Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Izara dibenci kerana Soffiya


USIANYA baru menjengah angka 20 tahun tetapi populariti yang dikecapi oleh Izara Aishah cukup hebat sejak kebelakangan ini. Semuanya gara-gara drama bersiri drama Vanilla Coklat yang sedang bersiaran di kaca televisyen ketika ini.

Semanis orangnya, cukup hebat watak yang dibawa oleh Izara dalam drama yang menggandingkan dirinya dengan Aiman Hakim Ridza. Apatah lagi mereka sama-sama baru, segala-galanya cukup indah buat mereka berdua.

Menariknya nama Izara naik mendadak dek keberkesanan lakonannya. Ramai yang mula buka mata terhadap gadis manis ini yang hadir dengan bakat untuk terus bersaing dan memahat nama ke tempat tertinggi.

Bagi yang belum mengenali Izara, namanya mula popular sejak berlakon dalam drama bersiri Soffiya. Dengan membawa watak antogonis dalam drama itu, ramai yang mula mengenalinya.

Bertemu empunya diri baru-baru ini, Izara memang gadis yang mudah didekati. Segala-galanya didedahkan oleh Izara secara jujur menjadikan dia pelakon yang cukup istimewa.

“Saya sendiri tidak menyangka nama saya akan naik secepat ini. Kalau nak tahu sebelum berlakon Soffiya saya sudah berlakon hampir 10 buah drama tetapi tidak memberi impak yang besar sangat.

“Cuma watak dalam drama Soffiya itu yang membuat orang kenal. Tambah pula bila Vanilla Coklat menemui peminat, impaknya memang saya rasa sangat.

“Setiap minggu saya mendapat maklum balas yang positif mengenai lakonan saya. Ada yang kurang berminat yang terus minat dan tak kurang juga yang memberi kritikan membina untuk saya memperbaiki lakonan.

“Sudah pasti saya gembira dengan perkembangan ini. Kalau orang buat tak tahu pasal saya lagi masalah sebenarnya,” luah Izara jujur.

Diugut bunuh

SAAT langkah semakin panjang, Izara tidak pernah termimpi akan melalui detik yang mencemaskan. Dia pernah menerima ugutan bunuh daripada orang yang tak dikenali satu ketika dahulu dan menjadikan dirinya cukup trauma sehingga hari ini.

Semuanya gara-gara watak jahat lakonannya dalam Soffiya. Bagi Izara dia sendiri tidak pernah termimpi untuk berada dalam situasi yang cukup genting itu memandangkan itu hanya lakonan.

“Watak Fiona itu memang benar-benar melekat dalam ingatan saya. Tak mungkin saya lupa peristiwa diugut bunuh ketika itu gara-gara orang membenci saya.

“Masalahnya ketika itu orang ugut nak bunuh Izara Aishah, bukannya Fiona. Saya tak sangka sampai macam tu sekali orang benci pada saya sebab watak itu.

“Kalau nak tahu sepanjang drama tu bersiaran saya memang tak keluar rumah. Saya keluar rumah pun kalau ada penggambaran dan balik lepas tu. Takut orang tu buat apa-apa pada saya.

“Masa tu memang saya tak melepak kosong. Saya duduk rumah sahaja sampailah isu tu reda. Sampai sekarang saya masih terkesan dengan ugutan tu yang membuatkan saya sangat berhati-hati,” tambahnya.

Bakal membintangi filem KL Zombie bersama Zizan dan Siti Saleha, Izara sedikit memilih soal watak. Dia kini cukup selektif menerima tawaran kerana tidak mahu menimbulkan banyak masalah selepas peristiwa itu.

Pelakon yang lahir pada 28 September 1992 tidak menganggap itu akan menjadi isu besar memandangkan dia ada sebab berbuat demikian.

“Bila bawa watak jahat ni memang orang benci pada kita. Padahal kita tak macam tu pun. Tapi sekurang-kurangnya saya tahu yang lakonan saya benar-benar berkesan.

“Saya pun tak mahu di cop sebagai perempuan jahat. Masih terlalu awal untuk saya teroka pelbagai watak lain sebelum statik pada satu-satu aliran.

“Agak-agaknya bilalah saya nak dapat watak adi wira versi perempuan? Itu memang watak idaman saya sebenarnya,” kata Izara sambil ketawa.

Tak kejar populariti

MENJADI terkenal dalam usia yang masih muda cukup manis buat dirinya. Akuinya lagi sejak kecil lagi dia memang memasang impian untuk terlibat dalam dunia seni.

Mujur peluang itu datang cepat apatah lagi dalam usia yang baru mencecah dua dekad ini. Tidak mahu menoleh kebelakang lagi, tekad Izara untuk terus memacu kejayaan dalam masa terdekat ini.

Sering menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai ikon yang cukup dikagumi, Izara yakin dia mampu menjadi seperti itu andainya diberi peluang dan mampu bertahan lama dalam industri.

“Tidak mustahil untuk sesiapa sahaja berjaya macam orang lain. Apa yang penting usaha dan kerja keras.

“Ada orang masuk dalam bidang seni nak popular. Bagi saya popular itu tak akan ke mana kalau tak ada bakat.

“Sebab itu, awal-awal lagi saya tolak ke tepi soal populariti ni. Biarlah kerjaya seni saya ke hadapan. Lagi baik kalau orang suka kita sebab lakonan daripada suka sebab lain.

“Tapi semua itu berbalik pada diri seseorang artis juga. Ada orang cakap kena popular untuk dapat banyak tawaran. Soalnya adakah kita betul-betul mampu puaskan hati semua orang?” katanya lagi.

Menyentuh soal peluang, Izara menafikan yang dia melalui jalan mudah kerana dia juga perlu bersaing dengan pelakon lain yang tak kurang hebatnya.

“Ramai lagi pelakon lain yang lebih hebat daripada saya. Kadangkala saya sendiri iri hati sebab mereka lebih pandai berlakon dan mampu buat apa yang saya tak boleh.

“Sebab tu saya selalu tanya mereka apa yang perlu dibuat untuk jadi sehebat itu. Dalam menuntut ilmu ni saya tak boleh malu. Kalau malu macam mana saya nak jadi pelakon yang hebat.

“Bagi saya setiap orang ada rezeki masing-masing. Apa yang penting berusaha untuk jadi yang lebih baik,” jelasnya.

Kekasih hati

“SAYA sudah ada kekasih hati dan saya sudah berpunya,” kata Izara saat ditanya perihal cinta hatinya.

Pengakuan jujur dan ikhlas itu cukup untuk menggambarkan yang dia tidak menyorokkan apa-apa. Bagi Izara itu merupakan lumrah hidup setiap manusia yang tidak boleh lari daripada memiliki perasaan ingin dikasihi.

Bila ditanya siapakah jejaka yang berjaya mencuri hatinya itu, Izara enggan mendedahkan gerangan lelaki tersebut.

“Apa yang boleh saya katakan kami sudah lama berkawan. Sejak di tingkatan dua lagi kami sudah berkenalan dan sehingga hari ini hubungan kami masih baik.

“Paling penting dia pandai mengambil hati saya, bertanggungjawab dan sentiasa menyokong kerjaya seni saya untuk lebih maju.

“Kalau nak tanya apa akan jadi pada hubungan kami, masih terlalu awal untuk ditelah. Jangan risau saya belum lagi nak kahwin dalam masa terdekat ni,” kata Izara berjenaka.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails