Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Ayish bersukan takut gemuk
Merupakan protege kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, menurut bakat baru yang mahu dipanggil Ayish, dia kini banyak melakukan aktiviti bersukan seperti bermain bola sepak.
Artis naungan Wake The Baby Records Sdn. Bhd. percaya dengan gelaran penyanyi yang dibawanya kini, penampilan merupakan ciri utama yang perlu diberi perhatian.
"Saya mempunyai badan yang agak besar ketika bersekolah. Namun apabila meningkat dewasa, saya mula menggandakan aktiviti bersukan untuk mendapatkan badan yang lebih cantik dan sihat.
"Bukanlah semata-mata untuk menjadi penyanyi saya berusaha mendapatkan bentuk badan ini, tetapi secara jujurnya saya sendiri tidak selesa dengan badan yang besar," katanya ketika ditemui selepas menjalani latihan bola sepak bersama rakan-rakannya di Subang, Selangor, baru-baru ini.
Selain memilih sukan bola sepak, Ayish juga kerap ke pusat senaman berdekatan. Menurutnya, selain menyifatkan ia sebagai usaha untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat, aktiviti sebegini juga mampu memberi peluang buat dirinya untuk memenuhi masa terluang bersama rakan-rakan.
"Buat masa ini, jadual sebagai penyanyi belum lagi sibuk. Ini memberi peluang kepada saya meluangkan masa untuk bersukan.
"Saya memilih bermain bola sepak kerana sukan ini membolehkan saya bermain bersama rakan-rakan dalam jumlah yang besar, secara tidak langsung ia lebih menyeronokkan," katanya tersenyum.
Menolak untuk meneruskan sukan ini sebagai karier utama, menurut Ayish buat masa ini dia mahu menumpukan perhatian di dalam bidang nyanyian. Malah menurut Ayish, dia percaya perjalanan di dalam bidang yang diminati ini masih jauh.
"Saya tidak pernah terfikir untuk muncul sebagai pemain bola sepak secara profesional. Mungkin sejak kecil lagi saya hanya menggunakan platform sukan ini sebagai aktiviti bersama rakan-rakan sahaja.
"Buat masa ini, saya sudah ada laluan yang jelas, dan apa yang perlu saya lakukan adalah bekerja lebih keras di dalam memperkenalkan bakat," katanya yang kini muncul dengan single pertama berjudul Jangan Sesali.
Membuka cerita mengenai hubungan dengan mentornya Noh Hujan, menurut Ayish buat masa ini dia lebih banyak bersama komposer Ajai. Bagaimanapun tidak ada masalah buatnya untuk terus meminta pandangan daripada mentornya itu.
"Hubungan saya dengan Noh masih lagi baik, malah saya tidak melupakan segala ilmu yang telah diberikannya kepada saya.
"Bagaimanapun, buat masa ini saya lebih dekat dengan Ajai yang merupakan penerbit single pertama saya. Rasanya tidak ada masalah untuk saya belajar dengan mereka berdua,"ujarnya.
Berkongsi genre kegemarannya menurut Ayish dia sebenarnya meminati muzik Jazz yang disifatkannya mempunyai kelas tersendiri. Namun buat masa ini, dia lebih senang menerima apa sahaja yang difikirkan Ajai terbaik buat dirinya kerana pasti pengalaman komposer itu lebih berbaloi untuk diikutinya.
"Saya meminati muzik jazz. Namun, saya tidak pasti sama ada saya mampu membawakan muzik tersebut.
"Buat masa ini, saya banyak dibantu oleh Ajai, dan saya rasa lebih selamat untuk mengikuti nasihat daripada orang yang berpengalaman," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]