Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kerinduan Fyza

KELIBATNYA jelas dan berjaya mencuri perhatian. Meskipun masih ramai yang berbisik bertanyakan siapa gerangan gadis tinggi lampai yang punya senyuman manis itu, namun Fyza Kader atau nama sebenarnya Norhafezzah A Kadir sudah mampu meletakkan wajah dan dirinya di tempat tersendiri. Walaupun nama dan wajah masih dalam kesamaran, potensi untuknya terus bergerak ke depan sudah mula terpancar.
Bertemu dengannya Khamis lalu, ia satu pertemuan kedua yang memberikan pengalaman berbeza. Jika dulu bibirnya terkunci rapat dan gerak tubuhnya tampak janggal untuk berdepan media, sukar didekati dan sesekali terpacul ekspresi tidak selesa, namun melewati setahun tidak bertemu, Fyza sudah banyak berubah. Bicaranya lancar dan ada saja topik yang ingin disembangkan walaupun ketika itu panas terik menahan lapar berpuasa. Apa saja permintaan jurugambar yang merakamkan wajahnya, lekas diikutkan tanpa banyak rungutan, malah sesekali dia pula yang memberikan idea untuk memberikan posisi terbaik. Fyza pelakon yang ingin belajar dan punya kesungguhan tinggi dengan apa yang ingin dikejarnya.
“Saya banyak belajar dan semuanya adalah pendedahan yang diberikan syarikat pengurusan di MIG. Saya bersyukur kerana kini sudah pandai menyesuaikan diri dan tidak lagi berasa kekok untuk bertemu pihak media. Maklumlah sebelum ini saya masih baru dan tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam lapangan seni, pastinya malu dan sentiasa janggal untuk memulakan bicara. “Namun selepas diberikan kepercayaan dan sokongan tidak henti, saya mula nampak arah tuju dan apa yang perlu dilakukan untuk menjadi seorang anak seni yang baik,” katanya tersenyum. Gadis jelita yang kini berusia 27 tahun ini mula muncul memegang watak penting dalam filem Ngongkrong sebelum menjadi watak sampingan dalam filem Senario Opps Pocot dan Pe3.
Pejam celik, pelakon kelahiran Johor Bahru yang tidak lekang mengukir senyuman ini sudahpun setahun lebih bersama MIG. Jelas usaha MIG dalam menggilap bakatnya mula menampakkan hasil. “Alhamdulillah setahun lebih bersama syarikat pengurusan, saya nampak peningkatan dalam kerjaya dan yakin untuk terus mengukuhkan tapak yang sudah disediakan ini. Apa yang penting adalah memberikan tumpuan dan penekanan dalam membaiki lakonan dan tidak menghampakan David (Teo) yang selama ini percaya dengan bakat saya. “Bagaimanapun, tidak saya nafikan, mencipta nama dan cuba membuktikan bakat yang ada bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Memang andaian dan tanggapan orang luar sentiasa positif saja mengenai seseorang pelakon, popular dan sering menjadi perhatian. Namun hakikatnya, ia menuntut banyak kesabaran, komitmen dan kesungguhan. “Setakat ini saya bersyukur kerana tidak lagi terpalit dengan mana-mana kontroversi atau gosip kerana jujurnya saya takut untuk berdepan dengan situasi sebegitu, lebih-lebih lagi masih baru. Biarlah perlahan untuk saya ke depan, namun semuanya atas usaha sendiri kerana akhirnya nanti ia akan memberi kepuasan kepada saya. “Peluang yang diberikan cukup berharga dan saya juga bertuah kerana dikelilingi ramai penggiat seni yang tidak pernah lokek ilmu. Itu lebih menggembirakan dan insya-Allah, saya akan buktikan sesuatu kepada mereka yang menyokong satu hari nanti,” katanya yang tegas mengatakan yang dirinya masih sendiri dan tidak pernah memikirkan soal kekasih buat masa sekarang. Dalam diam tanpa hebahan publisiti yang meluas, gadis peramah ini sudahpun membintangi lapan filem termasuk 1 Lawan 1, Kisah Paling Gangster, Salam Cinta serta Ajiboy dan semuanya masih menunggu tarikh tayangan. Selepas Ngongkrong, Fyza akan muncul dengan filem Seram Sejuk yang akan ditayangkan Aidilfitri ini. Pertama kali nampak bakatnya akan menjadi perhatian, Fyza yang juga graduan jurusan Fesyen dan Rekaan Tekstil dari Institut Seni Malaysia (MIA) mengakui terlalu bimbang dan gementar dengan reaksi penonton. “Saya melakonkan watak Mawar dan kemudian berubah menjadi satu lagi watak hantu dengan nama yang sama. Kiranya saya perlu mendalami dua emosi berbeza dan pembangunan watak yang lain sama sekali. Mujur pengarahnya, Azhari Zain dan pelakon lain seperti Angah, Sabri Yunus dan Wawa Zainal banyak membantu. “Menariknya, saya perlu melakonkan watak hantu lengkap dengan solekan yang saya sendiri kagum. Memang hebat produksi ini dan semuanya bagai sebuah keluarga bagi memastikan keseluruhan produksi berjalan lancar. “Mawar memang penuh drama dan menakutkan, namun filem ini diselitkan dengan elemen komedi untuk menyesuaikannya dengan permintaan peminat wayang. “Saya jujurnya berasa gusar walaupun sudah beberapa kali berlakon. Ini kerana Seram Sejuk meletakkan saya di depan dan filem ini akan ditayangkan pada hari raya ini dan ramai penonton akan mencuri masa menontonnya. Inilah cabaran dan kayu ukur bagi saya untuk melihat sejauh mana kemampuan saya dan saya berjanji akan menerima segala kritikan untuk memperbaikinya pada kemudian hari. “Lebih kelakar lagi, semua keluarga dan sanak-saudara saya sudahpun berjanji untuk beramai-ramai menyaksikan filem ini pada hari raya kedua nanti bagi memberikan sokongan. Itu lebih menakutkan saya,” katanya berseloroh. Pastikan peminat filem tempatan tidak ketinggalan untuk menyaksikan filem Seram Sejuk yang pastinya memberikan sebuah pengalaman baru pada Aidilfitri nanti. Aidilfitri tanpa ayah MENYENTUH persiapan dan cerita hari rayanya pula, ekspresi wajahnya berubah. Senyuman yang tadi meleret terus sedikit terganggu bagai menterjemahkan perasaannya. Selepas terdiam seketika, baru bibirnya merungkai segala-galanya. “Sebenarnya saya tidak langsung membuat persiapan atau sebarang perancangan Aidilfitri tahun ini kerana kami sekeluarga baru saja kehilangan ayah. Kiranya ini adalah Ramadan dan Aidilfitri pertama kami tanpa ayah bersama,” katanya yang kehilangan ayah tersayang, A Kadir Muhamad pada 1 Januari lalu kerana sakit angin ahmar. Bagaimanapun, tambah Fyza, dia bersyukur kerana diberi peluang dan kesempatan untuk menjaga arwah ayahnya ketika terlantar sakit lebih enam bulan sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. “Ayah pergi memang mengejut kerana tidak pula kami sangka seawal itu. Kesihatannya makin pulih ketika itu namun sudah ajal dan ketentuan, ayah pergi juga. Tapi saya bersyukur kerana berpeluang menjaganya sepanjang dia terlantar sakit dan sering mencuri masa untuk berulang-alik ke Johor Bahru untuk menjenguk keadaannya ketika itu. “Tahun ini, kami sudah hilang seorang insan yang amat bermakna dan kami sayangi. Selalunya ayah yang paling kecoh mengusik kami adik-beradik dan ibu ketika membuat persiapan raya. Ayah juga yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada saya untuk menceburi bidang lakonan ini dan kini semuanya tinggal kenangan. “Justeru, kami sepakat sekeluarga untuk menyambut Aidilfitri di rumah nenek di Cheras saja. Rasanya semua adik-beradik tidak sanggup untuk terus menyambut hari raya di rumah keluarga kami di Johor Bahru kerana takut sedih nanti. Tapi insya-Allah pada raya ketiga atau keempat, kami semua akan pulang ke sana untuk menziarahi pusara dan sanak-saudara yang lain,” katanya sayu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails