Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Warna terang semarakkan Syawal


BAGI pengasas butik konsep vintaj, Old Blossom Box, Jezmine Zaidan, 27, sememangnya baju tradisional begitu sinonim digayakan pada hari lebaran.

Mungkin bagi sesetengah orang, tidak lengkap rasanya jika tidak menyarungkan persalinan baju kurung, kebaya ataupun baju kurung Pahang pada pagi Syawal.

Namun, pereka muda itu mula memikirkan sesuatu yang baru. Jika sehelai blaus ataupun dres labuh sentiasa diminati dalam rekaan moden dan terkini, mengapa tidak trend tersebut tidak diaplikasi pada pakaian tradisional Melayu.

“Dari situ tercetusnya idea yang mendorong saya untuk bereksperimen menghasilkan koleksi baju kurung yang trendy, comel dan funky tanpa perlu mengubah potongan asas baju tersebut.

“Daripada hasil pemerhatian dan kajian yang dilakukan, maka saya mencipta koleksi fesyen raya Old Blossom Box (OBB) bertemakan Candy Raya Wonderland.

“Nama candy atau gula-gula menjadi pilihan memandangkan 60 pasang busana yang dihasilkannya berwarna-warni, sama seperti warna gula-gula terutamanya manisan lolipop.

“Pada masa yang sama, kuasa warna ini membantu menyuntik mood ceria bagaikan berada di taman fantasi,” jelas Jezmine yang merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.

Berbicara selanjutnya, anak sulung daripada dua orang adik-beradik itu menyatakan ilham menghasilkan baju kurung warna kontra dan menerapkan bahagian kolar baju konsep comel tercetus daripada koleksi fesyen vintaj yang ditawarkan di OBB.

“Sejak beroperasi, butik OBB hanya memberi tumpuan kepada penjualan pakaian dan aksesori konsep vintaj. Jika diperhatikan kebanyakan baju stail vintaj banyak bermain dengan kolar potongan comel dan unik. Apabila konsep kolar ini digabungkan bersama baju kurung ternyata ia memberi nafas baru pada busana tradisional.

“Justeru, bagi menampakkan lagi unsur-unsur vintaj itu, saya menggunakan kain sifon, kain kapas dan renda vintaj yang ringkas dan tidak sarat dengan perincian manik dan labuci.

“Seterusnya, saya padankan bersama kain polka dot yang mengembalikan nostalgia era retro,” tutur Jezmine yang menjual koleksi Candy Raya Wonderland pada harga antara RM289 hingga RM299.

Inspirasi warna buah-buahan

Sementara itu, seorang lagi pereka yang semakin dikenali para pencinta fesyen, Nik Erwan Nik Roseli, 25, turut mengambil pendekatan serupa iaitu menghasilkan busana hari lebaran berasaskan warna-warna terang dan kontra.

Menurut graduan Ijazah Rekaan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu, konsep warna tersebut diinspirasi daripada warna buah seperti buah epal, nanas, tembikai dan jambu air.

“Saya ingin menyuntik kelainan dan mempamerkan keunikan pada himpunan busana hari raya pada tahun ini. Ironinya, saban tahun menjelang saja Aidilfitri, golongan wanita khususnya gemar menempah dan membeli baju raya warna lembut dan gelap.

“Jarang sekali, melihat wanita tampil bergaya pada pagi raya dengan baju kurung mahupun kebaya warna terang atau kontra. Mereka bimbang warna sedemikian bakal mengundang reaksi pelik dalam kalangan masyarakat.

“Nasihat saya, usah prejudis pada warna kerana warna-warna terang itu membantu menyerlahkan penampilan,” jelas Nik Erwan mengenai koleksi fesyen Sitrus Raya rekaannya yang terdiri daripada baju kurung moden, baju kurung Pahang dan baju kurung pesak.

Tambahnya, pakaian berasaskan nuansa terang dan kontra sudah mula dipraktikkan oleh pencinta fesyen di London, Amerika Syarikat (AS) dan Paris.

Permintaan koleksi fesyen warna terang meningkat terutamanya pada musim bunga dan musim panas. Justeru, memandangkan cuaca di Malaysia panas dan lembap sepanjang tahun maka pakaian warna terang antara yang ideal dan menawan digayakan.

Memahami bukan semua wanita sanggup menyarungkan persalinan busana kasual atau santai berwarna terang dan kontra, maka Nik Erwan menyifatkan pakaian tradisional boleh dijadikan fasa permulaan bagi wanita membiasakan diri dengan warna-warna terang.

“Sebab itulah terciptanya koleksi lebaran Sitrus Raya. Koleksi ini hadir dalam 10 pasang baju tradisional pelbagai warna, potongan dan perincian.

“Selain menawarkan padanan baju rona merah jambu dan kain nuansa ungu atau baju hijau dan kain jingga, Sitrus Raya turut menampilkan teknik perincian yang menarik.

“Bagi konsep fesyen raya kali ini, saya banyak bermain dengan perincian batu-batu dan kayu-kayu potongan kecil berbanding taburan labuci atau manik,” terang Nik Erwan yang menyasarkan jualan Sitrus Raya kepada kelompok remaja yang gemarkan fesyen unik dan ceria.

Menyentuh mengenai fabrik, Nik Erwan menyatakan koleksi Sitrus Raya menggunakan fabrik sutera Thai, satin Belanda, sifon, krep dan tafeta iaitu kain yang berkilat, nipis serta ringan.

“Bagi wanita bertubuh langsing, bermacam-macam fabrik ideal digayakan. Namun bagi wanita yang berbadan gempal Nik Erwan menyarankan supaya memilih koleksi Sitrus Raya yang diperbuat menggunakan kain sifon.

“Walaupun hari raya bakal menjelang, tempahan untuk Sitrus Raya masih terbuka khususnya buat pelanggan yang ingin menggayakan koleksi ini tatkala memenuhi undangan majlis rumah terbuka,” ujar Nik Erwan kepada Stailo.

Merah pilihan Jovian

Dalam pada itu, pereka ternama, Jovian Mandagie turut menampilkan koleksi fesyen raya yang diberi nama Lebaran 2011. Jika tahun lalu, pereka kelahiran Jakarta, Indonesia itu mempamerkan kehebatan rekaan koleksi kaftan moden kontemporari tetapi pada tahun ini, Jovian menghasilkan busana tradisional Melayu yang diberi sentuhan moden.

Koleksi pakaian yang diperbuat daripada kain berjenama seperti Aldo Biyanki, Marco Lagotolla, Riechers Marescot dan Lady Villary itu menyaksikan kombinasi rekaan fesyen moden dan klasik.

Ini terbukti apabila Jovian mengambil inisiatif menghasilkan baju kurung Kedah yang dipadankan bersama kain ala pario dan baju kurung Kedah konsep jalur yang menampilkan perincian bunga timbul di bahagian kaki baju.

Menariknya, koleksi raya jenama Jovian Mandagie bukan saja hadir dalam rona lembut dan gelap malah, turut hadir dalam nuansa terang seperti jingga serta merah menyala.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails