Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kematangan Sofia Jane


JUJUR, awalnya tidak tahu mana mahu bermula jalan cerita ini kerana sesi 'sembang' kami meluncur laju seperti air terjun. Datin Sofia Jane, 39, mesra disapa Sofia atau Pia oleh rakan-rakannya berbicara banyak hal, pelbagai peringkat juga status. Tentang kehidupan dan tugasannya sebagai anak seni, ibu dan juga pemerhati dunia pentas lakon. Dia melihat variasi perkara seakan-akan dari mata burung. Dia cukup sensitif terhadap semua perkara yang berlaku di atmosfera dunianya.

Wanita ini jelas punya aura tersendiri. Namanya punya tembok teguh seiring portfolio yang dibinanya sedikit demi sedikit. Sofia Jane Hisham, memang cukup sinonim dengan industri perfileman tanah air. Dia pernah menjadi pujaan jejaka sekitar 1990-an.

Seiring waktu, dicampur tolak dan bahagi, sudah lebih dua dekad dia menyarung status aktres. Bukan sekadar itu, dia diletakkan status diva. Menurut definisi sebenar, diva asalnya diberikan kepada pelantun vokal opera dan kemudian beralih kepada seorang primadona. Sofia Jane bercerita tentang diva dalam konteks opera kehidupan seorang aktres yang diangkat umum sebagai diva.

Sisi malu dan serius

"Berlakon itu eskapisme saya. Saya mahu orang tahu perihal produk saya, tugas saya dan bukan hal-hal peribadi saya. Bila saya menggalas tugas, saya mampu berekspresi dalam pelbagai watak dan jiwa orang lain. Saya merupakan seorang yang sangat tebal dengan sifat malu," Sofia Jane membuka dua sisi karakternya yang saya lihat sebagai sisi syiling, melengkapi dengan harga tersendiri.

Melanjutkan bicara, penulis bertanyakan sisi serius Sofia, sejak bila benaknya diterjah keseriusan bergelar pelakon.

Mengaku serius daripada awal, Sofia turut mengakui pernah elergi karpet merah. Kurang yakin untuk melanjutkan langkah di permaidani khas itu. Siapa sangka rupa-rupanya buat seorang aktres yang penuh daya yakin di layar kaca dan perak, ruang malu dan elergi itu sebenarnya wujud menyelit dalam rongganya.

"Suami saya mengubah perspektif saya. Mempamerkan bahawa industri filem ini juga sebenarnya sebuah bisnes, perlu ada sumbangan berupa itu. Saya pernah kurang selesa bila orang mahu tahu kisah peribadi saya. Seiring usia, saya melihat daripada cahaya yang berbeza. Lebih tenang," luah Sofia yang berterima kasih dengan kaca mata suami, Datuk Meor Zain Azman.

Seiring usia juga, dia mengaku semakin yakin.

"Selepas lebih 22 tahun dalam industri yang kini saya lihat semakin baik, saya yakin dengan apa yang saya mahukan. Saya sudah tidak malu untuk mengungkap apa yang saya mahu, juga tidak segan untuk mengekspresikan apa yang saya rasa. Usia juga membuat saya menganalisis banyak perkara. Kerana apa yang kita buat dan katakan akan pasti menimbulkan kesan, jadi perlu bertanggungjawab terhadap apa sahaja perbuatan kita," luahnya yang mengaku bukan mahu mendatangkan kesusahan buat pihak-pihak luar terhadap sikap cerewet dan teliti terhadap sesuatu perkara. Tetapi nilai itu penting untuk keselesaan dan prinsip dirinya.

"Saya sentiasa mahukan karakter yang bermakna. Agar nanti dilihat apa yang saya buat sebagai Sofia Jane, seorang aktres itu berbaloi. Mahu audiens tahu saya sukakan perkara-perkara yang berbeza. Jadi saya memang berhati-hati memilih watak. Saya mahu berbangga dengan apa yang saya lakukan," ujarnya yang sentiasa melihat perkembangan sesebuah karakter dalam naskhah yang diambilnya.

Tahun ini tahun rehat

"Tahun lepas saya melakonkan pelbagai watak yang menuntut emosi. Watak-watak serius yang menuntut masa dan tenaga antaranya teater Natrah dan telefilem Karma Salina. Tahun ini saya lebih merehatkan diri. Banyak masa untuk famili dan berehat," ujarnya yang turut terlibat dengan filem Hanyut arahan U-Wei.

"Karakter yang saya ambil seperti di Natrah, Karma Salina dan filem Hanyut mempunyai bagasi emosi yang tersendiri," katanya yang bersyukur menerima tawaran kepelbagaian karakter sebegitu.

Tidak dapat disangkal, nama Zaleha ciptaan U-wei cukup dekat dengan dirinya. Satu karakter wanita tersendiri yang melakari sejarah Sofia sebagai seorang aktres terkenal negara. Walau cuba dihakis dengan karakter-karakter lain yang seiring kekuatan Zaleha, namun sebuah filem dengan judul Perempuan, Isteri Dan... cukup kuat melekat. Tempoh 17 tahun lalu, Sofia Jane berpayungkan sutradara U-Wei buat pertama kali.

Sofia ketawa sejenak mengingatkan sejarah yang dibinanya dengan peredaran waktu. Usai filem U-Wei yang mengangkat ikonik Zaleha, Sofia tampil lagi dengan pelbagai warna karakter yang menuntut kepelbagaian emosi dan dia kukuh dalam barisan aktres disegani dan punya ciri khas tersendiri dalam lakonannya.

Sejarah berulang, naskhah berganti, di tangan U-wei sekali lagi dia muncul dalam Hanyut yang dinanti dengan debar khalayak untuk menyaksikan perjalanan sejarah Almayer Folly ini divisualkan.

"Saya sentiasa bermimpi untuk bekerja dengan Khalid Salleh. Malah suami saya mahukan saya dalam Hanyut. Saya percaya Hanyut akan membuat sejarahnya tersendiri. Sebuah penjelajahan yang cukup menarik. Kolaborasi dengan U-Wei kembali dengan skala produksi yang cukup besar," cerita Sofia tentang Hanyut yang mengaku banyak belajar daripada set filem yang turut menampilkan Alex Komang, Adi Putra, Bront Palarae dan Diana Dianelle ini.

"Kalau melihat filem U-Wei, ada kekuatan dalam setiap karakter wanitanya. Ada visi tersendiri. Begitu juga dengan peranan Mem, isteri kepada Kaspar Almayer," ceritanya lagu dalam ritma gembira mengenangkan sesi lakonan dan persediaan yang dibuat secara intensif untuk kejayaan Hanyut. Luncur keyakinan Sofia terhadap Hanyut membuahkan detik tidak sabar menunggu tayangannya.

Hidup kini dan masa depan

Larut bercerita tentang karakter yang dibawanya yang juga bakal mengubat kerinduan khalayak, Sofia bercerita tentang pengisian masa kini dan hadapan.

"Sekarang sudah bukan usia untuk menyesal. Kini adalah untuk mempamerkan kerja-kerja yang saya percaya. Masa untuk tunjuk kepada audiens tentang apa lagi yang boleh saya lakukan. Progresif kerjaya," senyumnya yang sedang merangka satu projek yang berhubung kait dengan sejarah, satu elemen yang menarik perhatiannya.

"Saya mahu terlibat dalam sebuah produksi dan naskhah yang menuntut sebuah penyelidikan. Perkara-perkara yang berlaku sepanjang kajian itu menarik perhatian saya. Mungkin juga satu dokumentari untuk kegunaan generasi akan datang, sesuatu untuk pelajar-pelajar seni. Saya melihat ke arah ini," ceritanya laju yang turut berminat dengan falsafah yang bergerak membina minda masyarakat.

Menyampaikan falsafah kehidupannya kini yang lebih yakin, dia juga mahu menggunakan masa-masa yang dikurniakan dengan lebih bermakna.

"Kena banyak membaca dan mendapat informasi, itu penting dalam hidup. Seiring usia juga, saya mahu mencapai perkara-perkara spiritual dalam hidup saya," luahnya yang bersemangat mahu menyempurnakan projek sejarah yang sedang dirangkanya dengan baik.

Wanita di depan penulis ini sudah punya karpet merahnya tersendiri. Walau tidak sentiasa tampil namun namanya terus hadir dengan cara pilihannya, tersendiri.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails