RAMAH, riuh dan mudah tertawa. Itu adalah antara sikap yang ditonjolkan anak seni bernama Jaafar Onn, 60. Biarpun baru pertama kali penulis berjumpa dengan anak kelahiran Johor itu, tiada sedikitpun terpalit sikap janggal apabila berhadapan dengannya.
Mulutnya yang becok bercerita membuatkan S3 yang berkunjung ke studio milik Jaafar di Bandar Seri Permaisuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini terhibur dengan telatahnya itu.
Lantas satu persatu celotehnya itu diamati agar ruang Gaya Evergreen minggu ini dapat diselitkan dengan pemegang watak Cikgu Jaafar dalam drama bersiri Cili Padi yang popular sekitar tahun 1990-an itu.
Bicara Jaafar, dalam melalui usia emasnya kini, dia sudah cukup berpuas hati dengan kerjayanya sebagai anak seni.
Baginya, apa yang ingin dicuba dalam bidang seni suatu ketika dahulu telah pun berjaya dilakukan.
Berlakon, menyanyi dan mengacara semua itu telah dilakukan oleh Jaafar sejak menceburi persada seni tanah air pada awal 1980-an.
“Saya rasa puas, memandangkan apa yang ingin saya lakukan dalam bidang seni telah dapat direalisasikan.
“Namun, apa yang paling penting saya dapat mencuba sesuatu yang baharu dan berkongsi minat bersama orang ramai.
“Sebab itu, saya kini lebih banyak menjadi duta barangan makanan dan mengacara rancangan memasak kerana ia dekat dengan hati saya.
“Lagipun dengan cara itu, saya dapat menurunkan ilmu dan kebolehan saya dalam bidang masakan bersama masyarakat,” jelas Jaafar sambil terus bercerita.
Bagaimanapun, tambah Jaafar, dengan mengacara rancangan masakan membuatkan diri berasa teruja kerana dapat berkongsi kepakaran dengan peminat.
“Saya memang minat memasak sejak dahulu lagi. Jadi, apabila berada dalam industri hiburan, saya dapat merasakan bahawa ruang untuk memasak terus terbuka.
“Bagi saya, bidang masakan ini sesuatu yang mempesonakan, kerana kita boleh mencipta pelbagai resipi.
“Lagipun apabila makan masakan ‘air tangan’ sendiri rasanya tidak sama. Biarpun tidak sedap tetapi kita puas apabila mencuba masakan sendiri,” ujarnya yang juga juri tetap rancangan Jaguh Kampung.
Bercerita perihal teman-temannya, luah Jaafar, sepanjang hidupnya, dia sudah berjumpa dengan bermacam-macam ragam orang yang ingin menjadi sahabat dan itu membuatkannya berhati-hati dalam berkawan.
“Bukan senang untuk mencari sahabat, apa lagi sahabat di kala susah.
“Namun saya bersyukur kerana dikelilingi sahabat-sahabat yang memahami dan baik,” ujarnya.
Menyambung bicara perihal sahabatnya, Jaafar akui dia tidak pernah sekalipun melupakan sahabat-sahabatnya apabila mendapat sebarang undangan untuk membuat persembahan.
Jelasnya, setiap kali mendapat undangan, dia pasti akan mengajak beberapa sahabatnya untuk turut serta membuat persembahan.
“Saya tidak selesa sekiranya tidak mengajak sahabat-sahabat saya untuk bersama menyerikan sesuatu majlis yang diundang.
“Tetapi itu semua bergantung kepada bayaran yang diberi. Saya bukanlah berkira sangat soal bayaran ini, cuma seandainya dibayar lebih maka ramailah yang boleh diajak untuk bersama.
“Dengan cara ini sahaja saya dapat membantu dan berkongsi rezeki yang diberikan oleh-Nya. Lagipun saya percaya setiap rezeki yang kita dapat itu bukan 100 peratus milik kita.
“Sebab itu saya akan mengajak sahabat-sahabat saya agar kami dapat berkongsi rezeki yang diberikan,” ujarnya.