SEMENJAK membuat kemunculan pertama di kaca televisyen sebagai pelakon iklan komersial sekitar tahun 2002, kini Zizan Nin boleh dikatakan sudah mampu berdiri sebaris dengan pelakon lelaki popular yang lain.
Sudah bergelar anak seni selama sembilan tahun, ternyata pelakon yang kini mencecah usia 37 tahun itu sering menjadi pilihan pengarah dan sudah tampil dengan puluhan drama serta telefilem.
Lebih menarik lagi, pada tahun lalu bakat seninya itu lebih teruji apabila membuat kemunculan sulung dalam pentas teater menerusi pementasan Tun Mahathir dan membawakan watak Perdana Menteri Malaysia keempat sewaktu muda.
Kemudian, pada tahun ini pula dia sekali lagi diuji dengan peranan yang cukup mencabar menerusi filem kenegaraan berjudul Tanda Putera yang diarahkan oleh pengarah berkaliber, Datin Paduka Shuhaimi Baba.
“Pada bulan puasa yang lalu saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Tanda Putera di samping Rusdi Ramli. Dalam filem berkenaan saya memegang watak sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.
“Walaupun sebelum ini saya pernah memegang watak seorang tokoh yang penting, namun saya menganggap watak sebagai Tun Dr. Ismail ini memberikan cabaran yang lebih besar,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Zizan, antara cabaran paling besar yang terpaksa dilaluinya adalah membiasakan menggunakan tangan kiri sewaktu menulis, menghisap paip dan bermain golf memandangkan bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan adalah seorang kidal.
“Apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem ini, bagi saya ia merupakan satu penghormatan yang cukup besar. Namun, saya tetap memberikan yang terbaik agar watak tersebut dapat memberi kesan kepada penonton,” ujarnya.
Ditanya mengenai pengalaman ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, ternyata Zizan mempunyai cerita yang cukup menarik ketika menyambutnya di luar negara suatu ketika dahulu.
Pastinya umum sudah mengetahui bahawa sebelum bergelar seorang pelakon popular, Zizan sememangnya pernah menuntut di Universiti De Monfort, Leicester, England dalam bidang pengurusan perbankan selama dua tahun.
“Apa yang saya ingat kejadian itu berlaku sekitar tahun 1997 ketika saya menuntut di luar negara. Pada masa itu, saya bersama rakan-rakan dari Malaysia yang lain sedang sibuk memasak juadah pada pagi hari raya.
“Boleh dikatakan agak banyak juga juadah yang kami sediakan bagi mengubat kerinduan tidak dapat berhari raya di kampung halaman. Namun, secara tiba-tiba dapur tempat kami memasak itu terbakar sehingga kelam-kabut kami dibuatnya,” ujar Zizan.
Tambah pelakon itu lagi, kalau diingatkan kembali kejadian yang berlaku itu adakalanya dia akan ketawa sendirian. Bagaimanapun, menyambut hari raya di luar negara juga sebenarnya adalah pengalaman yang cukup bermakna.
Jelasnya, biarpun sambutannya tidaklah semeriah seperti sambutan di negara sendiri, tetapi suasana hari raya itu tetap dirasai apabila dapat berkumpul beramai-ramai bersama pelajar Malaysia yang lain sambil mendengar lagu-lagu raya.
“Walaupun kerinduan untuk menyambut lebaran bersama keluarga sedikit terubat, namun apa yang menyedihkan saya dan rakan-rakan masih perlu menghadiri kelas dan membuat pembentangan ketika umat Islam di Malaysia masih meraikannya,” ujarnya.
Mengenai sambutan Aidilfitri pada tahun ini, pelakon berkenaan memberitahu, dia akan beraya di rumah keluarga mertuanya di Kuala Lumpur pada hari raya pertama dan pulang ke kampungnya di Sungai Besar, Selangor pada keesokan harinya.
Jenama sendiri
Sepanjang bulan puasa yang lalu, Zizan memberitahu bahawa dia langsung tidak terlibat dalam sebarang aktiviti seni selepas tamat menjalani penggambaran filem Tanda Putera.
Menurut pelakon yang pernah diiktiraf sebagai Pelakon Harapan Lelaki pada Festival Filem Malaysia Ke-20 menerusi filem Cinta Terakhir, dia lebih banyak meluangkan masa melakukan amal ibadat memandangkan pada tahun lalu dia sibuk dengan latihan pementasan teater Tun Mahathir.
“Sambutan puasa dan raya tahun ini juga cukup bermakna kerana buat julung-julung kalinya saya memperkenalkan pakaian baju Melayu yang menggunakan jenama saya sendiri iaitu Zizanin.
“Setakat ini, baju Melayu tersebut diletakkan di butik rakan, K-Maria yang terletak di Kota Damansara. Namun, saya tidaklah menjahit baju-baju itu, sebaliknya saya hanya memilih kain-kain yang bersesuaian,” jelasnya.
Menurut Zizan lagi, selain baju Melayu dia juga sebenarnya mempunyai perancangan yang lebih besar iaitu mahu menghasilkan kemeja yang turut menggunakan jenamanya sendiri dalam tempoh terdekat ini.
