Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Sharnaaz tidak kejar populariti


SAYA membiarkan dia melayan perasaannya seketika sementelah dia sendiri memohon untuk berehat seketika. Katanya, sejak membintangi filem Azazil arahan Kabir Bhatia sejak awal Ramadan lalu, Sharnaaz Ahmad mengakui belum berkesempatan mendapat rehat yang secukupnya.

Sesekali juga dia mengusap-usap balutan tangan kirinya yang cedera akibat melakukan adegan pergaduhan bersama Remy Ishak yang turut membintangi filem seram itu.

Dek kerana kesibukannya itu jugalah, memang sukar untuk mendapatkan tarikh bagi mengadakan sesi fotografi bersamanya.

“Biarpun penat tetapi saya harus akui membintangi filem Azazil telah memberikan kepuasan yang maksimum buat saya.

“Watak dan skripnya cukup bagus sehingga saya merasakan satu kerugian besar untuk saya menolaknya. Alhamdulillah, saya mendapat peluang untuk berlakon di bawah arahan Kabir yang saya idamkan selama ini,” kata Sharnaaz membuka bicaranya dalam nada yang cukup perlahan.

Sudah mula mendapat rentak perbualan, Sharnaaz memberitahu watak Atan yang dibawakannya dalam filem Azazil benar-benar mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.

Apatah lagi, untuk bakat baru sepertinya mendapat peluang berlakon di samping Umie Aida, Remy, Emelda Rosmila dan Sheila Rusly bagaikan satu penghormatan buat Sharnaaz.

“Kabir menghubungi saya sambil menyatakan adakah saya berminat untuk menghadiri uji bakat filem terbarunya. Rupa-rupanya dia juga meminta saya untuk menguji bakat bagi dua projeknya yang lain.

“Rezeki berpihak kepada saya untuk membintangi Azazil dan insya-Allah, saya juga akan berlakon dalam sebuah lagi produksinya selepas ini.

“Cara Kabir bekerja memang berbeza dengan pengarah lain yang pernah saya kerja sebelum ini. Dia akan membentuk watak itu dan kita sebagai pelakon harus sentiasa bersedia,” ceritanya penuh semangat.

Perang dingin

Memang tidak dinafikan lagi, populariti Sharnaaz pantas mencanak naik biarpun hanya baru setahun setengah menjadi seorang pelakon.

Dua drama bersiri, Tari Tirana dan Dottie telah memperkenalkan namanya di persada seni tanah air sebelum dia meluaskan lagi sayap seninya dengan membintangi drama-drama lain.

Tidak sampai dua tahun dalam gelanggang seni, timbul pula cerita kurang enak tentang Sharnaaz yang dikatakan sudah mula lupa diri dan bagai kacang lupakan kulit.

Semuanya gara-gara hubungannya dengan penerbit dan pengarah drama terkenal, Michael Ang bertukar dingin sehingga dikhabarkan namanya telah disenarai hitamkan daripada membintangi projek-projek terbaru Michael.

Walhal sebelum ini, penggiat industri hiburan tempatan sudah sedia maklum keakraban Sharnaaz dan Michael sehinggakan pelakon kacak itu sudah dilabelkan sebagai anak emas Michael.

Ada saja drama baru yang akan diterbitkan mahupun diarahkan Michael, nama Sharnaaz pasti berada dalam senarai pelakon pilihan.

Jadi, apabila timbul cerita kurang enak seperti ini, ia sedikit sebanyak telah menjejaskan reputasi Sharnaaz sebagai bintang baru.

Sambil menghela nafas panjang sebelum memberikan jawapannya, Sharnaaz mengakui dia cukup sedar akan cerita yang tersebar luas itu.

“Apa yang berlaku sebenarnya telah dipengaruhi oleh pihak tertentu yang bagaikan tidak senang melihat hubungan saya dengan Michael.

“Padahal isu yang tercetus sebenarnya tidaklah sebesar mana apabila saya hanya meminta bayaran lebih sedikit daripada apa yang sering saya terima sebelum ini.

“Adakah hanya kerana saya seorang pelakon baru saya boleh diperkotak-katikkan dan dipandang sebelah mata? Saya bukan mahu menjadi seorang demanding tidak tentu pasal.

“Semuanya adalah demi tuntutan kerja dan saya bersuara pun demi hak saya sebagai seorang pelakon. Apa-apa pun, hubungan saya dengan Michael sudah kembali pulih seperti sedia kala,” katanya yang baru sahaja membintangi video muzik terbaru Shila Amzah yang diarahkan oleh Michael.

Mengulas pula tentang isu anak emas, ia dinafikan sekeras-kerasnya oleh Sharnaaz kerana ia tidak pernah timbul.

Malah, Michael sendiri memberinya kebebasan untuk mencari peluang dengan berlakon di bawah arahan pengarah lain pula.

Cerita Sharnaaz lagi, dalam tempoh ‘perang dingin’ itu, dia terpaksa menolak hampir 15 tawaran berlakon dari pelbagai stesen televisyen kerana mahu mencari ketenangan dan membina semula keyakinan dirinya.

“Barangkali selepas apa yang berlaku ada hikmahnya juga kerana saya terus mendapat peluang berlakon yang tidak putus-putus.

“Saya berlakon kerana minat yang cukup mendalam terhadap seni dan populariti bukanlah sesuatu yang saya kejar.

“Memang tidak dinafikan, populariti itu penting untuk seseorang artis tetapi adalah lebih baik kalau kita diiktiraf kerana bakat. Saya percaya dengan adanya bakat, populariti akan bergerak seiring,” katanya yang juga mendapat perhatian pengarah terkenal, Osman Ali untuk membintangi drama terbarunya, Bicara Hati tidak lama lagi.

Buat masa ini, lakonan Sharnaaz dapat ditonton menerusi drama bersiri Kasih Alia yang sedang ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3.

Wajib balik kampung

MENUTUP bicara itu, perbualan kami dialihkan pula tentang Syawal 1432 Hijrah yang bakal menjelma tidak kurang seminggu sahaja lagi.

Sebagai anak rantau dari Pulau Pinang, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ini akan memastikan dirinya pulang ke kampung waima apa keadaan sekali pun.

Baginya, hanya pada Aidilfitri sahaja merupakan waktu terbaik untuknya berkumpul dengan keluarga dan sanak-saudara yang sudah lama tidak ketemu.

Daripada nada suaranya sahaja, sudah dapat disimpulkan bahawa Sharnaaz sememangnya cukup menantikan sambutan Syawal.

Lebih-lebih lagi apabila hari lahirnya yang ke-26 jatuh pada Hari Raya pertama sekali gus menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini begitu istimewa sekali buat Sharnaaz.

“Pagi raya, semua sepupu dan saudara saya akan berkumpul di rumah keluarga saya di Datuk Keramat, Pulau Pinang.

“Seterusnya, kami semua akan bersembahyang sunat Aidilfitri di masjid berdekatan dan sebaik sahaja pulang ke rumah, kami akan dihidangkan dengan pelbagai juadah istimewa daripada air tangan ibu saya.

“Ketika itulah juga, soal diet sudah tidak dihiraukan lagi kerana macam-macam makanan akan dihidangkan seperti nasi tomato, ayam ros, ayam kicap dan rendang.

“Memang sudah menjadi tradisi keluarga kami untuk menghidangkan juadah istimewa seperti ini di pagi Syawal. Kemudian, waktu tengah hari pula, kami semua akan ke rumah makcik saya,” cerita Sharnaaz dalam nada penuh teruja.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails