Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Soal kahwin bukan gimik - Ella


BERITA tentang perkahwinan dan Ella memang cukup sinonim apabila setiap kali bertemu dengannya, soal jodoh tidak pernah terlepas daripada ditanya kepada empunya diri.

Dalam usia yang sudah mencecah 46 tahun, memang sudah sampai waktunya untuk Ella mendirikan rumah tangga sekali gus membina keluarga sendiri.

Bukan hanya keluarga tetapi jutaan peminat Ella juga tidak sabar untuk melihat penyanyi kesayangan mereka bergelar isteri.

Lalu untuk sekian kalinya, penyanyi pujaan ramai ini mencuri perhatian peminat hiburan tempatan apabila dikhabarkan akan menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.

Semuanya gara-gara berita yang menyatakan Ratu Rock Negara itu telah menghadiri kursus perkahwinan bersama bakal suaminya yang hanya dikenali sebagai A sekitar dua minggu lalu.

Bukan itu sahaja, difahamkan Ella dan buah hatinya yang merupakan seorang juruterbang penerbangan tempatan itu juga bakal mendirikan rumah tangga sebelum Aidilfitri tahun ini.

Jejaka bernama A itu bukanlah orang baru dalam hidup Ella sebaliknya merupakan kenalan lama penyanyi itu yang dikenali sejak lima tahun lalu. Cuma hubungan mereka dikatakan kembali rapat sejak Disember lalu.

Apabila bertemu dengannya sewaktu sidang akhbar Mentor 6 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Ella menjadi tumpuan pihak media yang mahu mendapatkan penjelasan daripadanya.

Tenang mendengar setiap soalan yang diajukan, dengan penuh berhemah Ella mengatur jawapannya satu persatu.

"Dengan penuh rasa rendah diri, saya memohon maaf kerana saya enggan berbicara tentang soal perkahwinan yang heboh diperkatakan sekarang ini.

"Saya mengaku bahawa memang sudah menghadiri kursus perkahwinan seperti yang diperkatakan. Tetapi ia tidak bermakna saya akan berkahwin serta-merta.

"Sebagai orang Islam, sudah menjadi kewajipan untuk menghadiri kursus perkahwinan sebagai langkah persediaan. Orang luar boleh membuat pelbagai andaian tetapi hanya Allah SWT sahaja yang menentukan bilakah masanya akan tiba.

"Apa yang pasti, segala apa yang dikeluarkan di media atau alam maya, ia bukan keluar dari mulut saya," kata Ella penuh diplomasi.

Seperkara yang membuatkan Ella enggan lagi berbicara tentang perkahwinan apabila ada segelintir pihak yang merasakan ia hanyalah sekadar gimik semata-mata.

Perkara itu dikuatkan lagi apabila setiap kali Ella bakal muncul dengan sesuatu projek, ketika itu jugalah timbul cerita tentang Ella dan perkahwinan.

Walaupun hatinya sedikit terguris dengan kata-kata pedas itu, tetapi tidak pernah terlintas di fikiran Ella menjadikan isu perkahwinan sebagai bahan berita untuk terus mengekalkan momentum popularitinya.

"Biar waktu yang menentukan. Saya tidak mahu menghebahkan perkara yang belum pasti. Nanti kalau asyik bercerita tentang itu, orang akan menganggap saya cuba mencari publisiti pula.

"Saya percaya Allah sudah menetapkan jodoh terbaik untuk setiap hamba-Nya. Apabila waktunya tiba, saya akan umumkan berita baik itu," kata penyanyi jelita ini sambil menguntum senyuman manis.

Bina empayar perniagaan

Menutup cerita itu, bicara kami pada lewat petang tersebut beralih pula kepada cerita tentang perkembangan terkininya.

Dalam nada penuh ceria, penyanyi yang memiliki karakter manja itu memberitahu dia bakal memulakan perniagaan tidak lama lagi.

Memilih untuk menjadikan kasut, seluar jeans dan hijab sebagai tunjang perniagaannya, Ella mengakui sudah lama memendam impian untuk bergelar ahli perniagaan secara serius.

Sambil menunjukkan sepatu bercorak harimau bintang yang dipakainya pada petang itu yang merupakan rekaannya sendiri, jelas Ella, buat masa ini kasut berjenama Ella itu hanya akan dihasilkan untuk kaum Hawa sahaja.

Namun untuk koleksi seluar jeans, ia yang juga menggunakan nama komersilnya adalah untuk lelaki dan wanita.

"Tetapi untuk tudung, kami memberi penghormatan kepada ibu, Yang Asmah Long lalu menamakan koleksi hijab itu sebagai Yang Collections by Ella.

"Saya begitu teruja dengan perniagaan yang saya usahakan bersama dua orang kakak saya, Jojie dan Saidatulnisa. Saya hanya bertindak sebagai pereka manakala mereka berdua menguruskan soal pengurusan perniagaan.

"Insya-Allah, tidak lama lagi mereka akan ke China dan New York, Amerika Syarikat untuk mencari material terbaik bagi menghasilkan kasut dan jeans. Buat masa ini, kami dalam peringkat akhir untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum membuka butik kami.

"Setakat ini, kami sudah mendapat beberapa tempat di Klang dan Shah Alam. Kini Jojie sedang mencari butik utama di Kuala Lumpur. Jika tiada aral melintang, kemungkinan besar, ia akan dibuka dan dirasmikan pada bulan Mei ini," cerita pemilik nama penuh Norzila Aminuddin itu bersungguh.

Tidak hanya menumpukan kepada perniagaan di butiknya, kata Ella, ia juga akan dijual secara dalam talian.

Teruja dengan album baru

Tidak hanya teruja dengan perniagaannya, penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Sembilu dan Permata Biru itu juga galak bercerita tentang pembikinan album studionya yang ke-11.

Single pertama dari album terbarunya itu, Menyanyilah La La La ciptaan Taja (Meet Uncle Hussein) mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat setianya.

Kata Ella, album yang akan memuatkan lapan buah lagu itu sudah siap lebih daripada 50 peratus dan sudah dua buah lagu selesai menjalani rakaman sepenuhnya.

"Selain Taja, album itu juga bakal mendapatkan khidmat kumpulan SevenCollar T-Shirt dan Amir. Namun apa yang lebih membuatkan saya lebih teruja apabila Datuk M. Nasir memberi beberapa buah lagu untuk saya pilih.

"Harap peminat akan terus bersabar untuk menantikan kemunculan album baru saya yang dijangka akan berada di pasaran sebelum Aidilfitri ini.

"Selain proses rakaman yang akan memakan masa sekitar lima bulan, buat masa ini saya juga dalam proses pemindahan syarikat rakaman ke Universal Music selepas mereka membeli hak cipta karya-karya EMI," kata Ella yang juga cukup dikenali dengan lagu Standing In The Eyes Of The World itu lagi.

Sepanjang hampir tiga dekad, Ella telah melahirkan 10 album studio tidak termasuk album kompilasi iaitu Pengemis Cinta (1989), Puteri Kota (1990), Identiti (1990), 30110 (1992), Ella USA (1994) dan Demi (1996).

Selebihnya termasuklah El yang dikeluarkan pada tahun 1998, Ilham Bicara (2001), Simbiosis (2003) dan terakhir, Rama-Rama (2007) bersama syarikat rakaman, EMI.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails