AWAL Ashaari merupakan pengacara rancangan hiburan, Fuhhh! terbitan TV3 sejak ia diterbitkan pada Januari tahun lalu. Malah, sejak dari awal diterbitkan sehinggalah kini, pengacara berusia 29 tahun terbabit masih mengacarakan rancangan tersebut.
Biarpun masih setahun jagung, tetapi Fuhhh! merupakan salah satu rancangan hiburan yang popular selepas Melodi yang turut diterbitkan oleh TV3 yang masing-masing terletak di bawah saluran televisyen (TV) swasta milik stesen penyiaran Media Prima Berhad.
Berbeza dengan Melodi yang sering bertukar-tukar pengacara, ia berlainan dengan Fuhhh! yang masih menaruh kepercayaan terhadap Awal sebagai pengacaranya. Fuhhh! dan Melodi juga dikatakan saling bersaing antara satu sama lain sejak akhir-akhir ini.
Menurut Awal, dia tidak menafikan rancangan yang diacarakannya itu mempunyai tarikan tersendiri. Namun, sambutan para penonton itu bukan menunjukkan dia mahu menandingi rancangan yang dikatakan berasal daripada inspirasi kejayaan Melodi.
"Saya cuba melakukan sedaya upaya saya bagi menarik lebih ramai penonton menyaksikan Fuhhh! pada setiap minggu. Ia tiada kena mengena dengan istilah mahu 'caras mencaras' dan sebagainya. Setakat ini pun, Melodi masih berada di tangga teratas rancangan hiburan di TV3.
"Biarpun Melodi dan Fuhhh! rancangan berkonsepkan hiburan tetapi pendekatan kami berbeza. Contohnya, Melodi lebih ke arah gosip dan cerita sensasi, manakala Fuhhh! berbentuk informasi dalam dunia hiburan," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.
Pada pertemuan sebelum rakaman Fuhhh! Merdeka Raya di PNB Darby Park, Kuala Lumpur itu, Awal mengacarakan rancangan tersebut bersama ramai artis jemputan antaranya pelakon drama Juvana, Johan As'ari, Saiful Apek, Fizz Fairuz, Miera Leyana dan Mia Sara.
Fuhhh! Merdeka Raya dengan durasi tayangan hampir sejam yang diterbitkan oleh Zamzuri Zaini atau lebih dikenali sebagai Ayau dengan kerjasama PNB Darby Park itu akan disiarkan melalui TV3 pada 30 Ogos ini pukul 11 malam sempena Hari Raya Aidilfitri.
Jelas anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur (KL) ini, Melodi dan Fuhhh! juga menampilkan gaya persembahan yang berbeza bukan setakat pengisian bahan-bahan di dalamnya tetapi juga waktu tayangannya agar ia tidak mengelirukan para peminat dua rancangan itu.
"Melodi ditayangkan pada setiap hari Ahad pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang, sedangkan Fuhhh! pula disiarkan pada setiap Selasa pukul 11.05 malam hingga 12 tengah malam. Fuhhh! dirakamkan sedangkan Melodi pula disiarkan secara langsung.
"Saya yakin lama kelamaan para peminat akan dapat membezakan antara rancangan Melodi dan Fuhhh! Sebab itu saya kata, saya mahupun Fuhhh! bukannya mahu bersaing dengan Melodi kerana kami berada di bawah stesen yang sama. Tetapi ia satu alternatif buat para penonton," ujarnya.
