Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kamal-Jitra, Intan-Bangkok


MEMILIKI segala pakej yang diimpikan untuk menjadi anak seni sempurna namun jika tidak diiringi tuah, barangkali perjalanan ke destinasi impian menuntut masa lebih panjang.

Itu yang dilalui pelakon kacak, Kamal Adli yang turut berdepan dilema untuk mendakap hati peminat meskipun bakat besarnya sudah teruji, sama ada di layar kaca mahu pun layar lebar.
Tatkala persoalan itu diajukan kepadanya, pemegang watak utama filem Kembar Siang itu berkata, dia sentiasa percaya kepada rezeki yang sudah tertulis.
Anak muda kelahiran Pekan, Pahang berusia 25 tahun itu berkata, situasi itu tidak pernah menghentikan langkahnya sebaliknya dia yakin masa untuk diri dan bakatnya menyerlah di mata khalayak akan tiba juga nanti.

Kamal berkata, dia tidak perlu risau jauh sekali menyimpan perasaan cemburu dan iri hati dengan kejayaan pelakon lain seangkatannya kerana perjalanan seseorang anak seni itu tidak sama.

“Mengapa perlu takut kerana industri hiburan sendiri sudah menyediakan banyak contoh untuk saya lihat dan jadikan pembakar semangat.

“Lihat saja perjalanan Shaheizy Sam sebelum mencapai tahap di mana dia berdiri sekarang. Bakatnya besar, malah pernah menerima pengiktirafan namun terpaksa beralih kepada nyanyian apabila karier lakonan tidak menyebelahinya.
“Tetapi lihat bagaimana putaran hidupnya hari ini. Sekelip mata kehidupannya berubah apabila dipertemukan dengan watak yang bersesuaian.

“Jadi saya tidak pernah lihat isu lambat popular sebagai satu masalah besar. Jika Sam mengambil masa berbelas tahun untuk mengecapi semua itu, apa sangat dibandingkan dengan perjalanan saya yang baru bermula ini,” kata pemuda bertubuh segak ini matang.

Memadai kata pelakon Gerimis Mengundang ini, jika penerbit serta penonton di luar mengetahui kemampuannya kerana perkara itu menjaminnya untuk mendapat tawaran berterusan.

Kamal akur, sulit untuk pelakon mengecapi keselesaan jika tidak disertai dengan kesungguhan dan kerja keras membuatkan dia tidak segera puas dengan apa yang diperolehnya.

“Peminat kenal dan menerima itu adalah permulaan yang cukup baik untuk orang baru seperti saya. Saya selalu berpegang kepada prinsip, populariti tidak perlu dikejar.

“Ia akan datang sendiri jika kita memberikan hasil kerja yang baik. Untuk apa terlalu memikirkan perkara itu kerana populariti belum pasti menjamin kita mampu bertahan lama dan dihormati dalam industri,” katanya.

Baru menyelesaikan penggambaran filem Gerimis Mengundang arahan Ahmad Idham, Kamal juga antara barisan pelakon yang menguatkan filem Tiga Temujanji di samping Pierre Andre dan Yana Shamsudin.

Bagaimanapun, sepanjang Ramadan ini, Kamal selesa memperlahankan aktiviti lakonannya kerana mahu berehat selepas bekerja keras di lokasi penggambaran.

“Bukan menolak rezeki tetapi badan dan minda saya sudah terlalu penat. Jadi saya ambil keputusan untuk memperlahankan dulu lakonan, mengosongkan minda sebelum kembali semula ke lokasi penggambaran selepas Aidilfitri nanti.

“Berlakon bukan saja menuntut stamina namun ketangkasan minda untuk mewarnai watak yang diserahkan. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan namun memberikan pengalaman yang mengujakan,” katanya.


Berpisah destinasi sambut lebaran

KEKASIH kepada pelakon Intan Ladyana ini berkata, Aidilfitri ini mereka berpisah destinasi kerana Kamal meraikan 1 Syawal bersama keluarganya di Jitra, Kedah.

Seperti orang lain, keluarga mereka juga mengamalkan sistem giliran setiap kali tiba lebaran. Tahun lalu, Kamal meraikan Aidilfitri bersama keluarga sebelah ibunya di Pekan.

“Beraya di Pekan atau Jitra, kedua-duanya mengundang keseronokan yang tersendiri buat saya. Cuma jika di Jitra, suasana hari raya itu lebih dirasai mungkin kerana menyambutnya di kampung.

“Kebetulan rumah keluarga berdekatan surau, jadi selepas solat akan menjadi tumpuan tetamu. Kami akan berjalan beramai-ramai untuk menziarahi pusara, seterusnya mengunjungi saudara mara terdekat.

“Berbeza di Pekan di mana suasananya sama seperti yang sering disaksikan dalam klip video hari raya. Setiap orang sibuk pada malam menjelang hari raya tetapi selepas 1 Syawal, masing-masing akan pulang untuk meneruskan rutin,” katanya.

Ketika Aidilfitri membentangkan ruang untuk mengeratkan jalinan silaturahim sesama insan, Kamal bagaimanapun, belum terfikir untuk bertandang ke kediaman keluarga Intan pada hari raya nanti.

Ini kerana kata Kamal, Intan memilih meraikan Aidilfitri di Bangkok, Thailand untuk bersama keluarga sebelah ibunya yang berasal dari sana.

Hal itu tidak pernah menimbulkan masalah besar kepada Kamal kerana mereka sudah terbiasa melaluinya. Akuinya, mereka ialah pasangan yang sentiasa sibuk namun situasi tidak pernah menjarakkan hubungannya dengan Intan.

“Saya tidak boleh membelakangkan keluarga, selagi kedua orang tua masih ada keutamaan akan diberikan kepada mereka terutama pada hari istimewa seperti Aidilfitri.

“Intan juga memahami, malah tidak pernah memaksa selagi belum ada ikatan yang sah. Biarlah kami membina masa depan yang selesa dulu sebelum mengambil keputusan untuk membawa hubungan ini ke satu tahap berbeza,” katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails