Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Nora sudah tenang
TATKALA bekas suaminya Rizal Ashram Ramli mengucapkan lafaz nikah untuk Fasha Sandha, pelakon Nora Danish pula membawa diri ke tanah suci Mekah.
Pemergian Nora, 30, ke sana, pagi Jumaat lalu, bukanlah kerana kecewa tidak diundang ke majlis tersebut, tetapi meneruskan agenda peribadi yang sudah sekian lama dirancang.
Kata Nora, untuk apa dia berasa sedih atas semua kejadian yang berlaku terhadap dirinya kerana semua itu ada hikmah.
Ibu kepada Putra Rayqal Ramli itu berkata, dia kini lebih tenang dan tidak mahu lagi memikirkan kisah silam, termasuklah soal kegagalan rumah tangga dengan Jejai.
“Nora perlu bersikap positif kerana sampai bila nak bersedih? Lagipun Allah sudah atur begitu, sebagai umat kita terimalah. Nora perlu terima kenyataan, apa yang berlaku adalah atas kehendak-Nya.
“Apa pun Nora tumpang gembira kerana akhirnya impian mereka tercapai. Lagipun hubungan Nora dengan bekas suami tetap baik demi anak, itu yang penting " katanya ketika ditemui di Ipoh, Perak sewaktu prapelancaran filem Mencari Cinta, baru-baru ini.
Apa yang penting, kata Nora, pada ketika ini, dia ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya dan anak.
Pelakon jelita itu tidak mahu terburu-buru mencari pengganti kerana dia lebih senang membiarkan takdir menentukan segala-galanya.
Kata Nora, dia reda dengan siapa sahaja yang bakal menjadi suaminya, asalkan lelaki itu bertanggungjawab.
“Malas nak fikir soal jodoh, biar ia datang sendiri. Kita tidak tahu, mungkin jodoh itu berada di depan mata, cuma kita sahaja tidak sedar.
“Untuk kahwin dalam tahun ini tidak mungkinlah, sebab Nora sibuk dengan penggambaran. Alhamdulillah, rezeki Nora tidak berhenti. Ada sahaja tawaran," katanya tersenyum.
Sudah berubah?
Selama ini Nora Danish cukup terkenal dengan watak manja sepertimana lakonannya dalam drama Puteri. Ekoran daripada itu, setiap kali berlakon pasti peranan yang serupa diberikan kepada Nora.
Bagaimanapun orang mula membuka mata apabila melihat lakonannya dalam drama Tentang Dhia, di mana Nora diberi peranan sebagai isteri kepada Zikir lakonan Adi Putra.
Sambutan hangat yang diberi terhadap drama itu membuatkan mereka digandingkan pula dalam filem Aku Terima Nikahnya.
Kini, Nora bergandingan pula dengan Rusdi Ramli, Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 dalam filem Mencari Cinta.
Filem bergenre romantik, arahan Shirin itu memulakan penggambaran pada 26 Mac hingga 8 April lalu di Kuala Lumpur dan Janda Baik, Pahang dengan kos sekitar RM1.5 juta.
Kata Nora, Mencari Cinta memberi kesempatan padanya untuk melakonkan watak yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Nora suka dengan jalan cerita filem ini, percintaan selepas perkahwinan. Ingatkan senang berlakon filem romantik, rupa-rupanya susah.
“Untuk melakonkan adegan romantik, kita memerlukan kedua-dua pihak barulah timbul suasana itu. Masalah bila berlakon dengan suami orang ni, kita perlu jaga batasan," katanya terus terang.
Menurutnya, sebelum melakonkan adegan di atas katil, dia akan berbincang dengan Rusdi. Setelah kata sepakat dicapai barulah mereka bersedia untuk berlakon.
“Nora memang berdebar bila nak buat adegan manja-manja dengan Rusdi. Sebelum buat adegan itu, Nora perlu fikir soal keluarganya. Takutlah, nanti dia kena marah dengan isteri pula.
“Untuk melakonkan adegan mesra itu pula, Nora perlu bayangkan yang berada di atas katil itu adalah Myra bukan Nora Danish. Nora sudah bersedia menerima komen daripada orang ramai. Apa pun itu semua adalah lakonan semata-mata," katanya.
Dalam pada itu, Nora berkata, salah satu adegan mencabar yang perlu dilalui ketika penggambaran adalah babak kebakaran di dalam bangsal.
Katanya, ketika bangsal terbakar, dia berada di dalam dan menunggu Rusdi untuk datang menyelamat.
“Waktu itu Nora fikir macam mana nak lari keluar sebab kita tidak boleh jangka api. Adegan itu pula kena buat dua tiga kali," katanya.
Nora yang sudah bosan melakonkan watak manja itu berharap di masa akan datang, dia berpeluang melakonkan watak lebih mencabar di samping aktor hebat seperti Eman Manan atau Faizal Hussin.
Katanya, kelebihan berlakon dengan pelakon ternama seperti Rusdi dan Adi Putra, dia sering mendapat tunjuk ajar daripada mereka.
“Ada bezanya berlakon dengan orang senior, banyak ilmu kita boleh dapat," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]