Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hafiz tak mahu lupa diri


SAYA melihat juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini sebagai seorang insan yang sangat bertuah dari pelbagai aspek. Pertamanya, Mohd. Hafiz Mohd. Suip atau kini mahu dikenali sebagai Hafiz Suip ini dikurniakan dengan kualiti vokal yang jarang ada pada penyanyi lelaki tempatan masa kini.

Kelunakan dan gemersik suaranya menjadikan Hafiz bukan sahaja unik malah merupakan salah seorang bintang AF yang paling berjaya sekali gus meletakkan dirinya di tangga paling atas ketika ini berbanding juara AF lain.

Hanya dengan berbekalkan sebuah album - Masih Jelas - Hafiz berjaya melangsungkan hayatnya dalam industri sejak empat tahun bergiat aktif sebagai anak seni.

Tiga daripada lima lagu dalam album tersebut iaitu Masih Jelas, Noktah Cinta dan Awan Nano telah mengukuhkan populariti Hafiz sehingga ke hari ini.

Kejayaan yang dikecapi Hafiz bukanlah sesuatu yang mudah terutama pada ketika industri muzik dilanda kesuraman.

Tidak henti melafazkan syukur atas kejayaan yang dimiliki hari ini, Hafiz menyifatkan segala-galanya adalah berkat doa kedua ibu bapa, keluarga serta peminat yang tidak henti-henti mendoakan kejayaannya.

Di sebalik itu kata Hafiz, sebagai seorang anak seni, dia cukup sedar untuk mempertahankan kedudukannya sebaris dengan penyanyi sedia ada bukan mudah.

"Selepas memasuki bidang seni, barulah saya sedar dan faham untuk berjaya memang bukan mudah. Terus terang saya katakan, perasaan bimbang dan takut pernah menyelubungi diri ini.

"Malah pernah terdetik di hati saya apakah perjalanan seni selepas menjadi juara AF7 akan berjalan lancar seperti yang saya impikan atau apakah nasib saya akan seperti bekas peserta AF yang lain.

"Bingkas bangkit, saya tolak ke tepi segala prasangka negatif itu lalu saya berusaha untuk maju ke hadapan. Alhamdulillah, rezeki masih berpihak kepada saya sehingga ke hari ini.

"Saya juga melihat diri ini sebagai seorang yang sangat bertuah. Terima kasih kepada Astro yang telah merencana kerjaya seni saya dengan baik sekali," luah Hafiz penuh luhur dalam satu pertemuan di ibu negara, baru-baru ini.

Fokus

Sepanjang hampir empat tahun memperhatikan Hafiz sebagai seorang anak seni, jelas terbukti kematangannya saat dia membutirkan kata-kata.

Barangkali dia tidak mahu lagi tersilap langkah hingga mengheretnya ke kancah kontroversi seperti yang pernah melanda dirinya sepanjang tahun lalu berikutan kisah cinta segi bersama Adira.

Enggan menoleh ke belakang, Hafiz kini mahu lebih fokus kepada kerjaya seninya dan seboleh-boleh dia tidak mahu membicarakan soal peribadi lagi.

Kata anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, cukuplah cerita-cerita yang telah dikhabarkan sehingga dia sendiri perlu meletakkan batasan.

"Memang tidak dinafikan, artis adalah figura awam. Tetapi bagi saya, ada benda yang boleh dikongsi dan selebihnya adalah eksklusif untuk diri saya (ketawa).

"Artis juga adalah insan biasa yang mempunyai perasaan seperti orang lain. Jadi apabila saya merasakan waktu yang sesuai untuk dikongsi kepada umum, akan saya lakukan," jelas Hafiz yang mengakui kini di dalam fasa mengenali seorang gadis selepas hubungan cintanya dengan Adira putus di pertengahan jalan.

Tidak menafikan bimbang cerita kontroversi akan membayangi karier seninya, anak muda berusia 22 tahun ini bagaimanapun mampu menarik nafas lega apabila kejayaannya di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-26 (AJL 26) sekurang-kurangnya telah menutup cerita panas yang berlegar di sekelilingnya sebelum ini.

Atas alasan itulah kata Hafiz, dia tidak mahu lagi membuat kesilapan yang mampu melumpuhkan perjalanan seninya di kala nama sedang elok diulit kemanisan.

Penuh terbuka menceritakan pengalamannya sebelum ini, Hafiz memberitahu dia pernah hampir menjadi seorang yang lupa diri gara-gara ralit dengan statusnya sebagai seorang penyanyi.

"Selepas menjadi juara, saya seperti terkena kejutan budaya dan merasakan diri ini berada di awang-awangan. Mungkin dalam keghairahan itu tanpa disedari saya telah melakukan kesilapan dan menyakiti hati beberapa pihak.

"Hasilnya, saya pernah jatuh sakit kerana ilmu hitam dan mengalami kemalangan yang telah menyedarkan saya untuk tidak terus leka dengan apa yang dimiliki ketika itu.

"Matlamat saya kini hanya satu. Untuk memperbaiki diri dalam menjadi seorang artis yang berjaya sekali gus bertahan lama di dalam industri," kata penerima trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu dua tahun berturut-turut menerusi lagu Awan Nano (2012) dan Noktah Cinta (2011) ini penuh bersungguh.

Bukan mudah

Namun kata Hafiz, dia cukup sedar untuk mempertahankan momentumnya selepas bergelar juara AJL 26 bukan sesuatu yang mudah.

Ia secara tidak langsung membuatkan ramai pihak meletakkan harapan yang tinggi kepadanya dan ini membuatkan Hafiz sedikit gentar.

Untuk itu, anak kepada pasangan Mohd. Suip Mohd. Suut dan Halizawati Mohd. Salleh itu kini di dalam proses merakamkan album keduanya yang sedang dalam pembikinan.

"Buat masa ini sudah empat buah lagu yang diterima daripada Kuncidemak, Ajai dan juga Datuk M. Nasir. Malah kejutan juga untuk peminat apabila album ini akan menyelitkan sebuah lagu ciptaan saya sendiri yang dihasilkan dengan bantuan sepupu saya.

"Insya-Allah, rakaman akan berlangsung tidak lama lagi dan saya berharap album ini akan mendapat tempat di hati peminat yang telah menyokong padu karier saya selama ini," ujar anak sulung daripada tiga beradik yang kini sedang popular dengan lagu Watak itu penuh optimis.

Ketika diusik Hafiz apakah kini dia memegang status sebagai anak emas M. Nasir selepas kerjasama mereka bersama Buddhi Hekayat menerusi lagu Awan Nano, pemuda yang selesa dengan imej berambut kerinting itu hanya tergelak besar.

"Saya masih baru dan perjalanan juga masih panjang untuk berada di puncak tertinggi. Banyak lagi yang perlu saya belajar. Apabila dapat bekerjasama dengan tokoh hebat seperti M. Nasir, ia adalah satu penghormatan.

"Siapa yang mahu tolak tuah apabila diberi peluang untuk bekerja dengan seorang individu yang digelar sifu muzik tanah air? Saya mahu terus menimba ilmu daripada beliau dan komposer serta tokoh muzik yang lain," kata Hafiz.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails