Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nera janji lebih sensitif


LANGKAH awalnya memasuki industri seni dilihat tempang selepas penyebaran gambar bikini sewaktu menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Earth Sabah 2010 yang turut melayakkan dia ke peringkat akhir Miss Earth Malaysia 2010.

Insiden tersebut turut memberi kesan kepada penyertaannya sebagai salah seorang daripada 12 pelajar program realiti, Akademi Fantasia ke-9 (AF9) terbitan Astro pada Mac tahun lalu.

Meskipun pihak pengurusan Astro mengesahkan Nera “bersih” dari sebarang kontroversi selepas berulang kali membuat pemeriksaan, namun gambar dari laman rasmi pertandingan tersebut tetap dijadikan modal bicara orang ramai.

Macam-macam perkara yang diperkatakan termasuk soal peribadi, gaya hidup anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini sehingga membabitkan maruah diri dan keluarga.

Mengenangkan semula peristiwa itu secara tak langsung menimbulkan garis kekesalan di wajah Nera, 20.

“Nera rasa semua perkara ini berpunca daripada kekeliruan orang ramai, sebab mungkin mereka ingat Nera orang Melayu. Semua itu perkara kecil yang kemudiannya diperbesarkan. Perbuatan orang bacul, mungkin punya niat tersendiri nak kenakan Nera.

“Apa pun, Nera sedih dengar cerita tak betul, rasa nak menangis. Kalaulah Nera ada kuasa nak perbaiki semuanya, Nera nak minta penyebar gambar itu siasat dahulu latar belakang Nera.

“Nera pakai bikini atau baju yang hanya tutup bahagian wanita bila keluar berjalan-jalan di kompleks membeli-belah atau ke tempat awam tanpa sebab.

“Ia dipakai sebagai salah satu syarat dalam pertandingan ratu cantik. Nera terikat dengan syarat dan terma penganjur,” bicara awal Nera membuka permasalahan yang melibatkan namanya itu.

Anak sulung dari dua beradik ini turut menyatakan rasa kurang senang dengan sikap sesetengah masyarakat gemar melabel artis dengan peristiwa hitam dilaluinya sebelum ini. Satu penyakit masyarakat yang boleh merebak dan menjadi virus jika seseorang artis itu berterusan berdiam diri.

“Terus terang, Nera rasa terpukul dengan peristiwa ini. Tak adil bukan kalau kita berterusan melabel artis atas kesalahan lama dia. Nera sedar, masih terlalu hijau dalam industri, tak bermakna Nera tak ada hak bersuara.

“Hina sangatkah peserta pertandingan ratu cantik? Bukannya tidak ada wanita yang masuk pertandingan ratu cantik sebelum menjadi artis. Kenapa mereka masih diterima peminat?,” soal Nera.

Adakah kenyataan yang dikeluarkan oleh pemilik nama Queenera Francine Francis Kitingon ini seolah-olah ingin mencabar sensitiviti peminat seni tanah air yang begitu sensitif dengan cara pemakaian artis?

“Nera cuma beri pandangan sendiri kerana masyarakat berhak menilai seseorang artis. Mereka juga ada kuasa menentukan sama ada artis tertentu layak jadi idola atau tidak,” ringkas Nera.

Mengulas tentang pengajaran yang diterima, Nera kelihatan begitu yakin sekali.

“Banyak perkara yang Nera belajar, Nera kena jadi lebih peka dengan sensitiviti masyarakat setempat, tak boleh pakai baju menjolok mata dan perlu berhati-hati pada setiap tingkah laku.

“Apa pun, fobia dengan pakaian semakin menebal, termasuk sesi fotografi. Nera kena minta banyak pandangan supaya masyarakat tak kata Nera cakap bohong,” katanya jujur.

Tidak jual rupa

MENGAJUKAN persoalan sama ada penuntut tahun akhir Diploma Pengurusan Pelancongan di Kolej Antarabangsa Pelancongan Asia (ATIC), Kota Kinabalu, Sabah ini sandarkan rupa bagi menarik lebih peminat terutama di kalangan lelaki.

Menjadi produk pelaris yang menyenangkan orang lain supaya lebih tertarik kepadanya menyebabkan nada suara Nera bertukar lebih serius.

“Nera geram bila orang cakap Nera ‘jual rupa’ supaya orang minat sama Nera. Nera tak pernah bongkak bila ada pakej sempurna. Nera tak faham kenapa perlu orang pertikai bab ini.

“Sebab Nera yakin bahawa setiap orang itu ada kelebihan masing-masing. Cantik ada bonus dan bukan bahan pelaris. Perkara itu perlu difahamkan betul-betul,” tegasnya.

Pada masa yang sama, Nera mahu kembangkan bakat seninya, buat permulaan ini, Nera mahu fokus pada bidang nyanyian walaupun terbatas lantaran terikat dengan komitmen pengajian yang bakal berakhir pertengahan 2013.

“Nera masih muda, nak cuba macam-macam. Sekarang fokus pada belajar. Lepas habis nanti, baru boleh tumpu bidang nyanyian. Kalau ada peluang, boleh jadi pelakon atau belajar belakang tabir nanti,” luncur laju bicara di bibirnya.

Alyah ciplak idea patung?

MENGAJUKAN persoalan mengapa ada yang lebih mengenali lagu single Hatiku Milikmu berbanding penyanyinya, peminat Stacy ini mengatakan mungkin ia pernah menjadi tema lagu dalam drama Cinta Elysa di TV3 pada tahun lalu.

“Saya gembira bila dapat tahu Hatiku Milikmu dapat sambutan, walaupun ramai tak kenal siapa penyanyinya. Buat Nera lebih bersemangat bila nak rakam single kedua pada bulan depan nanti,” girangnya.

Mengulas tentang persembahan Alyah menerusi lagu Kisah Hati yang memenangi persembahan terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL26) yang menggunakan konsep patung bergerak seperti klip video Hatiku Milikmu, buat Nera terdiam.

Adakah Nera sedar tentang persamaan tersebut?

“Nera perasan bila menonton persembahan Alyah sewaktu bersama keluarga di Kota Kinabalu. Alyah guna konsep patung bergerak di awal kemunculan persembahan. Jujurnya, Nera tak kisah sebab konsep itu berjaya menarik hati juri dan ternyata menang.

“Semua ini membuatkan Nera bertambah teruja nak ke pentas AJL dan Nera pun nak buat bersungguh-sungguh macam Alyah,” katanya yang enggan dikata cemburu lantaran kemenangan Alyah.

Ditanya di mana keikhlasan kenyataan yang dikeluarkan itu? Nera tersenyum sambil berkata: “Betul, tak ada benda nak dicemburukan. Itu rezeki Alyah, dan Nera patut kena usaha lebih untuk jadi macam dia.”
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails