Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Mengharap sinar lebaran - Siti Nurhaliza


SESUNGGUHNYA ujian yang dilalui oleh wanita jelita ini sepanjang Ramadan lalu cukup berat. Jujurnya, tiada siapa yang mahu diuji dengan dugaan sebesar itu.

Sedang enak dia membuai rasa dengan kejayaan produk kecantikan dan penjagaan wajahnya, SimplySiti yang semakin mendapat tempat, ada pihak bagaikan tidak senang dengan kejayaannya.

Tuduhan yang mengatakan produk SimplySiti menggunakan berus bulu babi benar-benar memberikan impak yang bukan sedikit kepada Datuk Siti Nurhaliza.

Malah, Siti Nurhaliza atau figura unggul yang mesra disapa Siti ini tidak menafikan, hatinya terguris dengan dakwaan yang tidak berasas itu.

Sebagai anak seni yang sudah 16 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan penuh pancaroba ini, barangkali ada yang berpendapat dugaan bukanlah asing buat Siti.

Namun, kata Siti, apabila ia membabitkan isu agama dan seolah-olah dia sendiri tidak mementingkan soal kebersihan dalam penghasilan produknya, ia adalah sesuatu yang cukup mengguris hatinya.

Ujarnya, sebagai seorang Muslim, dia tidak akan berkompromi tentang soal kebersihan dan yang paling penting, penggunaan bahan halal dalam setiap produk SimplySiti.

Tanpa selindung juga, Siti mengakui perniagaannya sedikit terjejas ekoran daripada cerita palsu yang disebarkan itu.

Baginya bukanlah satu tugas yang mudah untuk berhadapan dengan masyarakat dalam menjawab setiap persoalan berhubung cerita itu.

"Apabila ia mula tersebar, siapa yang tidak gusar dan bimbang kerana apa yang berlaku adalah tidak benar sama sekali. Adakah saya hanya mahu duduk mendiamkan diri dan membiarkan spekulasi bertebaran?

"Alhamdulillah, saya dan seluruh pengurusan SimplySiti pantas bertindak untuk menjernihkan keadaan. Saya juga harus berterima kasih dengan pihak media yang berterusan memberi sokongan kepada kami.

"Apa yang paling penting adalah penglibatan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah banyak membantu menyelesaikan perkara ini," ujar Siti dalam satu sesi fotografi yang berlangsung di Hotel Legend, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, tiada lain diharapkan oleh penyanyi kesayangan ramai ini agar Syawal 1432 Hijrah yang akan disambut esok (30 Ogos) akan membawa sinar kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan.

Apatah lagi seminggu sebelum Syawal iaitu pada 21 Ogos lalu, Siti dan suami tercinta, Datuk Khalid Mohammad Jiwa menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.

Bagi empunya diri, dia sendiri bagaikan tidak percaya bahawa sudah lima tahun dia menggalas tanggungjawab dan menjunjung gelaran sebagai seorang isteri.

Pelantun lagu Biarlah Rahsia dan Kau Kekasihku ini menjelaskan dia bersyukur kerana rumah tangganya terus aman dan bahagia seperti mana yang sering dia titip dalam doanya.

"Benar. Terasa pantas masa berlalu dan saya sendiri merasakan seperti baru semalam majlis pernikahan saya berlangsung di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

"Selama lima tahun menjadi seorang isteri, banyak pengalaman yang saya perolehi dan saya sedar, untuk menjadi seorang isteri yang baik, ia bukan proses yang dapat berlaku semalaman.

"Sudah pasti, saya harapkan agar perkahwinan saya dan suami akan terus kekal sehingga ke akhir hayat," kata Siti yang juga tidak pernah lupa untuk terus berdoa dan berikhtiar agar dikurniakan dengan cahaya mata untuk menyerikan lagi rumah tangganya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails