Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..
Shila & Sharnaaz enggan ikut desakan orang
SEPULUH bulan menjalin hubungan cinta, nampaknya ada segelintir pihak tidak suka melihat gelagat Shila Amzah, 22, dan Sharnaaz Ahmad, 27, sebagai pasangan kekasih.
Kedua-dua mereka teruk dihentam dari pelbagai sudut lantaran ada yang mendakwa terlalu sakit mata menyaksikan aksi romantis mereka.
Romantis mereka dikatakan bagai tidak kena tempat apabila tanpa segan silu menunjukkan kemesraan di depan ibu dan bapa mereka.
Jadi kerana itulah, ramai yang melahirkan rasa kurang senang dengan dua merpati sejoli ini yang dianggap kurang sensitif dengan isu ini.
Bak kata orang, `orang lain pun bercinta juga, tapi tidaklah sebegitu rupa.’
Isu kemaruk cinta juga turut mengheret kedua-dua figura seni ini ke dalam masalah kerjaya.
Ada yang mendakwa kononnya, apabila kedua-dua mereka mendedahkan cerita cinta mereka di mata umum, kerjaya seni mereka dikatakan semakin `sejuk’.
Paling ketara adalah Sharnaaz. Ia dapat dilihat menerusi penglibatannya dalam drama bersiri Bicara Hati di mana, ada sesetengah pihak menyifatkan populariti Sharnaaz semakin menurun.
Bukan itu sahaja, malah ada yang mendakwa mutu lakonannya semakin susut dan dia tidak lagi fokus. Itu andaian yang dibuat terhadap anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini.
Tampil menjelaskan keadaan, Sharnaaz tegas menolak dakwaan tersebut.
“Hal ini tidak ada kena-mengena dengan isu saya sedang hangat bercinta. Saya akui, drama Bicara Hati memang lambat momentumnya untuk menarik penonton.
“Apa yang saya boleh katakan, itu bukan salah saya atau pelakon lain. Bukan soal peribadi. Bicara Hati diadaptasi daripada novel.
“Jadi apabila ia divisualkan, benda dah jadi tak sama. Versi novel, ia memang mampu menarik perhatian pembaca. Namun untuk drama mungkin kurang.
“Benda ni dah pernah terjadi pada beberapa naskah yang dihasilkan menggunakan idea yang sama. Ada yang menjadi dan tidak. Di akhirnya, ia berbalik kepada pilihan penonton. Jadi jangan salahkan pelakon sehingga mengaitkan sebab-sebab peribadi pula," katanya.
Selain itu, dedah Sharnaaz, dia juga tidak menolak bahawa drama itu juga kurang mendapat sambutan lantaran waktu tayangannya tidak tepat.
“Ia ditayangkan pada waktu orang memang tak berapa nak menonton televisyen. Itu saya serahkan pada pihak pemasaran stesen TV. Mungkin itu strategi pemasaran mereka.
“Namun, saya juga tak tolak, mungkin mereka juga sudah tahu bahawa drama tersebut memang tidak mampu menjadi hits," katanya.
Mengenai prestasi lakonan, kata Sharnaaz, dia masih belajar untuk menjadi penggiat seni yang bermutu.
Hal yang sama turut ditanyakan kepada Shila yang mana, selepas mengembar-gemburkan kisah cintanya dengan Sharnaaz, ada dakwaan kononnya kerjayanya juga seakan sudah terkebelakang berbanding sebelum ini.
Ia bagaimanapun dinafikan oleh Shila yang kemudiannya menyifatkan bahawa isu ini tidak relevan.
“Saya masih menerima undangan nyanyian dan sebagainya. Setakat ini Alhamdulillah, rezeki saya ada dalam bidang ini.
“Sibuk bercinta tak bermakna saya telah hilang fokus terhadap kerjaya. Lagipun apa yang orang lihat dan dengar tak sama dengan apa yang saya lalui. Baik saya mahupun Sharnaaz, kami berdua masih tahu batasannya.
“Sebagai artis memang tak dapat lari daripada gosip dan peminat juga nak tahu hal peribadi artis itu.
“Gosip ada pro dan kontranya. Ya, saya bercinta dan kami sama-sama mengaku tentang hal ini. Sekurang-kurangnya kami tak hidup dalam dunia plastik, " katanya.
Mengenai tanggapan negatif orang terhadap hubungan cinta mereka, kata Shila, dia merasa hairan mengapa ada pihak yang kurang senang dengan cinta mereka itu.
“Saya nak tanya jugalah, kalaulah betul saya keluar berdua pun, adakah ia menjadi satu kesalahan? Saya dan Sharnaaz pun macam pasangan lain juga.
“Adakah kerana kami ni artis maka orang boleh mengata dan memburukkan kami? Walhal, ada sesetengah gosip yang dikeluarkan tentang kami, banyak yang telah ditokok tambah. Kami tak buat pun orang kata kami buat.
“Bayangkanlah, sampai ada yang tergamak mendakwa kami ni bersekedudukan. Saya tinggal bersama keluarga, jadi bila masa saya duduk dengan Sharnaaz? Berpada-padalah bila nak mengata kami pun, " pintanya.
Tunang dan kahwin
Lanjut bercerita mengenai pengakhiran hubungan yang nampaknya direstui penuh oleh kedua-dua belah keluarga, Shila dan Sharnaaz terus diasak dengan pertanyaan bila akan melangkah ke fasa bertunang.
Mengaku acap kali menerima tekanan begitu, jawab Sharnaaz, kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meminang anak sulung penyanyi N.D. Lala itu segera.
Pun begitu, kata Sharnaaz, dia tidak mahu terburu-buru dalam soal ini selain perlu menghormati permintaan keluarga Shila.
“Ramai yang asyik bertanya hal yang serupa. Acap kali juga kami didesak tentang pertunangan dan perkahwinan. Tapi bagi saya itu semua urusan Dia.
“Saya tak mahu bertunang dan berkahwin kerana didesak orang. Hal nikah kahwin ni perlu ada perancangan yang teliti.
“Ibarat nak pergi berperang. Sebelum berperang, kita perlulah sediakan kelengkapan dulu. Tak boleh main hentam saja.
“Begitu juga hal kahwin. Perancangan dah ada. Cuma masa belum tiba lagi. Kami berdua perlu stabilkan kerjaya dulu baru fikir tentang bertunang dan kahwin, " katanya.
Dalam pada itu, Shila yang positif menerima kritikan mengenai cinta mereka, bagaimanapun meminta supaya isu ini tidak lagi dipanjangkan oleh mana-mana pihak.
Baginya, permohonan maaf telah pun dibuat secara terbuka terhadap mana-mana pihak yang kurang senang dengan kelakuan mereka dan ia sepatutnya tidak lagi menjadi buah mulut
“Saya harap ini adalah yang terakhir. Selepas ini kita berbicara pula soal kerjaya. Namun itu tak bermakna kami ni jenis yang tak boleh terima teguran.
“Mana yang baik kami ambil. Lagipun, ibu bapa kami sudah banyak kali menegur dan beri nasihat. Kami sebaik mungkin akan cuba mengikut nasihat mereka demi kebaikan bersama, " katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]