Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Radhi OAG kini bebas


Menurut Radhi, dibelenggu masalah penagihan dadah sejak 15 tahun lalu banyak memberi impak kepada perjalanan hidupnya. Bukan tidak pernah mahu berhenti tetapi menurut Radhi ketika mengambil keputusan nekad meninggalkan najis ini, dirinya pula terlalu lemah.

Takut akan kesan yang lebih teruk menimpa diri, akhirnya pada tahun lepas Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 34 membuat keputusan untuk berada di Pengasih, bagi mendapatkan bantuan menjalani rawatan pemulihan dadah.

Ternyata untuk bebas dari dadah bukanlah sesuatu yang mudah. Ini kerana bagi Radhi pemulihan ini bakal berlangsung sepanjang hayatnya.

Bagaimanapun dalam pertemuan terbaru dengan Hits, dia mengakui berada dalam fasa 'sebenar-benarnya' bebas dari belenggu dadah.

Membawa gelaran seorang penyanyi, dia sedar kesilapan tidak pernah mengenal sesiapa oleh itu di dalam membantu dirinya, dia bukan sahaja nekad untuk menjalani rawatan ketagihan di Pengasih tetapi juga menjalani kehidupan biasa yang diberikan Pengasih kepada mereka yang memerlukan bantuan.

"Saya tidak pernah diberikan apa-apa keistimewaan ketika berada di sini, walaupun saya merupakan seorang penyanyi.

"Bagaimanapun dapat berkenalan dengan mereka yang menghadapi masalah yang sama banyak memberi saya semangat untuk meneruskan rawatan ini, walaupun pada mulanya agak sukar untuk menyesuaikan diri," katanya ketika di temui di Pengasih, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tempoh tiga bulan berada di sana merupakan antara tempoh waktu yang amat memeritkan untuk Radhi, mahu tidak mahu dia terpaksa meneruskan rawatan bagi melenyapkan masalah ketagihan itu.

"Banyak benda yang saya belajar di sini, dari menikmati apa yang saya pernah hilang sehinggalah membantu diri saya untuk keluar dari lubang hitam yang pernah menjadi sebahagian dari hidup saya.

"Malah jika dahulu kegagalan sering mengiringi azam saya, namun kali ini saya berjaya mengatasi masalah putus asa tersebut," katanya bangga.

Merupakan vokalis kumpulan Old Automatic Garbage (OAG), Radhi memberitahu walaupun kini dia bebas untuk keluar masuk dari Pengasih namun hatinya lebih memilih untuk berada di sini selalu. Malah menurut Radhi dia kini akan berada di Pengasih pada setiap malam untuk mengadakan sesi latihan muzik bersama ahli kumpulan OAG yang baru.

"Saya lebih senang untuk berada di sini, malah dengan bantuan yang diberikan Pengasih saya juga bebas untuk berkarya semula.

"Selain itu juga tempoh setahun berada di sini saya banyak belajar untuk merancang semula kehidupan yang pernah diabaikan. Walaupun kini terpaksa bermula dari bawah namun saya gembira kerana lebih jelas dengan arah kehidupan yang baru hendak bermula ini," katanya yakin.

Menurut Radhi, tempoh setahun masih lagi terlalu singkat untuk dirinya untuk benar-benar berani melangkah bebas sendiri diluar sana. Memandangkan Pengasih sentiasa membuka pintu, menurut Radhi setiap kali dia memerlukan bantuan serta pandangan Pengasih merupakan tempat pertama yang akan dituju.

"Kekuatan saya datang dari anak serta keluarga, malah dengan bantuan yang diberikan pihak kakitangan Pengasih sendiri memberi ruang untuk saya kembali seperti dahulu.

"Dengan kelengkapan studio jamming ini juga membolehkan saya meneruskan karier sebagai penyanyi semula," katanya berharap.

Berkongsi pengalamannya ketika menjalani pemulihan di sini menurut Radhi terlalu banyak perkara baru yang berjaya membentuk dirinya kini, dari mendekatkan diri dengan agama dia juga lebih berdisiplin kini.

"Selama setahun di sini saya banyak di beri tugasan yang tidak pernah di lakukan, antaranya memasak dan menyapu sampah.

"Secara jujurnya hati saya lebih tenang kini, malah dengan kehadiran rakan-rakan serta kakitangan di sini yang sudah saya anggap seperti keluarga menjadikan saya lebih bersemangat untuk memulakan sesuatu yang baru untuk masa depan," katanya.

Bukan mudah untuk mengatasi masalah dadah yang dihadapi penyanyi ini, malah menurut Radhi adakalanya dia juga berasa keliru. Bagaimanapun kekuatan sentiasa bersamanya setiap kali berada di Pengasih.

"Saya kini masih lagi belajar untuk menguatkan diri dari terpedaya dengan anasir luar yang tidak baik untuk diri saya.

"Saya percaya perjalanan itu masih jauh, jadi biarlah ia berjalan secara berperingkat-ringkat buat masa ini," katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai kumpulan OAG yang baru menurut Radhi ada kelainan yang akan diberikan kumpulan barunya ini kepada peminat muzik alternatif.

"Kesemua ahli kumpulan OAG yang baru ini merupakan pengikut muzik OAG sejak dari dahulu lagi.

"Melihat kesungguhan mereka untuk membantu saya menghidupkan kembali OAG, memberi peluang kepada saya untuk menubuhkan kumpulan OAG dengan nafas baru," katanya gembira.

Memberi sedikit nasihat kepada remaja di luar sana menurut Radhi, dia percaya remaja kini lebih bijak untuk memilih apa yang terbaik untuk masa depan mereka.

"Dadah tidak pernah memberi kesenangan, malah ia hanya akan terus memberi tekanan kepada kepada kita.

"Saya percaya remaja kini lebih bijak untuk memilih apa yang terbaik untuk diri mereka, dan dadah bukanlah penyelesaian masalah," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails