Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Irma rahsiakan identiti tunang


TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja dunia hiburan dikejutkan dengan berita pelakon cantik manis, Irma Hasmie Ibrahim, 30, bakal mengikat tali pertunangan penghujung bulan ini.

Mana tidaknya, selepas penghijrahan Irma yang kini sopan bertudung, jarang sekali berita peribadinya digembar-gemburkan seperti sebelum ini.

Penghijrahan Irma dilihat bukan sekadar daripada sudut fizikal, tetapi juga mental dan dalamannya yang dilihat lebih banyak mengasingkan diri daripada gemerlap dunia hiburan.

Biarpun gagal dalam percintaan dengan pelakon dan pelawak Ahmad Nabil, ternyata kesabaran Irma rupa-rupanya ada hikmah yang tersembunyi.

Siapa duga, kuasa Allah mampu merubah segala dan atas kehendak-Nya juga, Irma dipertemukan dengan jejaka idaman hati di tanah suci Mekah, tahun lalu.

Mungkin doa Irma di hadapan Kaabah, agar Allah pertemukan dia dengan lelaki budiman dimakbulkan.

“Alhamdulillah, salah satu doa Irma dimakbulkan Allah. Irma minta maaf kerana tidak boleh bercerita lanjut tentang bakal tunang kerana kami belum rasmi mengikat tali pertunangan.

“Tunggulah harinya, nanti Irma akan cerita. Lagipun tidak manis untuk bercerita tentang majlis yang belum berlangsung.

“Setakat majlis bertunang sahaja, cukuplah Irma kata majlis itu akan diadakan hujung bulan ini,” kata Irma yang enggan bercerita lanjut tentang calon tunangannya itu.

Biarpun Irma tidak mahu menyatakan tarikh sebenar, namun Hits difahamkan yang majlis itu akan diadakan pada 24 Mac ini.

Majlis pertunangan akan berlangsung secara sederhana di rumah keluarga Irma sendiri di Sungai Buloh, Selangor.

Jika tiada apa-apa perubahan, majlis tersebut bakal diadakan selepas solat Asar dan semua itu bergantung kepada keputusan keluarga kedua-dua belah pihak disaat-saat akhir.

Pengacara rancangan bual bicara, Assalamualaikum di TV AlHijrah itu juga telah menempah baju untuk majlis pertunangannya.

Keengganan Irma untuk telus bercerita tentang kisah peribadi mungkin disebabkan pengalaman lalu dan sebab itulah dia lebih senang mengambil sikap berdiam.

“Irma harap orang akan faham kenapa tidak mengembar-gemburkan cerita bertunang ini.

“Apa yang penting ialah majlisnya berlangsung dengan selamat dan direstui keluarga, itu doa kami,” katanya.

Meskipun bakal bertunang dan seterusnya mendirikan rumah tangga, Irma yang pernah muncul dalam filem Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva dan Dua Hati Satu Jiwa, tidak mungkin meninggalkan bidang seni.

“Setakat ini, Irma tetap dengan kerjaya sedia ada. Masa depan tidak tahu lagi. Kalau berlakon pun, Irma akan ambil watak yang sesuai dengan penampilan.

“Bidang seni ini luas dan Irma percaya rezeki ada di mana-mana. Irma sendiri tidak menduga, bila bertudung terus dapat tawaran jadi pengacara program Assalamualaikum,” katanya yang pernah berlakon drama Lima, Awan Dania, Bella, Rahsia Gambar, Hantu Raya, Segalanya Ku Terima dan Cinta 5 Bintang.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails