DUA nama berbeza, membawa haluan menerusi laluan berbeza, namun yang pasti kedua-dua figura ini teguh mengukir nama di laman seni dengan cara yang sama iaitu menerusi program realiti televisyen. Sama ada Adira apalagi Farah Asyikin, masing-masing mempunyai pedoman tersendiri untuk mencorak karier di kanvas yang sudah ditempuhi beberapa tahun terkebelakang.
Siti Adira Suhaimi atau lebih mesra dengan panggilan pentas Adira, 20, membikin fenomena tersendiri melalui Akademi Fantasia musim kelapan bersama single pertama Ku Ada Kamu.
Ia sekali gus melayakkan pemenang tempat kedua Akademi Fantasia musim itu bertanding bersama barisan bintang ternama tanah air dalam anugerah paling berprestij, Anugerah Juara Lagu 2010. Walau tidak membuahkan hasil yang lumayan, Adira cukup berpuas hati dengan pencapaian yang diraih.
Beralih sedikit ke arah sisi sambutan raya gadis kelahiran Kundasang, Sabah itu, katanya persiapan raya tahun ini dilangsaikan awal-awal lagi sebelum menjelang bulan Ramadan.
“Ini tahun kedua saya bergelar artis, sebenarnya tiada beza sangat jika dibandingkan dengan tahun-tahun terdahulu cuma orang ramai lebih mengenali saya jika berjumpa di luar,” tutur pelantun lagu Ilusi yang menjadi runut bunyi drama bersiri Awan Dania itu.
Ditanya pula juadah pilihannya tatkala hari raya, Adira menjawab lemang dan ketupat palas menjadi idaman kalbu.
“Tiada banyak bezanya antara raya di Sabah dan Semenanjung kerana apa yang ada di sini (Kuala Lumpur), sama juga di sana,” cerita gadis berbangsa Kadazan Dusun itu lagi.
Malah, tidak takut dengan bahaya bermain mercun walau diberi pilihan antara bahan letupan tersebut ataupun bunga api, figura itu juga sebenarnya suka akan bunyi yang kuat.
“Bila main mercun, mood untuk raya itu secara automatiknya akan datang. Lagipun, jarang dapat kita rasai peluang untuk bermain mercun melainkan tibanya hari raya,” kata gadis yang memilih lagu Balik Kampung sebagai siulannya sepanjang perjalanan pulang ke Sabah baru-baru ini.
Sementara itu, bagi pemenang tempat ketiga rancangan realiti Malaysia Idol 2, Farah Asyikin Zulkifli atau mesra disapa Farah, kini dia sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya yang berjudul Kembali Lagi Di Sisimu yang mana ia merupakan lagu yang telah dirakam 11 tahun lalu.
Namun, atas permintaan peminat, lagu tersebut dirakam semula dan diolah serta diberi nafas baru yang lebih matang dan mengikut peredaran muzik kini.
“Ia perlu dinyanyikan semula oleh kerana 11 tahun yang lalu vokal saya juga berbeza. Jadi ia perlu dirakamkan semula dan kerana ada permintaan tinggi daripada peminat, kami keluarkan semula.
“Selain itu, Farah juga ada merakam lagu raya bersama Meet Uncle Hussin (MUH). Ini kali pertama Farah bekerjasama dengan MUH dan Farah suka bekerjasama dengan Taja kerana dia faham apa yang sesuai dengan Farah atau artis-artis yang bekerjasama dengan MUH,” ujarnya.
Menyambut Aidilfitri di rumah ibu bapanya yang bertempat di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur menjadi lokasi penumpuan seluruh keluarga, dia memberitahu tahun ini juga merupakan tahun yang agak sibuk bagi Farah memandangkan dia sedang giat membuat penampilan semula setelah senyap selama beberapa tahun.
Bercerita mengenai nostalgia hari raya, Farah merasakan suasana paling bermakna semasa raya ialah ketika sambutan raya pertama bersama keluarga dan sanak saudara yang berkumpul.
Ini kerana ujar Farah, bersalaman dengan ibu bapa selepas menunaikan solat Aidilfitri dirasakan momen paling istimewa kerana bukan setiap waktu perkara seperti itu berlaku.
“Saya memiliki keluarga yang besar dan apabila tiba hari raya pasti riuh-rendah. Pernah semasa saya kecil dahulu, semasa di kampung, saya dan saudara mara yang sebaya pergi berjalan pusing satu kampung untuk beraya di rumah jiran-jiran.
“Walaupun tidak kenal, kami hanya pergi beraya untuk mendapatkan duit raya. Saya rasa itu biasa dilakukan semasa waktu kecil dahulu,” ketawa Farah ketika menceritakan kenangan manisnya ketika beraya.
Ceritanya lagi, pengalaman baju berlubang semasa bermain bunga api telah menjadi kebiasaan dan itu dianggap kenangan pada hari raya.
