Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mon, Fyza balik Johor


‘Balik kampung, Ho ho ho
Balik Kampung, Ho ho ho
Balik Kampung, Hati girang’

PASTINYA lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad itu menjadi siulan kebanyakan kita di kala ini.Maklumlah kehadiran Syawal yang tiba, tentunya membuatkan kita terkenang kampung halaman yang ditinggalkan.

Kemeriahan di malam raya duduk bersama dengan keluarga menyiapkan lemang, ketupat dan rendang pasti menjadi detik indah yang sememangnya ditunggu-tunggu.

Gelagat dan telatah si kecil berlari-lari sambil bermain bunga api menghidupkan lagi suasana di malam raya dengan persekitaran rumah diterangi cahaya pelita.

Namun, sebaik sahaja kembali membuka mata di pagi Syawal, sudah tentu ketibaan Syawal akan jadi lebih bermakna apabila insan-insan yang disayangi ada bersama kita.

Sama seperti kebanyakan insan lain yang berduyun-duyun pulang ke kampung halaman bagi menyambut kehadiran Syawal, begitu jugalah dengan Mon Ryanti Sahudina Lee, 23 dan Nor Hafiezzah A. Kadir, 26.

Bagi dua pendatang baru ini, Syawal mereka tidak akan bermakna sekiranya tidak pulang berhari raya bersama keluarga di kampung halaman.

Tambah mereka, detik-detik indah di hari lebaran adalah masa terbaik untuk bersama keluarga dalam meraikan Syawal.

Berkongsi cerita, Mon Ryanti yang membahasakan dirinya Mon mengakui setiap kali tibanya Syawal, perkara pertama yang dilakukan adalah merancang untuk pulang ke kampung.

“Saya akan pastikan bahawa setiap kali Syawal menjelma saya akan pulang ke rumah keluarga di Skudai, Johor.

“Saat berhari raya bersama dengan keluarga adalah sesuatu yang cukup indah.

“Lagipun pada masa raya inilah kita dapat meluangkan masa untuk bersama keluarga mengunjungi rumah sanak saudara,” jelas Mon yang akan muncul dalam filem Nongkrong.

Sementara itu, bagi seorang lagi bakat baru yang menggunakan nama pentasnya Fyza Kadir, setakat ini destinasi pagi Syawalnya masih lagi di rumah keluarganya di Johor Bahru, Johor.

Ceritanya, dia belum pernah lagi tidak pulang berhari raya bersama dengan keluar.

“Bagaimana sibuk sekali pun, saya akan pastikan setiap kali Syawal, saya dapat bersama dengan keluarga.

“Bukan senang untuk kita berkumpul sesama ahli keluarga, jadi detik-detik inilah yang terbaik untuk kita bersama dengan keluarga,” ujar Fyza lagi.

Fiza kecewa baju raya rosak

Sambutan lebaran seolah-olah tidak lengkap apabila tidak disusuli dengan persalinan baru di pagi raya.

Seperti mana kebanyakan orang lain yang sibuk mendapatkan kelengkapan baru untuk tampil di pagi lebaran, begitu jugalah dengan Fyza.

Baginya setiap tahun dia akan memperuntukkan pakaian baru untuk digayakan di pagi raya.

Namun dalam keseronokan untuk melaram dengan pakaian baru, Fyza tidak dapat melupakan peristiwa baju rayanya rosak.

Cerita Fyza, insiden itu berlaku beberapa tahun lalu di mana dia menghantar kain untuk tempahan baju rayanya di kampung.

Namun setelah tiba waktu yang dijanjikan untuk mengambil baju berkenaan, hatinya terus menjadi panas.

“Bayangkan raya hanya tinggal beberapa hari lagi dan baju yang saya ambil itu fesyennya tidak seperti yang saya mahukan.

“Tetapi hendak buat macam mana, saya tidak ada pilihan terpaksalah pakai baju kurung berkenaan.

“Ketika itu perasaan kecewa, marah bercampur baur, tetapi akhirnya perasaan itu hilang dengan sendiri apabila kita dapat berkumpul bersama keluarga.

“Lagi pun apabila difikirkan kembali, ramai lagi yang kurang bernasib baik sedangkan saya hanya tidak mendapat fesyen seperti yang diinginkan,” jelasnya.

Menurut Fyza, setiap kali raya menu wajib keluarganya ialah nasi minyak dan laksa Johor.

“Setiap tahun nasi minyak dan laksa Johor adalah antara menu yang mesti ada dirumah kami. selain lemang, rendang dan ketupat,” ujarnya lagi.

Mon terkenang kasut merah

Dalam menyambut kehadiran Syawal, Mon akui dia tidak boleh melupakan kasut merah yang pernah menjadi kesayangannya ketika berusia enam tahun.

Cerita Mon, kasut merah berkenaan dibelikan oleh ayahnya untuk dipakai pada pagi Aidilfitri.

“Kasut itu ayah beli untuk saya dan saya suka warna merah yang menyerlah dan nampak cantik.

“ Tetapi kerana kasut merah itu kakak yang irihati menangis dan mahukan kasut yang sama,” cerita Mon dengan disusuli tawa apabila mengenang kembali kisah di zaman kanak-kanknya.

Menurut Mon, walaupun kini bergelar artis baginya hari raya akan sama seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Bagi saya tidak kiralah artis ataupun tidak, raya itu sama sahaja cuma cara kita menyambut sahaja yang berbeza mengikut kebiasaan yang telah dipraktikkan.

“Apapun yang penting pada hari raya kita semua dapat berkumpul dengan keluarga, bermaaf-maafandan mengunjungi sanak saudara,” tambah Mon.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails