Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Almy dan Ryzal selesa tanpa pengurus


ISU pertelingkahan antara artis dan pengurus sudah menjadi rencah dalam industri hiburan tempatan mahupun antarabangsa. Ia bagaikan asam garam yang perlu dilalui oleh sesetengah selebriti yang kerjaya mereka diuruskan oleh pengurus.

Jika ada percanggahan pendapat yang ketara sehingga memberi kesan negatif terhadap karier masing-masing, maka akan bermulalah perang dingin.

Seterusnya, berlakulah kejadian tuding menuding antara satu sama lain dan akhirnya perkelahian tersebut menular ke dada-dada akhbar mahupun di kaca televisyen.

Tetapi ada juga artis yang bergerak sendiri tanpa bergantung kepada pengurus. Seperti Ryzal Jaafar dan Almy Nadia yang ditemui di lokasi penggambaran drama Maahad Al-Amin arahan Raja Ahmad Alauddin di Kemensah, Hulu Klang baru-baru ini, mereka mempunyai pandangan tersendiri mengenai pengurus artis.

Adakah mereka selesa bergerak sendirian, atau lebih terurus jikalau karier masing-masing dikendalikan oleh pengurus artis sama ada secara individu mahupun syarikat pengurusan?

Ryzal cuba berdikari

Pemuda kelahiran Alor Setar, Kedah yang berusia 29 tahun ini pernah bernaung di bawah produksi gergasi tanah air, KRU Studios tatkala memulakan karier lakonannya lima tahun lalu.

Terkenal menerusi siri Jelatang yang disiarkan di TV3, kerjaya Ryzal semakin berkembang maju dan bakatnya mula dikenali ramai.

Namun, sebulan lalu, Ryzal mengakui, dia tidak lagi menyambung kontraknya bersama KRU Studios kerana nekad mahu berdikari dalam mengembangkan lagi kariernya.

Tambah jejaka yang juga merupakan model sambilan itu, dia bukanlah mahu mendabik dada setelah bakat lakonannya mula mendapat perhatian penggiat filem, tetapi tidak salah jikalau hasratnya yang mahu berdikari direalisasikan.

"Apa salahnya kalau saya hendak berubah angin? Lagipun sudah empat tahun saya bernaung di bawah syarikat pengurusan lama.

"Sudah tiba masanya untuk saya mengorak langkah sendiri tanpa perlu dipimpin oleh mana-mana syarikat pengurusan artis.

"Hasrat saya untuk bergerak sendiri ini juga pun mendapat persetujuan KRU Studios dan mereka memberi galakkan sewajarnya," jelas Ryzal panjang lebar di lokasi drama terbitan Global Station Network untuk siaran TV AlHijrah.

Ditebak soalan adakah berlaku konflik dalaman antara syarikat milik trio KRU itu dengan dirinya, Ryzal menjawab, setiap organisasi mempunyai kelebihan dan kekurangan.

"Tipu kalau saya cakap tidak wujud sebarang masalah dengan mereka (KRU Studios) sepanjang empat tahun saya di sana.

"Tetapi, segala salah faham diselesaikan secara profesional tanpa sedikitpun terbit perasaan dendam.

"Hubungan saya dengan sesiapa yang bekerja dengan pihak pengurusan sebelum ini masih rapat dan tetap berinteraksi seperti biasa," katanya menjawab soalan tersebut.

Almy mampu sendirian

Bagi pelakon siri Senandung Si Dayang, Almy Nadia, 25, dia tidak kisah sama ada kerjayanya diurus oleh pengurus artis mahu pun secara sendirian.

Katanya, pengalaman bernaung di bawah syarikat pengurusan LineClear Motion Pictures enam tahun lalu tidak mendatangkan apa-apa masalah yang serius walaupun Almy hanya bertahan setahun sahaja di situ.

Bagaimanapun Almy menegaskan, tindakan dia menarik diri daripada syarikat pengurusan terbabit bukanlah disebabkan berlaku sebarang pertelingkahan, tetapi kerana yakin mampu bergerak secara sendirian mengharungi liku kehidupan sebagai seorang pelakon.

Katanya, demi mencari sesuap nasi, dia akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan peluang tawaran berlakon dari mana-mana produser tempatan.

"Pada mulanya bergerak secara sendirian, saya akui sedikit terumbang-ambing dalam mencari arah untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

"Namun, lama-kelamaan saya berjaya menguruskan karier saya dengan lebih teratur dan alhamdulillah, rezeki dalam bidang ini masih berpihak kepada saya," kata kekasih kepada Fizz Fairuzz itu.

Namun, Almy berpendapat, sama ada syarikat pengurusan atau sendirian, kedua-duanya mempunyai pro dan kontranya.

Paling penting, nasihat Almy, setiap artis itu perlu bijak menyesuaikan diri dalam industri hiburan ini dan pandai menyusun bicara kerana komunikasi dua hala itu adalah kunci kejayaan.

Menyentuh pula mengenai hubungannya denga aktor kacak Fizz Fairuz, Almy ternyata berat mahu berbicara lanjut perihal tersebut.

Katanya ringkas, biarlah ketetapan takdir Allah yang menentukan segalanya terhadap jodoh antara mereka.

Maahad Al-Amin uji Ryzal, Almy

Berbicara mengenai drama genre komedi kerohanian 12 episod, Maahad Al-Amin yang bakal disiarkan di siaran TV AlHijrah itu, Ryzal menjelaskan, intipati dialog yang menjurus ke arah keilslaman itu amat menguji pengetahuannya terhadap ilmu agama.

Ujar Ryzal yang melakonkan watak sebagai Hud yang merupakan staf di sebuah sekolah pondok itu, dia perlu menunjukkan kebolehannya mengaji al-Quran.

"Jadi, bacaan ayat-ayat suci perlulah betul hukum tajwid agar maksudnya tidak tersasar. Lagipun, ia menjadi kesalahan jika membaca ayat suci dengan cara yang tiak betul.

"Justeru, saya sering bertanyakan kepada seorang ustaz yang turut diundang sebagai pelakon tambahan dalam siri ini," jelas bekas pelajar Malaysia Institute Integrative Media itu.

Bagi Almy pula, lakonannya sebagai Sakinah dalam drama ini turut mengujinya kerana dialog yang dilontarkan semuanya berdasarkan fakta, bukannya auta.

Jelas anak kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang itu, cabaran menghafal skrip yang penuh dengan riwayat hadis dan dalil, benar-benar menduga kredibilitinya sebagai pelakon.

"Syukur, saya dibimbing dengan baik oleh penulis skrip ini, Mahizan Husain agar memudahkan saya untuk melontarkan dialog dengan lebih lancar.

"Kalau drama yang bukan ke arah islamik, dialognya boleh diolah mengikut kesesuaian saya.

"Tetapi drama yang bersifat keislaman sebegini, saya tidak boleh sesuka hati untuk mengolah skripnya kerana takut berlaku kesalahan fakta," ulas Almy.

Selain mereka berdua, drama ini turut dijayakan oleh Zamarul Hisham, Arash Mohamad, Afiq Meadin, Aidil Aziz, dan Zizan Nin serta melibatkan hampir 20 pelakon kanak-kanak yang menggambarkan suasana sekolah pondok Maahad Al-Amin.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails