Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aktiviti selepas raya Zahnita


TIADA apa yang menggembirakan Zahnita Dorothy Hussein Wilson selain meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri buat pertama kali bersama suami tercinta, Zackery Ghouse, 33, pada tahun 2005. Ayat tersebut terpacul terus dari mulut model jelita itu saat diajukan soalan mengenai kenangan raya yang paling dia tidak boleh lupakan.

Rayanya juga lebih bermakna tatkala kelahiran puteri sulung, Zahrafina empat tahun yang lalu. Pertemuan dengan model dan juga pelakon kelahiran Brisbane, Australia itu bersama anaknya sempena pertunjukan fesyen hari raya di Pusat Beli-Belah Great Eastern, Kuala Lumpur itu mengungkap segala ceritera Aidilfitrinya.

“Pertama kali sambut raya sebagai isteri dan ibu sangat menyeronokkan dan ia merupakan kenangan paling bermakna buat saya. Kenangan pertama kali bawa suami balik raya rumah keluarga pada tahun 2005 dan menjadi ahli baharu dalam keluarga masih saya ingat sampai sekarang,” katanya yang kelihatan anggun mengenakan busana berwarna biru rekaan Innai Closet.

Walaupun sambutan hari rayanya cuma di Shah Alam memandangkan ibu dan ibu mertuanya menetap di sana, namun sambutannya tetap meriah.

Selain mengikut ibunya bersembahyang raya, Zahnita juga seperti insan lain yang turut teruja menikmati juadah raya terutama yang paling digemarinya setiap kali tiba hari raya iaitu lemang, rendang dan tart nanas.

“Setiap tahun saya akan menyambut raya sama ada di rumah mak di seksyen 9 atau di rumah mak mertua di Seksyen 19. Biasanya kalau hari raya setiap pagi saya akan ikut mak ke masjid sembahyang raya dan selepas itu kami akan menikmati juadah raya bersama seluruh ahli keluarga,” ceritanya yang handal membuat kek keju berbanding biskut raya.

Anak jadi model

Walaupun dikenali sebagai model kain Jakel, Zahnita hanya memperuntukan cuma dua helai baju raya untuk tahun ini. Tidak terlalu berlebihan tatkala menyambut raya, Zahnita turut bersederhana menyediakan kelengkapan raya buat si kecil kesayangan yang dipanggil Zahra.

Menyambung bicara ibu tercinta, Zahra mengakui sukakan warna ungu dan juga merah jambu dalam pemilihan warna fabrik untuk baju raya.

Kata si kecil yang petah berbicara ini: “Zahra suka apa sahaja baju yang melibatkan warna ungu dan merah jambu sama ada ia untuk baju raya atau gaun”.

Walaupun Zahnita tidak pernah menggalakkan anaknya menceburi bidang peragaan ternyata bakat yang dimiliki model berzodiak Taurus itu diwarisi Zahra.

“Dunia modelling sangat stressful jadi saya tidak mahu Zahra rasa. Tetapi dia sendiri mahu jadi model seperti saya. Jadi, saya hanya benarkan Zahra jadi model majalah. Setakat ini, Zahra sudah banyak buat fesyen bertudung untuk majalah Nona,” beritahu Zahnita.

Ternyata kehadiran Zahra membuat catwalk pertamanya sempena pertunjukan fesyen hari raya di Pusat Beli-Belah Great Eastern, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini mencuri tumpuan khalayak dengan memperagakan kurung berwarna ungu rekaan Cotton Picking, Zahra melangkah ke pentas dengan penuh yakin.

Selain Zahnita dan Zahra, pertunjukan fesyen hari raya pada malam itu turut menjemput beberapa selebriti lain bersama pereka masing-masing untuk membuat peragaan.

Mereka termasuklah Memey Suhaiza yang menggayakan kostum rekaan Ang Eng, Farhan dengan rekaan Bareeze’, Faezah Elai menampilkan kostum rekaan Kohimaran.

Turut mengambil bahagian dalam perialah penyanyi Ezlynn dengan rekaan Koleksi D’Rias, Amber Chia bersama Island Shop, Miera Liyana menggayakan hasil kreativiti Pedlars dan Amanda Imani tampak anggun dengan kostum daripada Rustic Room.

800 pokok cili

Dalam pada itu, Zahnita turut berkongsi rahsia mengenai dirinya yang tidak disangka sama sekali akan menjadi model. Katanya, semasa usianya sama dengan Zahra dia tidak pernah terfikir menjadi model sehinggalah usianya mencecah 14 tahun.

“Saya tidak terfikir untuk jadi model semasa kecil. Bila umur mencecah 14 tahun saya mula buat peragaan dan rasa seronok,” katanya.

Berkongsi cerita, selepas menyambut Aidilfitri, Zahnita akan membanting tulang dan menyingsing lengan di ladang miliknya dan suami di Behrang, Selangor untuk menanam cili.

Bagi Zahnita, tiada apa yang pelik bagi seorang model sepertinya bergelumang dengan tanah. Malah, dia tidak sabar untuk turun ke tanah seluas 1.2 hektar itu untuk menanam cili.

“Tiada apa yang pelik sebabnya keluarga saya dan suami memang terlibat dengan perniagaan.

“Saya sendiri sebelum ini mempunyai perniagaan restoran nasi campur di Menara Eon, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur manakala suami pula terlibat dengan perniagaan kebab berdekatan dengan KLCC. Tetapi, sekarang kedua-dua perniagaan ini sudah kami tutup untuk beri tumpuan pada perniagaan cili ini,” katanya lagi.

Menurutnya, buat masa ini terdapat 800 pokok cili ditanam di rumahnya itu. Ditanya mengenai pemilihan cili berbanding produk lain dan bagaimana dia boleh mengusahakan perniagaan itu, kata Zahnita, cili merupakan produk yang sering menjadi pilihan dalam masakan.

“Saya pilih cili sebab ia banyak digunakan dalam masakan. Seorang profesor dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia yang beri cadangan dan tunjuk ajar mengenai penanaman cili itu,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails