Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Fizo sudah ada jiwa


BUAT Fizo Omar, istilah mustahil tidak ada dalam kamus hidupnya. Itu prinsip anak muda yang bermula dengan bermain bola sepak ini.

Malah jejaka dengan nama berdaftar Wan Hafizol Wan Omar ini mengaku dia tidak pernah terfikir untuk bergelar pelakon. Namun, atas pegangan yang digenggamnya, dia yakin dapat melakukan sesuatu perkara tanpa mudah mengalah.

“Saya tidak kata yang saya sudah berjaya tetapi saya sentiasa dan sedang berusaha. Kejujuran dalam pekerjaan itu penting,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar drama bersiri Soffiya, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Drama itu kini bersiaran di TV3 setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam.

Membawakan watak Ilyas, seorang peguam yang jatuh cinta dengan kliennya, Fizo menganggap jalan cerita drama arahan sutradara Joeza Rasidi dan hasil nukilan Eenaz Mokhtar serta Tommy Loh itu punya keistimewaan sendiri.

“Saya suka jalan cerita Soffiya dan watak saya sebagai seorang peguam. Saya juga gemar semua pelakon dalam drama itu.

“Untuk jadi pelakon yang hebat, saya perlu berada dalam kalangan aktor dan aktres yang hebat,” ujar Fizo yang berlakon bersama Tiz Zaqyah, Azhar Sulaiman, Ixara Aisyah, Syazwan Zulkifli dan Hilal Azman dalam drama terbitan Filmscape Sdn. Bhd. itu.

“Cabaran terbesar untuk membawakan watak Ilyas ialah dua personaliti berbeza yang dimiliki lelaki itu. Sewaktu bersama tunangnya, Fiona, watak Ilyas berlainan.

“Begitu juga apabila berhadapan dengan kliennya Soffiya lakonan Tiz Zaqyah. Ada pertembungan personaliti di situ,” ujarnya.

Fizo turut gembira dengan tawaran berlakon filem yang semakin banyak menghampirinya.

“Alhamdulillah, tahun depan ada lima buah filem saya yang bakal keluar,” ujar Fizo yang juga pengacara program 3 Hari 2 Malam dan Nasi Lemak Kopi O di TV9.

“Saya rasa lakonan saya semakin ada jiwa. Berbeza dengan produk awal saya yang rasanya kosong dan sekadar membaca skrip.

“Tetapi seiring pengalaman, saya semakin faham dengan erti lakonan,” ujar Fizo yang akan muncul dengan filem Hello, Halimunan, 7 Petala Cinta, Minyak Dagu dan Azazil pada tahun hadapan.

Ketika ditanya apa lagi yang mahu dilakukan atas prinsip tiada yang mustahil, Fizo tersenyum seraya menjawab: “Saya mahu menjadi seorang deejay radio pula. Ingin mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup saya. Tetapi lakonan adalah kecintaan utama saya.”
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails