Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bahagia tanpa lelaki di sisi - Maya Karin


TERASA pantas benar waktu berlalu apabila sudah hampir satu setengah tahun aktres jelita ini menjalani kehidupan sebagai seorang janda.

Malah, tuan punya badan sendiri juga mengakui perkara yang sama apabila diajukan soalan seandainya dia sudah bertemu dengan teman hidup baru.

“Baru saya sedar yang rupa-rupanya sudah lama juga saya hidup sendirian. Rasa seperti baru semalam sahaja perkara itu berlaku (perceraian).

“Menjawab soalan itu, saya tidak mempunyai mana-mana teman istimewa ketika ini. Jujurnya, saya rasa cukup bahagia hidup keseorangan tanpa lelaki di sisi saya.

“Bukannya hidup saya akan berakhir apabila tiada lelaki yang menemani saya. Soal itu bukan lagi satu keutamaan buat saya.

“Lebih baik hidup sendiri kerana banyak perkara yang boleh saya lakukan seperti menghabiskan masa dengan bercuti yang sudah lama saya tidak berpeluang melakukannya,” kata Maya Karin penuh optimis sewaktu ditemui pada Majlis Amal Raya Murai bersama DoubleTree by Hilton di ibu negara, baru-baru ini.

Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke mendirikan rumah tangga dengan seorang guru matematik, Steven David Shorthose pada 14 Ogos 2008 di Bellagio, Itali.

Namun, jodoh mereka tidak panjang apabila Maya diceraikan dengan talak satu pada 16 Julai tahun lalu.

Selepas kembali solo, nama Maya tidak terlepas daripada dikaitkan dengan beberapa artis lelaki popular seperti Remy Ishak dan Yusry Abdul Halim.

Tetapi, semua cerita tersebut dibawa angin lalu apabila Maya memberitahu hubungannya dengan dua jejaka kacak itu tidak lebih daripada sekadar kawan sahaja.

Tenang bercuti

Kalau diperhatikan juga, publisiti tentang Maya begitu kurang dipaparkan di media massa kebelakangan ini.

Tetapi, mengenali Maya dan kredibilitinya sebagai seorang artis yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni, dia bukanlah seorang yang gemar menjaja cerita kosong semata-mata mahu mengekalkan reputasinya.

Seperti mana yang dijelaskan Maya di awal perbualan, beberapa bulan kebelakangan ini, dia lebih banyak menghabiskan masa dengan bercuti ke luar negara sekali gus menjawab persoalan mengenai ‘kehilangannya’.

Kata Maya, dia perlu menghargai dirinya sendiri dan kerana itu, dia perlu bercuti bagi mencari ketenangan selain merehatkan tubuh serta mindanya selepas puas bekerja.

Lantaran itu, tahun 2011 boleh dianggap sebagai tahun percutian untuk aktres yang mula menempa nama menerusi filem Seri Dewi Malam ini apabila sudah banyak negara yang dilawatinya.

Bermula dari awal tahun, Maya sudah ke Jepun dan kemudiannya ke beberapa destinasi menarik di Amerika Selatan, Bhutan dan terbaru, menyambut Aidilfitri di Sydney serta Byron Bay di Australia selama dua minggu.

Melihatkan kulit wajahnya yang kemerah-merahan pada majlis itu, ternyata Maya sedang mengalami selaran matahari (sunburn) gara-gara aktiviti meluncur pantai yang menjadi rutinnya hampir setiap hari ketika di Byron Bay.

“Alhamdulillah, saya berasa sungguh gembira mendapat peluang bercuti sepanjang tahun ini ke negara yang belum berkesempatan saya kunjungi sebelum ini.

“Percaya atau tidak, saya sendiri tidak pernah berpeluang ke Australia sepanjang hidup saya dan apabila ada teman serta saudara yang mengajak saya untuk ke sana, sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang itu.

“Tetapi jangan ada yang menyangka saya bercuti kerana mahu mencari ketenangan hanya kerana saya sudah hidup keseorangan. Semua itu tidak benar kerana saya mahu lari sebentar daripada kerja.

“Lagipun saya sendiri sudah menyiapkan tiga projek iaitu dua buah filem, Katerina dan Ombak Rindu serta album ketiga saya,” jelas Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 menerusi filem Anak Halal ini panjang lebar.

Album ketiga tertangguh

Menyentuh tentang album ketiganya pula, anak kelahiran Bayreuth, Jerman itu memberitahu kesemua lapan buah lagu sudah siap dirakamkan.

Diterbitkan sepenuhnya oleh komposer prolifik, Audi Mok, album yang berkonsepkan pop itu sepatutnya akan berada di pasaran sebelum penghujung tahun ini.

Tetapi, kata Maya yang pernah menempa kemasyhuran sebagai penyanyi menerusi lagu Erti Cinta itu, kerana beberapa faktor teknikal, kemungkinan besar album itu terpaksa ditangguh terlebih dahulu.

“Selepas mendengar keseluruhan album itu, ada beberapa bahagian pada sesetengah lagu perlu diperbaiki dari segi susunan muzik dan aspek teknikal yang lain.

“Insya-Allah, jika semuanya sudah selesai, album itu akan dipasarkan juga akhirnya. Begitu juga dengan pemilihan lagu untuk dijadikan sebagai single pertama nanti,” kata duta produk kecantikan L’Oreal dan tilam Vono ini penuh harapan.

Sebelum ini, Maya pernah muncul dengan dua buah album Erti Cinta (2001) dan Bukan Qalamaya (2004).

Malah, anak sulung daripada tiga beradik ini juga pernah dicalonkan sebagai Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik pada tahun 2002 namun tewas kepada Sarimah Ibrahim.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails