Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Farid, Diana mahu bulan madu di kota Istanbul

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Pasangan pelakon yang juga pengantin baru, Farid Kamil, 31, dan isterinya, Diana Danielle Danny Beeson, 21, memilih kota Istanbul, Turki sebagai lokasi untuk berbulan madu. Merpati dua sejoli yang telah menjalin hubungan sejak empat tahun lalu itu sebelum ini bercadang untuk menunaikan umrah pada Disember ini tetapi terpaksa menangguhkan hasrat tersebut. "Pada awalnya memang kami merancang mahu menunaikan umrah sejurus selepas disatukan sebagai suami isteri, tetapi rancangan itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. "Ini berikutan terdapat sedikit masalah berhubung visa perjalanan, jadi buat masa ini kami merancang untuk berbulan madu di Istanbul, kata Farid kepada pemberita selepas tamat majlis pernikahan tersebut. Hanya dengan sekali lafaz, Farid sah menjadi suami kepada Diana pada pukul 9.12 pagi ini pada majlis yang berkonsepkan dalam taman di Flamingo Hotel By The Lake, Ampang, di sini hari ini. Majlis pernikahan yang bertemakan warna putih dan merah jambu itu disaksikan kira-kira 300 kaum keluarga dan sahabat terdekat kedua-dua pasangan yang hadir dari seluruh negara. Tambah Farid, dia berharap perkahwinan yang dibina bersama isteri mendapat sokongan daripada keluarga, saudara dan peminat masing-masing. "Saya bersyukur majlis yang telah lama kami rancangkan ini berlangsung dengan lancar tanpa sebarang masalah. "Selain itu, saya juga berharap peminat akan terus menyokong perjalanan karier kami berdua walaupun kini sudah bergelar suami isteri," katanya kepada pemberita selepas tamat majlis tersebut. Pihak Farid menghantar lima dulang hantaran berupa Al-Quran dan Telekung, motosikal mini, cincin Tiffany & Co., wang hantaran RM20,000 dalam bentuk pelaburan emas dan sirih junjung. Berpegang pada adat Melayu, Diana membalas dengan tujuh hantaran iaitu sebuah motosikal mini, set kecantikan Hugo Boss, sebentuk cincin dan dompet, majalah Polo International, tepak sireh, album gambar dan manisan. Mas kahwin yang diberikan pengantin lelaki kepada pasangannya pula berjumlah RM10,000. Diana yang kelihatan menawan dengan busana tradisional moden berwarna putih dan merah jambu mengatakan bahawa dirinya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri dan seterusnya sebagai seorang ibu. "Semasa menerima lamaran daripada Farid beberapa bulan lalu, saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu dan saya berterima kasih kepada keluarga kerana sentiasa berada di belakang saya," katanya yang turut ditemani ibunya, Norsiah Ramli. Majlis penikahan itu turut diserikan dengan kehadiran penerbit MIG Production, David Teo, Yana Samsudin dan Iqram Dinzly.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails