Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ainul Aishah buka kedai ketika Hari Raya


DIKENALI sebagai seorang pelakon wanita yang cukup berbakat dan mempunyai potensi besar dalam bidang lakonan, namun semenjak kebelakangan ini penampilan Ainul Aishah kini dilihat semakin berkurangan sama ada di kaca televisyen atau di layar perak.

Selain mencipta nama sebagai dramatis yang sudah membintangi pelbagai drama, pelakon berkenaan juga sudah tampil dengan beberapa buah filem seperti Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.

Berkesempatan menemui pelakon berkenaan dalam satu majlis berbuka puasa baru-baru ini, Ainul memberitahu buat masa ini dia sememangnya tidak terlibat langsung dalam sebarang aktiviti seni.

“Saya akui yang sekarang ini saya langsung tidak berlakon sama ada drama ataupun filem. Namun, saya bukanlah mahu terus berhenti berlakon dan akan kembali semula apabila sudah bersedia.

“Kalau nak dikatakan saya merajuk dengan industri lakonan juga adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, sekarang ini saya mahu memberikan lebih tumpuan kepada perniagaan yang dijalankan bersama ahli keluarga,” jelasnya.

Menurut pelakon yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Aquila Emas Sdn. Bhd. itu lagi, semenjak membuka rangkaian kedai makanan yogurt Tutti Frutti di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Februari lalu, perniagaannya itu sekarang semakin berkembang.

Jelas Ainul, sambutan yang diterima daripada orang ramai ternyata sangat menggalakkan dan disebabkan itu buat masa ini dia lebih senang memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaannya itu.

“Boleh dikatakan saya sangat berpuas hati dengan perniagaan yang diceburi ini. Malah, saya dan ahli keluarga yang lain juga merancang untuk membuka rangkaian kedai kami yang kedua di Nilai, Negeri Sembilan nanti,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, pelakon itu memberitahu dia akan menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan kedai makanan yogurt miliknya itu akan turut beroperasi pada hari raya pertama.

Bagaimanapun, jelas Ainul dia sendiri sebenarnya tidak kisah untuk menyambutnya di Kuala Lumpur memandangkan dia turut mempunyai saudara-mara yang agak ramai di sekitar Lembah Klang.

“Berkemungkinan besar kedai saya itu akan tetap terus dibuka pada hari raya. Namun begitu, ia juga bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh Kumpulan Naza yang merupakan pemegang lesen utama bagi rangkaian Tutti Frutti di Malaysia,” jelasnya.

Menurutnya lagi, meskipun pada tahun ini dia terpaksa beraya di Kuala Lumpur, tetapi dia sekeluarga masih akan pulang berhari raya di kampung halamannya di Sungai Lokan, Butterworth, Pulau Pinang.

Duit raya dicuri

Sama seperti kebanyakan artis lain yang mempunyai kenangan menarik ketika menyambut hari raya, Ainul juga mempunyai kisah yang menarik untuk dikongsi bersama pembaca.

Menurutnya, menyambut hari raya sewaktu zaman kanak-kanak adalah suatu saat yang paling menyeronokkan. Ketika itu, selepas solat sunat Aidilfitri, dia dan rakan-rakannya yang lain akan terus pergi beraya.

“Kalau diingatkan kembali memang rasa seronok sangat sambut hari raya masa zaman kanak-kanak. Semata-mata nak kumpul duit raya, saya dan rakan-rakan akan beraya satu kampung termasuk ke rumah-rumah yang tidak dikenali.

“Biasanya duit raya yang dikumpul itu saya gunakan untuk membeli makanan ringan. Malah, duit raya saya juga pernah dicuri oleh sepupu sewaktu saya sedang sibuk mengira duit raya yang diperoleh,” ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan turut mempunyai kenangan pahit sewaktu sambutan Aidilfitri apabila neneknya meninggal dunia iaitu sehari sebelum umat Islam menyambut bulan Syawal pada tahun 2002.

“Itu adalah kenangan yang paling menyedihkan buat diri saya. Bayangkan ketika umat Islam yang lain sedang sibuk membuat persiapan raya, saya pula telah kehilangan ahli keluarga yang paling disayangi,” ujarnya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails