Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Bienda masih mahu berahsia


WANITA bernama Nor Razlinda Razali, 27, atau lebih dikenali sebagai Bienda ini kini sarat mengendong kandungannya yang telah pun mencapai usia lapan bulan.

Bagi setiap para ibu, tempoh lapan bulan itu sudah cukup untuk kita katakan bahawa kandungannya semakin matang.

Bak kata orang, cuma menunggu hari sahaja.

Masih ingat lagi bagaimana kisah kontroversi pernikahannya yang dibuat senyap-senyap sekitar dua tahun lepas.

Malah, sampai sekarang dia tetap tidak ingin untuk menceritakan mengenai tarikh pernikahannya itu.

Baik Bienda mahupun suami, Kamarul Zariman Abdul Rahman, 29, kedua-duanya lebih selesa mengunci mulut.

Bukan itu sahaja, malah hajat untuk berbicara mengenai jantina bayi kandungannya juga menemui jalan yang sama.

Ternyata, Bienda dan suami memilih jalan untuk berahsia mengenai perkara itu meskipun sudah banyak pihak yang datang memujuk.

Mengaku ramai yang melahirkan rasa teruja untuk mengetahui jantina bayinya, Bienda bagaimanapun lebih suka berteka-teki dengan mereka yang datang bertanya.

“Saya dan suami dah buat ujian imbasan (scan) dan kami ada jawapannya. Tapi maaflah, saya belum bersedia nak beritahu.

“Bukan apa, saya dan suami lebih suka jadikan ia satu kejutan. Biarlah bayi saya lahir dulu. Ketika itu semua orang akan dapat jawapannya bukanlah nak sorok sangat pun,” katanya.

Dalam pada itu, kata Bienda, dia juga bertindak begitu kerana tidak mahu ada pihak yang hampa apabila mendapat tahu jantina bayi itu tidak seperti apa yang diteka dan diharapkan mereka.

“Bayangkan jika keluarga saya harap bayi ini bayi perempuan, tapi keluarga sebelah suami pula nak anak lelaki.

“Tapi bila saya dah bersalin, yang lahir anak perempuan, tentu yang sebelah lelaki pula kecewa.

“Jadi lebih baik kita rahsiakan dulu. Nanti dah bersalin, semua orang akan kongsi rasa gembira yang sama,” ujarnya yang sudah mempunyai nama untuk bayi sulungnya itu.

Ditinggalkan?

Untuk memahami tugas suami yang sentiasa sibuk menuntut kesabaran yang cukup tinggi daripada mana-mana isteri.

Apalagi dalam keadaan bila mana kandungan semakin hari semakin membesar.

Menurut Bienda, untuk beberapa tempoh sepanjang dia mengandungkan bayi sulungnya itu, dia terpaksa berhadapan dengan situasi ditinggalkan suami atas tuntutan kerja.

Namun, kata Bienda, dia tidak mahu terlalu mementingkan diri dan kerana itu dia tidak pernah merungut jika si suami terpaksa melangkah ke luar negara untuk bekerja.

“Boleh dikatakan kerap kali jugalah dia ke luar negara antaranya Perancis, Vietnam, Filipina, China, Indonesia, Australia dan Jepun. Itu semua atas tuntutan kerja.

“Dia mencari rezeki dan saya tidak pernah menghalangnya. Inilah pengorbanan Bienda sebagai seorang isteri.

“Iyalah, dalam keadaan begini, tentulah kita perlukan suami sentiasa di sisi. Lagi-lagi Bienda pula mengalami alahan teruk. Apa pun Bienda banyakkan berfikir benda yang positif supaya jiwa tak rasa terganggu sangat,” katanya.

Pun begitu, kata Bienda, dia juga seperti wanita lain yang pastinya menanggung kerinduan yang dalam terhadap si suami apabila ditinggalkan.

Malah, kata pelantun lagu Penantian ini juga mengaku, saban malam dalam tempoh itu, dia sering mengalirkan air mata.

“Bayangkan, sepanjang mengandung ni, saya cuma mahu dia saja yang menjaga saya. Jadi bila dia tak ada, rasa rindu.

“Malam-malam menangis. Sampaikan saya tak basuh baju terakhir dia pakai sebelum berangkat ke luar negara sebab nak cium bau dia.

“Selain itu, nak ubat rasa rindu, kami berdua juga selalu berinteraksi melalui Skype malam-malam.

“Menariknya, anak dalam perut ni macam tahu saja bila saya nak online dengan walidnya, jadi dia pun akan bergerak-gerak dalam perut. Macam nak beritahu yang dia seronok jugalah agaknya,” katanya sambil ketawa.

Tak buat persiapan

Lazimnya, bagi pasangan yang sedang menanti kelahiran bayi sulung, rata-rata mereka tak boleh membendung rasa teruja untuk menimang cahayamata.

Oleh kerana terlalu teruja, maka berbagai-bagai barangan dibeli sebagai persiapan untuk menanti kedatangan orang baru.

Pun begitu, lain pula halnya dengan Bienda. Katanya, dia dan suami tidak terlalu mengikut perasaan untuk mengeluarkan belanja yang banyak untuk bayi mereka.

Ini kerana, kata Bienda, dia telah dinasihatkan oleh kedua-dua belah keluarga untuk tidak terlalu girang menyambut kelahiran.

“Kalau ikut kata hati, memang teruja sangat. Maklumlah anak pertama. Tapi keluarga banyak bagi nasihat.

“Kami tak banyak beli barang bayi. Adalah sikit, tapi untuk selamat, kami beli kebanyakannya berwarna putih sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Bienda, dia juga sudah terasa debaran menantikan kelahiran bayi sulung yang juga merupakan cucu ketiga dalam keluarga besarnya.

Sebagaimana ibu lain, kata Bienda, dia cuma mengharapkan anaknya itu dapat dilahirkan dengan selamat, sempurna sifat dan sihat.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails