Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kepercayaan kunci utama Hans


PERKHABARAN tentang berita yang satu ini sebetulnya bukanlah sesuatu yang baru dicanangkan. Sebaliknya ia sudah lama menjadi bahan percakapan ramai lantaran kekerapan pelakon dan penyanyi berbadan sasa, Awie begitu kerap membintangi produksi terbitannya.

Justeru, kata-kata nakal mula bertebaran apabila ramai yang sudah mengandaikan bahawa Awie kini menjadi hak milik eksklusif Hans Isaac sehinggakan ada penerbit lain ‘takut’ untuk menawarkan Awie dalam mana-mana produksi.

Semuanya bukan omongan kosong. Tetapi, lihatlah bagaimana Hans ‘memegang’ Awie dengan berterusan mengambilnya berlakon dalam produksi Cuci the Musical untuk dua musim dan Lat The Kampung Boy Sebuah Muzikal (Lat) yang dipentaskan di Istana Budaya (IB), Mac lalu.

Malah, Hans juga sudah mengikat Awie sekali lagi untuk kembali membintangi Cuci the Musical dan Lat bagi musim ketiga dan kedua tahun depan.

Hits juga difahamkan Hans sanggup untuk membayar Awie dengan harga yang cukup tinggi sehingga mencecah ratusan ribu ringgit semata-mata mahukan Awie terus kekal bersamanya.

Pelakon kacak ini hanya mampu tersenyum ketika diajukan dengan persoalan itu sewaktu ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikatnya, Tall Order Productions di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Jawapan kepada soalan itu cukup mudah. Semuanya adalah kerana kepercayaan yang akhirnya membentuk kepada keserasian di antara saya dan Awie.

“Bayangkan Awie sendiri kurang yakin dengan dirinya apabila pertama kali saya membawanya ke pentas teater menerusi Cuci the Musical.

“Tetapi, saya percaya kepada bakatnya dan akhirnya dia berjaya membuktikan kehebatan lakonannya dalam pementasan itu dan juga Lat.

“Daripada situ, dia terus meletakkan kepercayaan kepada saya sehinggakan dia sanggup menolak beberapa tawaran yang lain. Saya tidak pernah menghalang Awie tetapi dia sendiri yang membuat keputusan itu demi untuk keselesaan dirinya juga,” jelas pemilik nama penuh Gerald Hans Isaac ini panjang lebar.

Dalam masa yang sama juga, Hans tidak menolak kemungkinan untuk terus bekerjasama dengan pelantun lagu Ratuku dan Ukiran Jiwa itu untuk projek terbitannya di masa akan datang.

Ini kerana kata Hans, dia melihat Awie memiliki bakat yang luar biasa dan mampu untuk diterokai lagi seandainya terus diberi peluang.

“Dalam konteks ini, saya bukan hanya melihat Awie sahaja tetapi untuk artis-artis lain juga. Sebelum ini ramai yang mengatakan saya mengamalkan kronisme kerana kerap mengambil pelakon yang sama.

“Tetapi, bagi saya ia banyak berkaitan dengan kerja dan komitmen seseorang pelakon itu juga. Sebagai contoh, Jaclyn Victor, Vanidah Imran dan Nabil Ahmad bukannya dari kelompok kawan-kawan saya sebelum ini. Saya sendiri tidak pernah mengenali mereka secara peribadi.

“Tetapi, selepas bekerja dan mengenali diri mereka, keserasian itu akan timbul secara automatik. Cuma apa yang boleh saya katakan, Afdlin Shauki tetap akan berada dalam senarai pilihan saya kerana dia adalah kawan karib saya sejak di bangku sekolah lagi,” ujar Hans yang mula menempa nama menerusi filem Ringgit Kasorrga arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba pada tahun 1995 ini sambil ketawa.

Terbaru katanya yang bakal memasuki kelompok ‘bintang kesayangannya’ adalah Dina Nadzir yang bakal membawakan watak Farah dalam Cuci the Musical musim ketiga yang akan dipentaskan pada 23 Februari tahun depan.

Mengakui ‘jatuh cinta’ dengan Dina selepas menonton lakonannya dalam pementasan muzikal Dreamgirls baru-baru ini, Hans tidak putus-putus memuji kehebatan Dina yang disifatkannya sebagai anak seni yang memiliki bakat cukup istimewa.

“Jujurnya, saya sendiri tidak pernah mengambil tahu tentang Dina tetapi selepas Dreamgirls, saya akui dia memang hebat.

“Apabila saya menghubunginya untuk menawarkan watak Farah, dia terus menyatakan persetujuannya,” kata Hans yang pernah diiktiraf sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem Buli Balik pada Festival Filem Malaysia Ke-19 (2006).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails