Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Faizal Tahir mahu berehat


SELEPAS lima tahun berhempas pulas mempertandingkan persembahan dan lagu pada Anugerah Juara Lagu (AJL), kini Faizal Tahir nekad untuk berhenti daripada menyertai sebarang pertandingan selama setahun bermula tahun hadapan.

Menafikan dia merajuk atau terasa hati dengan mana-mana pihak, Faizal tegas dengan pendiriannya itu selepas menilai dari pelbagai sudut.

"Saya tahu mungkin pihak pengurusan tidak setuju dan marah atas tindakan saya. Tetapi saya betul-betul nekad.

"Saya sebenarnya memerlukan masa untuk berehat. Sepanjang tahun ini sahaja saya terlibat dalam pelbagai perkara dan dalam masa yang sama ia juga sebenarnya membuatkan saya tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga.

"Malah saya juga sedang membuat persiapan untuk konsert sulung saya yang dijadual diadakan pada penghujung tahun nanti," jelasnya ketika ditemui selepas AJL26 baru-baru ini.

Namun begitu, keputusan Faizal untuk berehat bukanlah bermaksud dia mahu berundur terus daripada dunia seni.

Menurut Faizal, jika keadaan mengizinkan, selepas tempoh berehat tersebut dia akan kembali menyertai sebarang pertandingan.

"Jika selepas 2013 nanti saya ingin masuk bertanding untuk AJL mahu pun pertandingan lain, saya akan teruskan kembali.

"Bukanlah niat saya untuk berhenti terus daripada bidang ini. Kerana bagi saya muzik adalah sesuatu yang sangat indah dan ia akan jadi lebih indah jika dapat dikongsi bersama.

"Jadi dalam masa saya berehat itu saya tetap akan meneruskan kerja di belakang tabir termasuklah mencari idea dalam menghasilkan album baru.

"Apa-apa pun saya tetap akan memberi sokongan kepada industri hiburan tanah air," ujar bapa kepada empat anak ini.

Ditanya sama ada dia tidak berasa rugi dengan keputusannya itu, Faizal berkata, dia percaya setiap apa yang dilepaskan pasti akan membawa sesuatu yang baru.

"Saya tidak menganggap ia sebagai satu kerugian dan saya optimis ada hikmah di sebaliknya.

"Ini kerana, saya percaya apabila kita lepaskan sesuatu, pasti kita akan memperoleh sesuatu yang lebih baik," katanya.

Pukauan tiga suara

Sementara itu gabungan tiga suara artis wanita popular, Ning Baizura, Jaclyn Victor dan Shila Amzah nyata memberikan satu aura baru kepada industri seni.

Tanpa sebarang gimik, lagu itu meledak dek gabungan seimbang vokal ketiga-tiga mereka membuatkan lagu Beribu Sesalan pada malam AJL26 Ahad lalu bukan sahaja memukau malah berjaya menggondol tempat kedua di pentas berprestij itu.

Mengakui persaingan yang cukup sengit pada malam itu, kata Ning, mereka telah melakukan yang terbaik dan mahu memberikan persembahan yang jujur kepada para peminat.

"Kesemua persembahan pada malam ini mempunyai kekuatan masing-masing dan mempunyai potensi untuk menang.

"Persembahan yang ditampilkan mereka juga cukup bertenaga.

"Jujurnya kami berpuas hati di tempat kedua kerana apa yang lebih penting, kami telah memberikan persembahan yang terbaik kepada semua," jelasnya.

Menurut Ning, pada awalnya mereka merancang untuk melakukan gimik persembahan namun berdiri di atas keyakinan vokal masing-masing, akhirnya hasrat itu dibatalkan.

"Pada mulanya kami memang terfikir untuk menggunakan bunga api. Namun apabila difikirkan kembali, kami yakin dengan kekuatan vokal yang dibawakan, maka perkara tersebut akhirnya dibatalkan," jelas Ning.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails