Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Danny & Leen pilih Hari Malaysia


HATI Mohd. Kardanie Anwa kini sedang berbunga riang ketika ini apabila wanita idaman, Zaidatul Norfazlin Zakaria, 25, sah menjadi teman hidupnya. Momen indah yang termeterai pada Hari Malaysia iaitu 16 September 2011, pasti tidak akan dilupakan.

Pada tarikh bersejarah itu penyanyi kumpulan X-Factor ini bersatu dengan pramugari syarikat penerbangan Air Asia X.

Mengambil keberkatan hari Jumaat yang mulia, majlis tersebut berlangsung di Masjid An-Nur, Kampar, Ipoh.

Seramai kira-kira 50 orang terdiri dari ahli keluarga terdekat menyaksikan Danny dinikahkan dengan Zaidatul Norfazlin atau lebih mesra disapa Leen.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya dah ada tanggungjawab baru sekarang ini,” reaksi awal Danny sejurus selepas upacara terbesar dalam hidupnya itu diadakan.

Bercerita tentang detik keramat sebelum Danny diijabkabulkan mengundang rasa lucu. Mungkin disebabkan terlalu gemuruh, dia melafazkan akad nikah sebanyak dua kali.

Perasaan tersebut sukar ditafsirkan walaupun ditenangkan oleh kedua-dua abangnya, Mohd. Shamsuri dan Mohd. Anusidiqie, serta ahli keluarga lain yang berada di sekeliling Danny.

“Saya tak tahu apa yang berada dalam fikiran ketika itu. Syukurlah semua berjalan lancar. Tapi saya tak boleh lupa bagaimana sukarnya tok kadi menyebut nama saya sampai berbelit lidah dia.

“Sebab selalunya kita lihat, tok kadi yang tunggu sang pengantin, tapi kes saya ini terbalik pula. Apa pun, itu adalah kenangan manis yang pasti disimpan sampai mati,” ceritanya penuh ceria.

Kegembiraan itu turut dirasai kedua-dua ibu bapa Danny iaitu Anwar Muhammad dan Shamsiah Shiraku serta keluarga mentua sejurus upacara wajib itu selesai.

Pada majlis tersebut, Danny menyerahkan mas kahwin sebanyak RM1,500 dan wang hantaran sebanyak RM11,201.11.

Sebenarnya, angka wang hantaran yang diberikan berkait rapat dengan tarikh perkenalan Danny bersama Leen buat pertama kalinya iaitu pada 1 Januari 2011.

Menurut Danny, momen terindah itu sengaja diabadikan kerana ia bakal diceritakan kepada bakal anak-anak yang lahir kelak. Bagaimana kedua-dua ibu bapa mereka bertemu janji, bertunang (20 Mac 2011) sebelum berkahwin.

Mengajukan persoalan ke mana pasangan pengantin ini bakal berbulan madu, lelaki berusia 31 tahun ini masih belum memberi jawapan. Katanya, semuanya bergantung kepada jadual penerbangan Leen yang tidak menentu.

“Kita tengoklah nanti, macam mana. Nak cakap pasal bulan madu ini susah. Nanti, kalau dah selesai semua, kita berbulan madu,” ringkasnya.

Majlis kesyukuran di rumah Danny bakal diadakan di Pasir Mas, Kelantan pada 1 Oktober 2011. Sementara majlis resepsi untuk sahabat dan rakan di sekitar ibu kota bakal diadakan di Dewan Seri Hendon, Putrajaya pada Disember depan.

Kepada Danny dan Leen, Pancaindera mengucapkan Selamat Pengantin Baru dan semoga berbahagia.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails