Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Jaafar Onn tolak anugerah ‘Datuk’


LAMA tak dengar perkhabaran selebriti serba boleh, Jaafar Onn. Satu ketika dulu, dia pernah membawakan watak Cikgu Jaafar dalam drama komedi bersiri berjudul Cili Padi di era 90-an. Drama itu cukup popular!

Tapi itu cerita dulu. Persoalannya sekarang ke mana menghilangnya Jaafar?

Haa...memang benar di kaca televisyen dia jarang kelihatan. Namun wajahnya banyak terpampang di dada akhbar, majalah dan sebagainya.

Kalau dilihat, kebanyakannya menampilkan dia sebagai seorang duta produk. Pendek kata semuanya ‘disapu’ bersih oleh Jaafar.

Antaranya duta produk beras Jasmine, minyak masak Mazola, minuman herba Wong Lo Kat, Cosmic Nature, Homecare termasuklah produk kecantikan Zmasha.

Mendekati selebriti yang digelar Raja Segala Produk ini, kata Jaafar, dia tidak kisah dengan apa juga gelaran yang diberikan.

Baginya, apa yang dilakukan selama ini adalah kerana minat dan bukannya mencari pendapatan semata-mata.

“Memang orang tengok, saya ni jadi duta untuk bermacam-macam produk. Ada juga yang tanya, saya pakai ke semua produk tu? Iyalah kalau tak pakai macam mana nak promosi pada orang betul tak? Nanti orang tak yakin.

“Jujurnya, saya memang pakai semua produk itu sebab nak rasa kesannya sendiri. Kemudian barulah saya cerita pada pengguna dan mereka juga tak rasa tertipu sebab saya sendiri guna.

“Saya buat ikhlas. Bukan ambil semua tawaran sebab tamak. Saya ambil sebab orang beri kepercayaan kepada saya,” katanya.

Bercerita lanjut, kata Jaafar, dia juga sedar kebanyakan artis suka mengambil tawaran menjadi duta produk dan menjadikannya sebagai satu trend.

Pun begitu, dia lebih suka menasihatkan kebanyakan mereka untuk tidak menerima tawaran menjadi duta produk semata-mata untuk mencari publisiti.

“Tawaran datang dan kita anggap itu satu rezeki. Tapi jangan kerana nak kejar publisiti maka ada artis yang ambil tawaran secara rambang.

“Kena ingat, sebagai artis, kita bawa nama produk itu. Maka sama-samalah kita jaga imej. Bila kita pandai bawa diri, kelak akan datang lebih banyak tawaran tanpa kita jangka,” ujarnya.

Gelaran Datuk

Mendengar cerita satu persatu yang keluar daripada mulut Jaafar, ternyata banyak jasanya kepada masyarakat.

Lantas terdetik di hati, adakah kerana ini maka dirinya pernah ditawarkan dengan gelaran Datuk yang mana gosip mengenainya bertebaran sekitar pertengahan tahun lepas?

Membalas jawapan, anak kelahiran Johor Bharu ini mengaku gosip itu adalah benar.

“Benar saya pernah ditawarkan gelaran Datuk. Daripada negeri mana, biarlah ia menjadi rahsia dan saya tak suka nak ceritakannya pada umum.

“Pun begitu, saya mengaku terpaksa menolak pelawaan itu kerana saya belum bersedia.

“Dapat atau tidak itu bukanlah sesuatu yang nak saya banggakan sebab rasanya saya masih belum layak menerima anugerah sebegitu besar.

“Kadang-kadang, bila ada gelaran begitu, orang akan bimbang dengan protokol. Walhal saya lebih senang hidup begini.

“Biarlah tak ada pangkat Datuk atau apa sekali pun, yang penting hubungan antara saya dan teman-teman dan semua orang tetap sama dan mesra seperti biasa, ” katanya.

Si kecil Izat Iman

Biarlah ada yang hendak kata Jaafar sudah berusia sekali pun, namun kalau dah jiwanya memang penyayang, jangan dihalang kehendaknya untuk mempunyai anak lagi.

Selepas membesarkan Rizal Zulkarnain yang kini sudah mencecah usia 23 tahun, Jaafar sekali lagi membuat keputusan untuk mengambil anak angkat.

Kini, hari-harinya dipenuhi dengan rasa bahagia apabila si kecil Izat Iman menjadi peneman hidupnya.

Berusia sebulan lebih, kata Jaafar, anak kecil itu istimewa kerana dialah yang menjadi punca pintu hatinya terbuka untuk mempunyai anak angkat lagi.

“Izat Iman saya ambil daripada sebuah keluarga susah di sebuah Felda di Johor. Pertama kali melihat dia, hati saya tersentuh dan sayu lantas terus buat keputusan untuk menjaganya.

“Memang kadang-kadang saya sibuk, tapi saya akan pastikan segala keperluannya terjaga dan akan bergilir-gilir menjaganya bersama adik,” katanya.

Bercerita mengenai perancangannya untuk Izat Iman, kata Jaafar, dia lebih suka membesarkan anak itu dengan didikan agama yang cukup.

“Sejak dia dilahirkan, saya tak pernah lupa untuk sentiasa memperdengarkan dia dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

“Saya mahu dia jadi seorang insan yang kuat agama. Kalau dia sudah besar, terpulang pada dia untuk menjadi seorang tahfiz atau bagaimana.

“Namun, apa pun jalan yang dia pilih kelak, biarlah pegangan agama akan menjadi nombor satu dalam hatinya,” katanya penuh harapan.

Kongsi Jaafar lagi, demi berkongsi kegembiraan kerana memiliki Izat Iman, kini dia bernazar untuk mengadakan amal pada setiap malam Jumaat.

“Saya akan masak bermacam-macam jenis lauk untuk dijamu pada mana-mana tetamu yang datang di Kitchen Studio, Cheras pada malam Jumaat.

“Itu memang niat saya. Memberi orang makan adalah satu amalan yang mulia. Sesiapa pun yang nak datang, silakan.

“Inilah salah satu cara saya untuk melahirkan rasa gembira dan tak salah kalau rezeki yang saya perolehi, saya kongsi dan bersedekah pada orang,” ujarnya menutup kata.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails