NAMA aktor kacak ini memang cukup masyhur sebagai pelakon drama tempatan sehingga mampu meletakkan dirinya sebagai salah seorang pelakon lelaki yang sering kali mendapat perhatian penerbit. Sudah berpuluh drama dibintangi Zizan Nin antaranya Cinta Medik, Sanggar Cinta Raudah, Ku Milikmu, Laila Majnun dan Kerana Karina yang telah mempamerkan versatilitinya sebagai seorang aktor.
Populariti yang dikecapinya sebagai pelakon drama mungkin telah membuatkan ramai yang terlupa bahawa anak kelahiran Ipoh, Perak ini pernah membintangi sebuah filem berjudul Cinta Terakhir.
Namun, entah di mana silapnya, filem arahan Along Kamaludin itu yang menyaksikan Zizan sebagai teraju utamanya tidak pernah ditayangkan sehingga ke hari ini.
Walaupun Zizan sendiri diiktiraf sebagai Pelakon Harapan Lelaki pada Festival Filem Malaysia Ke-20 (2007) menerusi filem itu, nampaknya ia tidak mampu menyakinkan pihak penerbit untuk menayangkan Cinta Terakhir di pawagam.
Setidak-tidaknya jika filem itu ditayangkan, ia dapat memberi peluang kepada audiens dan peminat Zizan sendiri untuk menonton kehebatannya di layar perak.
Barangkali kesedihan dan kekecewaan Zizan untuk melihat respons terhadap filem pertamanya itu telah terubat apabila dia diberikan peluang membintangi sebuah filem hebat, Tanda Putera.
Tuah sememangnya berpihak kepada Zizan apabila dia terpilih membawakan watak sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman dalam filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu.
Sesungguhnya tiada lain yang mampu dilafazkan Zizan melainkan bersyukur dan menganggap peluang yang diberikan itu sebagai sesuatu yang cukup berharga sepanjang bergelar seorang aktor.
Mengulas lanjut tentang watak negarawan ulung itu, Zizan tidak menafikan cabaran yang perlu digalas bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
"Cabaran saya sudah bermula selepas nama saya terpilih membawakan watak Tun Dr. Ismail di mana perasaan saya bercampur-baur ketika itu antara teruja dan panik.
"Mana tidaknya. Watak yang diberikan kepada saya memang bukan calang-calang. Untuk itu, saya telah membaca dan memahami skripnya berulang kali agar mudah bagi saya untuk jatuh cinta.
"Bukan hanya perlu jatuh cinta pada karakter itu sendiri tetapi juga kepada sejarah dan perjuangan Allahyarham dalam mempertahankan maruah serta kedaulatan negara terutama selepas insiden 13 Mei 1969," jelas Zizan atau nama sebenarnya Azizan Nin ini penuh bersungguh.
Selain Zizan, Tanda Putera yang diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan menggunakan Dana Penerbitan Filem Kenegaraan Dan Warisan itu turut menampilkan aktor berkaliber, Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak.
Pelakon lain termasuklah Kamarulzaman Taib atau Che'Kem sebagai Tunku Abdul Rahman, Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Ton Puan Norashikin Mohd. Seth) dan Norman Hakim (Tun Hanif Omar).
Menyedari peluang keemasan seperti ini mungkin tidak berulang lagi, Zizan telah dinasihatkan oleh syarikat pengurusannya, Aquila Emas agar menumpukan sepenuh perhatian untuk projek filem mega ini.
Sehinggakan, dia sanggup menolak banyak tawaran lain kerana mahu komited dengan Tanda Putera yang memerlukan Zizan melakukan penyelidikan menyeluruh.
Dalam hal ini, dia amat berterima kasih kepada Shuhaimi yang banyak membantu dari segi pengisian mental dan fizikal.
Selain itu, dia juga perlu menyiapkan dirinya dari sudut kerohanian, spiritual serta pengetahuan dan pengisian ilmu yang berkaitan dengan pentadbiran negara, politik dan sosio ekonomi.
"Bagi melancarkan proses tersebut, kami juga banyak mengadakan sesi perbincangan secara terperinci dan mendalam untuk memahami setiap insiden yang berlaku pada era itu.
"Kami juga banyak mengupas fakta sejarah, membuat analisis dan memantapkan tahap pemikiran supaya sejajar dengan situasi tersebut," jelasnya.
Zizan juga mengorbankan waktunya dengan mengunjungi Perpustakaan Negara untuk mendapatkan bahan bacaan dan membuat rujukan mengenai Tun Dr. Ismail.
Apa yang cukup mencabar dirinya apabila dia perlu berlatih bermain golf dengan menggunakan tangan kiri memandangkan bekas Menteri Perdagangan dan Perusahaan itu merupakan seorang kidal.
"Saya juga perlu belajar menghisap paip dan kerap berlatih dengan menggunakan tangan kiri untuk membiasakan diri saya dalam apa jua keadaan sekali pun," ujar Zizan yang juga sempat menemuramah dengan beberapa orang individu yang rapat dengan Tun Dr. Ismail.
Berkongsi pengalaman berlakon dalam filem tersebut, aktor berusia 37 tahun itu menyifatkan Rusdi sebagai pasangan lakon yang sangat serasi dan baik.
Dengan penuh terbuka juga Zizan memberitahu dia cukup mengagumi bakat lakonan Rusdi sejak dari zaman drama bersiri Pendekar.
"Walaupun dia telah memenangi beberapa anugerah, Rusdi seorang yang sangat rendah diri dan sentiasa bersikap bersederhana.
"Nasihat, pandangan dan kerjasama yang diberikan banyak membantu saya terutama ketika sesi latihan untuk projek filem ini sehingga saya terkesima dengan karismanya sebagai Tun Abdul Razak," ujarnya tanpa selindung.
Tanda Putera dijangka tayangannya pada pertengahan tahun 2012.
