BARANGKALI Syawal tahun ini cuma mengulangi rutin yang pernah dijalani penyanyi dan aktres jelita, Erra Fazira sejak bergelar isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin, empat tahun lalu.
Meredah kesesakan lebuh raya untuk pulang berhari raya bersama keluarga sebelah suami di Pulau Pinang dan Kuala Terengganu, seterusnya kembali ke ibu kota untuk bersama ibu tercinta tidak lagi menjadi bebanan kepadanya. Ke mana juga destinasi yang dituju tidak pernah menimbulkan masalah besar kepada Erra, asalkan Syawal yang diraikan kali ini dia ditemani dua insan yang menjadi pelengkap hidupnya.
Mungkin semua momen itu hanya ada dalam bayangan pelakon dan pengacara tinggi lampai, Scha Al-Yahya, sementelah Syawal ini dia masih belum melepaskan status gadis yang bersamanya selama 29 tahun. Bagaimanapun, kata pemilik nama lengkap, Sharifah Norazean Syed Mahadzir ini, lebaran mendatang mengundang pelbagai rasa yang sulit diterjemahkan dengan perkataan.
Detik syahdu itu juga sebenarnya bakal menemukan bintang utama Libas ini dengan pelbagai persoalan berat yang hanya diketahui jawapan selepas melaluinya sendiri.
Tanpa perlu lagi berteka-teki, Scha mengiyakan segala doa peminat yang selama ini ingin sekali melihat jalinan cintanya dengan pengacara dan pelakon kacak, Awal Ashaari berakhir di jenjang pelamin.
“Insya-Allah, jika niat suci direstui dan dipermudahkan Tuhan, lebaran ini adalah Syawal terakhir akan saya raikan sebagai seorang gadis.
Pelbagai rasa bercampur baur, malah memikirkan semua itu membuat saya cemas. Biarpun tarikhnya belum dipastikan lagi, namun pelbagai pertanyaan sedang berselirat di kepala.
“Saya sendiri bingung bagaimana hendak memulakannya. Persiapan juga belum dibuat kerana tarikhnya masih jauh. Melihat kesibukan saya dan Awal, tidak mungkin perkahwinan akan berlangsung tahun ini,” kata Scha.
Gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah yang ramah berkata-kata itu mengakui dari sudut fizikal dia sudah bersedia untuk membawa hubungannya dengan Awal ke satu fasa baru. Tetapi pada masa sama, dia perlu mempersiapkan mentalnya kerana akur tuntutan sebagai isteri itu bukan sekadar gelaran yang menghalalkan ikatan cinta suci mereka.
“Ia hadir bersama tanggungjawab, terlalu berat untuk digalas namun saya masih berusaha mempersiapkan diri menjadi isteri terbaik di mata bakal suami. Saya mungkin tidak sempurna tetapi saya enggan menjadikan hal itu sebagai alasan untuk tidak melihat ke dalam diri dan berusaha mengatasi setiap kekurangan.
“Alhamdulillah kerana Awal tidak pernah mendesak, malah dia membawa hubungan kami meniti satu demi satu fasa ketika menuju ikatan yang sah,” katanya.
Teraju filem Libas yang akan menemui peminat pada 29 September ini berkata, sulit untuk dia membayangkan bagaimana dua dunia yang berbeza bisa bersatu membina kerukunan sebuah hubungan.
Bagaimanapun, Scha yang meraikan 1 Syawal di ibu kota tidak gentar untuk menempuh detik itu kerana dia tahu apa yang dimahukannya.
Malah, sekali melangkah tidak mungkin dirinya akan berpaling semula kerana Scha yakin dengan pilihan yang dibuatnya.
“Saya tidak mengimpikan majlis yang besar, cukup bersederhana kerana saya dan Awal mengutamakan apa yang wajib terlebih dulu.
Ikutkan saya mahu mengadakannya sekali harung, jika bertunang pun tidak perlu lama. Namun, semua itu hanya akan berlaku tahun depan kerana ketika ini, jadual saya padat sehingga hujung tahun,” katanya yang muncul dalam Geisha Melayu Terakhir pada musim Aidilfitri.
Semua untuk Aleesya
SEPERTI umat Islam lain yang turut mengejar pelbagai ganjaran Allah pada Ramadan, Erra juga enggan melepaskan peluang keemasan yang cuma datang sebulan sekali. Tidak terikat dengan sebarang penggambaran gara-gara masalah teknikal, sebahagian besar masa Erra diisi dengan mengabdikan diri kepada Allah pada bulan puasa lalu.
Namun, bakat diberikan Tuhan turut dimanfaatkan Erra untuk menyelesaikan tempahan hamper yang diterimanya sepanjang Ramadan lalu.
Tahun kelima menjalankan perniagaan itu, Erra tidak lagi terlalu mengejar keuntungan sebaliknya tempahan diterima mengikut kemampuannya.
Bermula kerana minat selain tanda penghargaan kepada mereka yang dekat dengannya, bakat gubahan Erra tanpa diduga membuka sebuah lagi pintu rezeki untuk dinikmati.
“Pernah dulu saya mengambil jumlah tempahan luar biasa dan akhirnya menjerat diri sendiri. Saya terpaksa bersengkang mata sehingga jam 5 pagi untuk menyiapkan tempahan. Mengenang pengalaman itu, saya bertekad untuk melakukannya sekadar termampu. Dulu bolehlah saya bekerja tanpa mengira waktu kerana cuma berdua dengan suami.
“Tetapi sejak mempunyai anak, saya juga perlu mengutamakan Aleesya. Bimbang nanti jika terlalu mengejar rezeki, Aleesya pula terabai.
Rezeki yang Allah berikan ini memadai untuk kami tiga beranak, cukup memberi keselesaan menjelang hari raya nanti,” katanya.
Seperti tahun terdahulu, Erra berkata, untuk persiapan 1 Syawal lalu, dia banyak tumpukan pada anak tunggalnya. Melihat Aleesya yang semakin bijak bergaya pada hari raya pertama lalu, hati Erra berbunga bangga, justeru tidak hairan jika dia boleh lupa diri ketika membuat persiapan untuk anak berusia mencecah tiga tahun itu.
“Kalau bawa Aleesya pergi membeli-belah, dia sudah boleh pilih mana satu pakaian yang dia berkenan. Biarpun masih belum memahami pengertian hari raya, Aleesya berkongsi keterujaan ketika kami berkemas untuk balik kampung tempoh hari,” katanya.
Sempena musim Aidilfitri ini, wajah eksklusif Astro ini menghiasi pelbagai program menarik seperti Mega Raya 2011, telefilem Mak Ok Jer dan Pontianak Beraya Di Kampung Batu. Erra akui, Aidilfitri kali ini juga hanya sempat dinikmatinya seketika kerana pada raya kelima, dia berlepas ke Milan, Itali atas urusan kerja.
Info
Scha Al-Yahya
NAMA SEBENAR:Sharifah Norazean Syed Mahadzir
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
ASAL: Sungai Petani, Kedah
DARAH CAMPURAN: Arab (bapa) dan Cina (ibu)
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2 dan Kita Carefree
FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Libas, Awan Dania The Movie dan Aku Bukan Tomboy
PENGACARAAN: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau
KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom dan My EG
DUTA: Bio Essence
Erra Fazira
NAMA SEBENAR: Fazira Wan Chek
TARIKH LAHIR: 9 Februari 1974
TEMPAT LAHIR: Sungai Choh, Rawang, Selangor
SUAMI: Engku Emran Engku Zainal Abidin
ANAK: Engku Aleesya Engku Emran
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, model
ALBUM: Erra Fazira (1994), Aku dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999 ), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2003) dan Ya Atau Tidak (2006)
FILEM: Sembilu dan Sembilu 2 (1994 & 1995), Maria Mariana dan Tragedi Oktober (1996), Gemilang (1997), Maria Mariana 2 (1998), Pasrah dan Soal Hati (2000), Gerak Khas The Movie dan Putih (animasi) (2001), Mr Cinderella dan Soalnya Siapa (2002), Gila Gila Pengantin, Janji Diana, Cinta Kolestrol, Mr Cinderella 2 dan MX3 (2003), Kuliah Cinta, Hingga Hujung Nyawa, Tujuh Perhentian dan I Know What You Did Last Raya (2004), Potret Mistik, Sembilu, Lady Boss, Gila Gila Pengantin Popular dan KL Menjerit 1 (2005), Castello dan Pesona Non Grata (2006), Qabil Qusyry Qabil Igam (2007), Cuci, Anak, Los Dan Faun (2008), Sifu Dan Tongga (2009) dan Andartu Terlampau - 21 Hari Mencari Suami (2010)
