Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kisah baju raya empat personaliti RTM


SINONIM dengan perayaan Aidilfitri, semua umat Islam yang meraikannya tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli sekurang-kurangnya sehelai atau sepasang pakaian baru bagi menyambut hari kebesaran itu.

Malah, muslimin dan muslimat digalakkan memakai pakaian baru ketika menunaikan solat sunat Aidilfitri memandangkan perbuatan itu adalah sunah nabi setiap kali datangnya Syawal.

Bagi dua penyampai berita di saluran TV1, milik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Shikin, 40 dan Shahril, 22, membeli pakaian baru untuk digayakan ketika lebaran menjadi satu kemestian.

Kaftan beri Shikin keselesaan

Bagi penyampai senior yang sudah berkhidmat melebihi 15 tahun di RTM, Norashikin Abd. Rahman atau mesra disapa sebagai Shikin, sebulan sebelum Ramadan lagi dia sudah berbelanja sebagai persediaan menyambut Syawal.

Katanya, Aidilfitri kali ini dia memilih kaftan mampu memberikan penampilan yang berbeza.

“Potongan kaftan yang seperti jubah itu mempunyai rekaan yang unik, cantik dan selesa untuk disarungkan ketika beraya.

“Bagaimanapun, pada hari raya pertama, saya tetap mengenakan baju kurung kerana sudah menjadi adat orang Melayu,” katanya yang hanya memakai semula baju-baju raya tahun lalu supaya tidak membazir.

Shahril beraya dengan jubah

Jejaka kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Mohammed Shahril Sarapudin atau Shahril pula memberitahu, dia menempah sehelai jubah untuk dipakai pada hari pertama Syawal ini.

Jelas Shahril, kain untuk membuat jubah itu dibelinya di Mekah ketika mengerjakan umrah pada bulan April lalu bersama rakannya yang juga personaliti TV3, Fedtri Yahya.

“Kain itu berwarna perang dan kualitinya bagus kerana lembut dan menyerap peluh. Ia selesa dipakai dan tidak memanaskan.

“Ini merupakan kali pertama saya beraya dengan memakai jubah untuk ke masjid. Disamping itu, saya juga membeli sepasang baju Melayu di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR),” katanya.

Kurung moden pilihan Aina

AINA Suzaily Mohd. Zailanny, 21, atau Aina pula berkata, dia rasa lebih selesa menyarungkan baju kurung moden berbanding baju lain seperti kebaya mahu pun kaftan kerana rekaan kurung serasi dengan dirinya.

Gadis berasal dari Kubang Kerian, Kelantan itu memberitahu, Syawal kali ini dia menempah dan membeli lebih daripada empat pasang baju kurung moden.

“Setiap kali saya menempah atau membeli baju, saya tidak tertumpu kepada satu-satu warna sahaja.

“Semuanya mengikut mood saya. Kalau asyik pakai warna yang sama saja setiap tahun, buruk pula keadaan dalam almari baju saya sebab hanya ada satu ton warna sahaja,” ujar Aina yang meminati warna biru itu.

Fathil selesa bercekak musang

ANAK jati Alor Setar, Kedah, Fathil Hidayat Gazali, 31 atau Fathil lebih selesa memilih baju Melayu cekak musang untuk digayakan pada pagi Syawal berbanding baju Melayu teluk belanga.

Ujar Fathil, baju Melayu cekak musang boleh menonjolkan kecantikan dan keindahan seni ikatan sampin terutamanya gaya ikatan bunga yang dipopularkan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Kalau pakai baju Melayu teluk belanga, biasanya sampin ditutup oleh baju yang dibiarkan berada di luar. Jadi, kecantikan kain sampin songket itu tidak terserlah.

“Setiap kali memakai set baju Melayu lengkap, saya akan cuba untuk mengekalkan gaya ikatan bunga kerana saya begitu suka melihat Seniman Agung itu menggayakan sampinnya menerusi filem Madu Tiga,”kata Fathil yang menyanjungi pelakon versatil itu serta meminati penyanyi Jamal Abdillah.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails