Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Datin Suliza Salam Jadi Inspirasi Anak-anak


Kesederhanaan Datin Suliza Salam dalam mengatur kehidupan peribadi dan keluarga cukup terserlah sepanjang sesi pertemuan di kediamannya di Taman Tun Abdul Razak, Ampang. Setiap butir bicaranya penuh hikmah, begitu juga dengan kesantunan bahasanya yang jelas terpelihara. Sifat yang ada dalam dirinya itu memberi inspirasi yang besar bukan sahaja kepada tiga orang anaknya malah sesiapa sahaja yang dekat dengannya.

Kecemerlangannya mengasuh anak sulungnya, Nur Izzati, 19 tahun yang berjaya memperoleh Biasiswa Yang Dipertuan Agong ketika menuntut di Kolej Yayasan Saad benar-benar mengagumkan. Biasiswa yang diperoleh itu membolehkan gadis manis ini memasuki mana-mana universiti yang diinginkannya. Anak keduanya, Nur Falahi, 15 dan yang bongsu, Ismail Izzani, 11 bersekolah di Sekolah Taman Ilmu dan Budi (SETIABUDI).

“Saya takut untuk mengatakan yang diri saya terbaik. Saya seperti manusia biasa yang terlalu banyak kelemahan dan diuji Allah. Tapi saya percaya zaman remaja banyak dugaannya. Dulu kita pun nakal juga, tapi tak boleh menghukum atau memaksa anak-anak sehingga mereka sanggup berbohong untuk menutup setiap kesalahan. Sebab itulah saya tekankan agar anak-anak melakukan sesuatu perkara atas dasar keikhlasan hati.

“Sebagai ibu, saya juga perlu belajar ilmu keibubapaan. Selain usaha-usaha itu, saya tak lupa memohon doa agar anak-anak berjaya dunia dan akhirat. Sejak kecil lagi, saya dah terapkan asas agama yang kuat pada anak-anak. Insya-Allah mereka tidak akan sesat,” tuturnya yang memberikan nasihat kepada anak-anak berdasarkan pengalaman diri.

Datin Suliza juga dilantik menjadi Ahli Majlis Wanita Kebangsaan, Wanita PERKIM (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia), naib pengerusi bahagian Selangor dan Pengerusi Cawangan Bukit Antarabangsa dari tahun 2004 hingga kini.

“Anak-anak diterapkan dengan unsur kemanusiaan dengan tidak merasakan kemewahan yang ada itu sebagai sesuatu yang melalaikan sehingga membutakan pintu hati. Prinsip saya yang pegang, ‘simple dan down to earth’ telah membuatkan anak-anak menjadi akrab. Setiap kali ada aktiviti bersama PERKIM, saya bawa anak-anak untuk mereka melihat sendiri alam realiti kehidupan ini.

“Nasihat saya tidak pernah terhenti. Saya anggap anak-anak macam kawan. Jika mereka silap saya akan menegurnya dan mereka boleh bercerita tentang apa-apa sahaja dengan saya termasuklah soal peribadi mahupun pembelajaran. Anak-anak juga tahu bahawa tiada orang yang jujur sebagaimana keluarga sendiri. Kadangkala orang lain memuji sekadar untuk mengambil hati, tetapi apa yang saya katakan lahir dari hati seorang ibu yang tidak mahu melihat anaknya ditimpa susah,” tuturnya yang masih kelihatan jelita dalam usia 40-an itu.

Ketika dirias sempat anak sulungnya itu, Izzati berkongsi rahsia ibunya mendidiknya. Katanya Ibunya seorang yang tidak pernah memaksa anak-anaknya sebaliknya sentiasa memberi dorongan kepadanya.

“Walaupun saya masuk asrama, mama tak pernah terlepas pandang. Setiap minggu dia akan datang ke kolej untuk melihat dan memberikan motivasi kepada saya. Saya bersyukur dengan dorongan yang diberikan. Kejayaan yang diraih membuatkan ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi, sebab itulah saya berusaha untuk tidak menghampakan mereka,” ujar Izzati yang mengerjakan solat terawih dengan ibunya sepanjang Ramadan ini.

Hati Mudah Tersentuh
Penglibatan Datin Suliza dengan PERKIM atas dasar kepercayaan ahli pertubuhan tersebut dengan kepimpinannya yang ampuh. Ternyata wanita anggun ini tidak pernah mendabik dada dengan status dirinya. Setiap kali diperlukan untuk bertemu dengan masyarakat asli sekalipun, Datin Suliza tidak pernah menolak pelawaan tersebut.

“Orang selalu ingat PERKIM sekadar memberi bantuan kepada mualaf semata-mata. Tugasnya besar meliputi memberikan kebajikan untuk masyarakat umum, namun pendekatannya lebih kepada mualaf. Ketika di bulan Ramadan lalu, kami telah berjumpa dengan orang asli untuk menyerahkan bantuan makanan agar mereka dapat berbuka dengan baik.

“Hati saya cukup tersentuh apabila mendapat tahu ada di kalangan orang asli yang terpaksa mengorek tanah untuk mencari makanan. Memanglah mereka tinggal di rumah batu, tapi jika tidak berduit, itulah yang terpaksa mereka lakukan. Sekurang-kurangnya kedatangan kami dapat memberi sinar Ramadan kepada mereka,” akuinya yang begitu teruja saat berkongsi pengalaman di kediaman orang asli ini.

“Saya ini pun manusia serba kekurangan. Janganlah kerana wang membuatkan hati saya menjadi buta dan tidak nampak kasih sayang orang lain. Sebolehnya biarlah apa yang saya miliki ini dapat dikongsi dalam bentuk sedekah dan diinfaq ke jalan Allah,” tambahnya yang cukup mesra dengan pembantu rumahnya.

Akrab Dengan Pembantu Rumah
Kemesraan antara keluarga Datin Suliza dengan dua orang pembantu rumahnya ternyata cukup unik sekali. Bak kata Datin Suliza, pembantunya yang telah berkhidmat dengannya hampir 19 tahun lamanya itu tidak sedikit pun dianggap sebagai orang gaji. Mereka bagaikan ahli keluarga yang membantunya meringankan beban tanggungjawabnya ketika berada di rumah.

“Saya cukup beruntung kerana mempunyai dua orang pembantu yang amat berdedikasi. Mereka amat berbudi pekerti dan menyayangi anak-anak saya dengan sepenuh hati. Mereka juga tidak menggunakan kebebasan yang saya berikan dengan sewenang-wenangnya.

“Sebab itulah, kalau saya membeli baju baru, mereka pun akan dapat juga. Begitu juga dengan bekalan makanan tambahan akan saya sediakan untuk mereka. Kalau boleh saya mahu melihat mereka sentiasa sihat dan bertenaga. Alhamdulillah, sepanjang mereka berada di rumah ini tidak pernah sehari pun mereka mengalami demam.

Kalau mereka mahu ke pasar, saya bekalkan wang dan mereka akan keluar dengan teksi mahupun bas. Sikap saling percaya itulah membuatkan saya tidak perlu menyorokkan barang kemas saya sekalipun,” ujarnya lagi.

Keakraban antara pembantunya dengan anak-anaknya itu juga membolehkan mereka saling berinteraksi dengan bahasa Jawa. Anak-anaknya tidak pernah diajar bahasa Jawa secara formal, sebaliknya sejak kecil mereka telah mendengar pertuturannya dengan pembantunya itu. Semakin meningkat remaja, mereka semakin memahami dan boleh menuturkannya dengan baik.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails