Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

‘Saya bukan penggoda’ - Kila Fairy


UMPAMA besi berani, kelibat figura ini mampu memaku perhatian sesiapa sahaja tatkala muncul di khalayak ramai. Boleh juga membuatkan sesiapa mengalihkan fokus semata-mata untuk memandang fizikal bintang yang baru bersinar ini.

Mungkin penampilan dirinya sedikit menonjol, berbeza dengan kebiasaan aktres tempatan sedia ada menjadikan dia adalah pusat tumpuan di mana-mana sahaja.

“Kelebihan” anugerah daripada Maha Pencipta yang dilihat pada mata kasar sehingga ada memberi jolokan sebagai Angelina Jolie Malaysia lantaran pakej seksi bermula dari hujung rambut hingga ke kaki.

Disebabkan “keistimewaan” tersebut juga membuatkan Kilafairy kurang selesa terutama didatangi pandangan liar, seolah-olah dia telah membuat satu dosa besar.

Mengajukan persoalan tentang bagaimana dia berdepan dengan situasi sebegitu, membuatkan nada bicara wanita berusia 20 tahun ini kedengaran serius.

“Kila tahu memang ada orang cakap bukan-bukan tentang diri Kila, matang sebelum usialah, terlebih yakinlah, tak pandai pilih imej dan macam-macam lagi. Tapi Kila tak boleh nak ubah apa yang ada sebab Kila memang selesa.

“Takkan Kila kena jadi lain semata-mata nak puaskan hati orang. Kila selesa dengan gaya sofistikated dan elegan walaupun ada yang syorkan gaya K-pop, lebih muda bila memakai warna terang, sesuai dengan umur Kila.

“Lagi pun setiap personaliti manusia itu kan berbeza, masing-masing ada karakter tersendiri. Perkara ini perlu difahami betul-betul terutama buat yang suka jaga tepi kain orang,” tegas pelakon filem muzikal Hoorey Hoorey ini menegakkan pendiriannya.

Pernahkah pemegang Diploma Lanjutan dalam bidang Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles Ampang, Kuala Lumpur ini terfikir membuat perubahan agar penampilannya tidak kedengaran lagi kutukan yang menghiris hatinya?

“Ya, ada. Sekarang ini sedang ke arah itu, adalah ubah sikit-sikit macam Kila belajar lembutkan muka dan tak pakai kanta lekap warna terang,” katanya jujur.

Ditanya kebarangkalian yang menyebabkan orang memperkatakan keadaan fizikal dirinya, pelakon filem Karak ini ada hipotesis tersendiri.

“Faktor kerap melakonkan watak penggoda di TV membuatkan penonton terus cop Kila macam itu bila nampak Kila di luar. Kila bukan jenis penggoda, tak nak pun jadi macam itu.

“Watak penggoda hanya permainan watak saja. Tahu tak mereka yang sebenarnya susah nak pelbagaikan watak macam itu. Kila pun kadang-kadang buntu bila asyik diberi watak sama,” luah peminat lagu Hindustan ini yang punya impian besar untuk berjaya dalam bidang lakonan.

Sibuk berniaga

SEJAK akhir-akhir ini, jarang kedengaran berita tentang pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jahangir Khan ini di media, apa yang menyebabkan dia sedikit kebelakang berbanding kemunculannya awal tahun lepas?

“Kila dapat tawaran berlakon tapi tak kena pula dengan jadual kuliah. Kila tak selesa buat dua kerja satu masa, nanti tak tercapai sebab terikat dengan tugasan, pembentangan projek kelas dan macam-macam lagi.

“Tapi sekarang dah selesai. Bolehlah Kila bagi tumpuan sepenuhnya dalam bidang seni, termasuk menyudahkan single pertama Kila, berjudul Roman, berentak R&B soul, hujung bulan ini.

“Buat sementara waktu ini, Kila sibuk usahakan perniagaan pakaian di butik milik Kila dan kakak (Syakira Idora) di USJ 19 City Mall (Subang Jaya, Selangor). Jadi, kalau tak ada sebarang fotografi atau berlakon, Kila duduk di sini saja,” ceritanya.

Butik RACK adalah impian Kilafairy dan kakaknya yang punya kemahiran dan pengalaman spesifik dalam bidang seni reka fesyen dan pemasaran. Idea tersebut juga datangnya daripada ibu kesayangan mereka, Rohana Jalil, penyanyi veteran yang pernah bergelar Juara Bintang RTM tahun 1980.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails