JAKARTA - Artis Indonesia, Sherina Munaf dipilih sebagai duta Persidangan Remaja Sedunia (OYW) yang bermula pada 1 hingga 4 September ini di Zurich, Switzerland.
Dalam persidangan tersebut, artis muda itu akan menyampaikan lagu terbaru yang dicipta khas bagi acara penutup OYW 2011.
Malah, dia ditemani delegasi Indonesia yang terdiri daripada beberapa wakil maktab perguruan tinggi, persatuan pemuda dan persatuan mahasiswa yang terkenal.
Menurut Sherina, persidangan tersebut membuatkannya optimis kerana ia memberi peluang kepada remaja untuk berbincang dan memberi pendapat untuk melakukan perubahan positif dalam beberapa isu global.
"Dunia kini berdepan pelbagai cabaran dari segi kos hidup, ekonomi, kesihatan dan politik. Maka pemuda pada masa sekarang perlu lebih bertanggungjawab demi masa depan yang lebih baik," katanya.
Tambahnya, persidangan tersebut merupakan sesuatu yang sangat berharga bagi generasi muda di seluruh dunia, terutamanya di Indonesia untuk tampil berpidato demi membentuk dunia pada masa akan datang.
"Generasi muda tidak seharusnya sekadar berfikir, tetapi perlu melaksanakan idea yang diluahkan," katanya. - AGENSI
