Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rancang nikah Januari depan - Watie


SEKEJAP mahu berkahwin, sekejap tidak. Ramai yang terfikir apakah sebenar yang bersarang dalam hati wanita yang seorang ini. Apakah punca dia cuba untuk menangguhkan perkahwinan seperti mana yang digembar-gemburkan dalam media baru-baru ini.

Dia dikatakan sebagai pemusnah rumah tangga Joey dan Noraini Mohamad Nasir. Berita itu bukan sesuatu yang baru memandangkan bekas isteri Joey pernah mendedahkan keretakan rumah tangga mereka ketika itu.

Cuma selepas pasangan itu sah bercerai, nada Watie Sadali cukup lain. Dia berkira-kira mahu menangguhkan perkahwinannya dengan duda tersebut. Katanya lagi, dia perlu menangguhkan dahulu impiannya bergelar suri di hati lelaki yang cukup hebat di matanya.

Apakah yang membawa kepada penangguhan perkahwinan itu? Apa benar selepas melihat rumah tangga pasangan itu hancur, Watie mahu melarikan diri pula?

“Tidak sama sekali. Saya tidak pernah berniat nak larikan diri atau tidak mahu berkahwin dengan Joey. Bagi saya, biarlah isu penceraian Joey dengan bekas isterinya reda dan barulah kami memikirkan tarikh untuk bernikah.

“Kami ada merancang nak bernikah pada bulan Januari nanti. Kalau tak bersanding sekalipun memang saya dah niat nak buat kenduri panggil saudara-mara dan kawan-kawan datang makan.

“Mungkin doa tetamu yang akan datang nanti dapat memberikan rahmat buat rumah tangga saya. Tapi itu hanya perancangan dan belum ada kata putus lagi.

“Bila semuanya dah selesai dengan baik, saya akan umumkan pada semua. Itu memang niat saya sejak mula serius dengan Joey. Hal lain tolak ke tepi,” akuinya jujur.

Berbicara soal Joey, Watie cukup terbuka bercerita hal pengarang jantungnya. Menyifatkan Joey merupakan lelaki terbaik yang pernah dijumpainya, Watie sedar tak semudah itu untuk merealisasikan impiannya.

“Dia layan saya dengan baik. Dah macam puteri raja dia buat saya. Memang ini cukup untuk mencairkan hati saya sejak kami rapat. Dulu orang pelik juga kenapa saya pilih Joey.

“Kalau nak kira kaya, memang Joey tak kaya mana. Sampai bila nak hidup atas dasar duit ni. Saya yakin Joey mampu memberikan kebahagiaan dan akan menjaga saya sampai akhir hayat.

“Sampai saat ini dia masih lagi melayan saya dengan baik. Kalau dah kahwin nanti pun saya harap sangat dia akan buat apa yang dia lakukan pada saya masa kami bercinta. Kalau berubah, tak tahulah pula saya,” katanya tertawa.

Ratu kontroversi?

KALAU ada yang mengikuti perkembangan wanita ini pasti tahu tentang peristiwa yang sudah berlaku. Apa sahaja yang tidak pernah berlaku pada dia sampaikan ada yang menganggap dia merupakan artis yang cukup banyak dihimpit dengan segala macam kontroversi.

Tetapi siapa yang mahu dilabel sebegitu rupa? Adakah orang lain tahu apa yang bersarang dan terbuku di hatinya? Tentu sekali tidak bukan. Melihatkan sisi baik dirinya, ada sesuatu yang positif yang mungkin tidak dipunya oleh orang lain.

Dia cukup tabah sampai hari ini. Kalau bukan calang-calang orang mungkin sudah melupakan dunia hiburan yang cukup terkenal dengan sepak terajang yang bukan kepalang.

“Sejak orang mula mengatakan hal saya menjadi punca kehancuran rumah tangga Joey, memang tu cukup perit buat orang macam saya. Macam-macam yang orang katakan sampaikan pada satu tahap saya sudah tak nak dengar semua tu lagi.

“Orang tak tahu apa yang berlaku, orang anggap saya yang bersalah. Macam mana orang menilai saya? Kenal pun tidak, sudah nak jatuh hukum yang saya jahat sangat sampai nak runtuh rumah tangga orang.

“Bila mereka sah bercerai bulan lalu, saya tak lega. Orang masih lagi anggap saya yang menjadi perosak rumah tangga Joey. Padahal saya kenal Joey selepas rumah tangga dia bermasalah.

“Saya tak ambil kesempatan atas apa yang berlaku. Kalau nak jadi isteri nombor dua pun saya tak kisah sebab sebelum ni saya memang jadi isteri kedua orang.

“Bila Joey kata memang mereka nak cerai secara baik, itu hak dia. Kenapa orang tak nak tanya dia dan terus hentam saya. Kalau berani pergilah tanya Joey apa yang dah berlaku sebenarnya.

“Itu masalah rumah tangga dia dengan bekas isterinya. Apa-apa pun yang terjadi dia lebih berhak nak jawab soal ni dan bukan saya. Lagi saya dia lagi banyak orang kutuk dan caci saya bukan-bukan.

“Saya pun pernah alami penceraian dan tak mungkin saya kejam nak buat orang lain bercerai juga. Saya perempuan dan saya faham perasaan orang perempuan yang bercerai juga.

“Sebab itu saya lebih suka orang tahu apa yang berlaku barulah boleh buat kesimpulan sendiri,” luah Watie lagi.

Bukan murahan

MURAHAN sangatkah saya? - Soal Watie bertalu-talu. Bukan soal mahal atau murah yang menjadi isunya tetapi soal kontroversi yang tak pernah padam dalam laluan hidup Watie yang cukup menarik perhatian umum.

Kalau tidak popular, mungkin orang tak kisah langsung perihal ibu kepada Afis Daniel ini. Dek kerana rezeki yang tidak pernah putus-putus Watie tidak rela untuk membiarkan orang terus menutup periuk nasinya dengan cerita yang karut.

“Setiap kali kontroversi timbul orang sering melabel saya perempuan murah. Orang ungkit soal pakaian saya, orang ungkit semua cerita lama saya sampaikan saya lemas dengan semua ini.

“Yang paling saya kasihan bila lihat keluarga saya yang terpukul dengan cerita-cerita negatif tentang saya. Anak saya makin besar, habis macam mana dengan dia pula? Kami pun ada perasaan dan jangan terus nak tabur cerita fitnah.

“Lagi orang kata saya teruk lagi saya kuat. Dulu masa lepas bercerai saya terkontang-kanting tinggal sehelai sepinggang, apa pun tak ada selain anak.

“Perit perceraian itu saya tahu. Bila rumah tangga dah hancur berkecai saya bina balik kehidupan sampai hari ini. Kalau saya tak rasa perit dahulu, mungkin saya tak ada seperti Watie hari ini.

“Bila pasangan tu bercerai, kenalah terima hakikat yang mereka tak ada jodoh. Macam saya cakap tadi, jangan heret saya masuk dalam hal dalam kain mereka. Joey lebih berhak nak cakap semuanya.

“Apa guna kalau kita terus menyalahkan itu dan ini. Kita lihat balik perjalanan kita dan kita lihat apa silap kita. Itu kena perbaiki untuk masa depan kita,” betah Watie lagi.

Terus larut dalam emosi, Watie terkenang apa yang telah berlaku. Bagai tersedar daripada mimpi yang panjang, dia mengaku yang kini dia semakin kurang berlakon disebabkan faktor ini.

Kontroversi demi kontroversi yang melanda cukup menghibakan hatinya. Barangkali orang pun takut untuk menawarkan pekerjaan bimbang tidak dapat memberi komitmen yang tinggi pada mutu lakonan.

Sambil menolak andaian itu, kata Watie dia tidak pernah mencampuradukkan antara kerjaya dan hal peribadi.

“Kalau saya tak profesional mungkin orang dah tak mahu ambil saya berlakon lagi. Ini bukan pertama kali berlaku pada saya tapi dah selalu. Kalau saya bagi masalah pada pengarah, dah sah-sah mereka akan ban saya dari dulu lagi.

“Hidup ni macam roda. Ada kala kita di atas, ada masa di bawah. Kalau tak berhati-hati alamatnya memang tak lama dalam industri. Sebab itu saya cukup jaga disiplin dalam kerjaya,” tambahnya.

Namun satu persoalan yang masih tidak ada jawapan. Isu pengakuan seorang kanak-kanak perempuan bernama Angelina yang mengaku dirinya anak kandung kepada Watie. Sehingga kini isu itu masih belum terjawab.

Kepada Watie, Pancaindera mengajukan soalan yang sama. Tetapi Watie enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak akan komen mengenai hal itu. Itu perkara yang terlalu mengaibkan bagi saya. Apa sahaja orang nak cakap, saya tak peduli tetapi saya tetap tidak akan berkata soal itu.

“Biarlah isu itu antara saya dengan Allah. Tapi saya bersyukur kerana masih boleh menghadapi apa sahaja tohmahan orang dengan penuh sabar,” jelas Watie.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails