan peminat malah ahli kumpulan itu sendiri.

Pemain gitar utama kumpulan itu, Aie berkata, semua ahli seolah-olah berputus asa ketika ini.

"Kami macam putus asa... Saya tidak tahu sama ada akan mencari vokalis baru ataupun salah satu ahli kumpulan akan menggantikan Arwah Achik sebagai vokalis.

"Saya tak boleh nak jawab sekarang... yang pasti, kami akan terus berjuang demi Spin, selagi ada peminat Spin," katanya kepada mStar Online kelmarin.

Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari, 27, maut dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (Lekas).

Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki penyanyi itu dikatakan terbabas dan melanggar papan tanda.

Aie berkata, dia dan ahli kumpulan lain telah menjangkakan persoalan siapa pengganti Allahyarham itu timbul baik daripada peminat mahupun media.

"Kami telah berbincang mengenai masa depan kumpulan ini sebelum mencapai keputusan mahu meneruskan perjuangan seni kami," katanya.

Kumpulan Spin ditubuhkan pada tahun 1998 yang turut dianggotai Raymie sebagai pemain gitar bass dan Tal (pemain dram).

Antara lagu-lagu yang popular termasuk Janji Kita, Kasih Ibu dan Hadirlah Mustika. Album Spin termasuk Keranamu, Demi dan Balada Menyengat.

Sementara itu, Allahyarham Achik menurut Aie, telah menunjukkan tanda-tanda ganjil pada bulan lalu.

"Saya terima banyak panggilan telefon daripada Achik. Lebih 10 kali, dia membuat panggilan telefon dalam sehari tapi pada masa itu, saya tengah sibuk bekerja.

"Ia berlaku secara kerap.. bukan sahaja sekali dua. Bila pergi jumpanya, arwah diam dan tidak menceritakan apa-apa," katanya yang bekerja sebagai Pegawai Lapangan, Jabatan Penerangan Bahagian Hulu Selangor.

Malah Aie memberitahu, arwah menelefonnya pada pukul 5.15 petang hari kejadian dan mengajaknya keluar.

Kerana sibuk bekerja untuk pilihan raya kecil di Hulu Selangor kini, dia terpaksa menolak pelawaannya.

"Sejam kemudian, saya terkejut menerima berita sedih bahawa Achik telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya," ujarnya.

Aie menyifatkan Achik sebagai seorang yang happy-go-lucky dan tidak ambil hati jika ahli-ahli kumpulan bergurau kasar sekali pun.

"Kami bukan kawan tetapi macam adik-beradik," katanya dalam nada sedih.

Bagi peminat Spin, Aie memberitahu lagu 'Engkau yang kucinta' adalah nyanyian terakhir arwah Achik bersama kumpulan itu.

Katanya, ia terdapat dalam kompilasi album bertajuk '5 Remaja Rock Leleh'.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails