PROGRAM televisyen yang memaparkan kisah masyarakat yang hidup dalam kesusahan di TV3, Bersamamu benar-benar mengundang keinsafan kepada pengacara rancangan tersebut, Irin Putri Azmi, 29.
Bagi Irin, pengalaman mengacarakan program yang meruntun jiwanya itu, kedatangan Ramadan mengingatkannya kepada beberapa keluarga yang serba daif.
“Bermain-main di fikiran saya, apakah juadah mereka ketika bersahur, berbuka dan juga apakah perasaan mereka apabila Aidilfitri menjelma.
“Sedih sangat apabila mengenangkan keadaan mereka. Sebab itulah, Ramadan kali ini, saya nekad untuk bersederhana ketika berbelanja di pasar Ramadan.
“Jadi, bagi mengelakkan saya boros berbelanja, saya akan pastikan terlebih dahulu makanan yang mahu dibeli.
“Nanti, apabila sampai di pasar Ramadan, saya akan terus mencari menu pilihan yang telah difikirkan sebelum datang ke sini,” terang Irin yang cukup gemar memakan ayam percik, ikan stim, sotong goreng tepung dan undang mentega.
Bagaimanapun, Irin mengakui, dia seorang yang obses dengan makanan pencuci mulut.
Justeru, tabiatnya yang gemar membeli juadah pencuci mulut pelbagai jenis begitu sukar untuk dikikis.
“Saya cukup suka dengan puding terutamanya perisa karamel selain suka memakan bermacam-macam jenis kek.
“Bukan itu sahaja, saya juga menggemari kuih muih tradisional seperti keria, seri muka, kasui dan sebagainya.
“Tambahan pula kesemua menu kesukaan saya ada di sini. Itu yang membuatkan saya kadang-kadang rambang mata untuk memilih pencuci mulut,” kata ibu kepada Raees Aryan yang berusia dua tahun.
Namun menurut Irin, apabila mengenangkan kesusahan keluarga yang pernah ditemui ketika mengendalikan Bersamamu, ia cepat menyedarkan Irin agar tidak terus hanyut daripada membazir.