Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Almy Nadia buat keputusan

BENAR. Ramai yang melahirkan rasa bosan apabila seseorang artis kerap benar mencanang cerita cinta mereka kepada umum. Walhal semua orang tahu, sejauh mana sangat cerita cinta mereka itu boleh sampai ke penamat cerita yang bahagia. Sudah banyak berlaku di depan mata. Bercinta bagai nak rak. Menjaja kisah cinta semacam mereka sahaja yang punya kehidupan bahagia dan hidup bagai sepasang merpati dua sejoli. Namun itu satu perkara biasa bagi mana-mana pasangan bercinta. Kalau tidak, tak akan wujudlah istilah orang sedang mabuk cinta. Pun begitu, ada sesuatu yang menarik tentang Almy Nadia Shaiful Khairil. Umum sudah tahu, pelakon berusia 26 tahun ini merupakan teman wanita kepada pelakon Fizz Fairuz. Tahun 2012 menyaksikan ikatan dua hati itu menginjak kepada usia enam tahun. Bukan satu tempoh yang sekejap kalau difikir sejenak. Pelbagai laluan berliku telah dilalui oleh Almy dan Fizz. Bercinta, putus dan sambung kembali. Pasang surut kisah mereka berdua yang ternyata tak pernah lekang mengundang perasaan ingin tahu semua orang terutama peminat. Tempoh hari juga menyaksikan satu lagi cabaran baru buat pasangan Almy dan Fizz yang dikatakan putus cinta. Cuma bezanya kali ini, Almy sudah bijak. Dia tidak lagi keterlaluan mencanang cintanya kepada umum kerana tidak mahu lagi dibelenggu kontroversi. Sedar bahawa terlalu ringan mulut boleh membawa padah, pelakon yang berasal dari Tapah, Perak ini cukup tebal membina tembok transparensi demi memastikan tiada lagi bait-bait kata rahsia terlepas. Dalam hal ini, tentu sekali isu mengenai dia dan Fizz. Bagi Almy, status masih bercinta atau tidak, cuma dia dan lelaki itu sahaja yang tahu. "Tak ada apa lagi untuk diceritakan. Saya juga tak ada jawapan untuk sebarang soalan sama ada saya sudah putus atau tidak dengan Fizz mahupun single atau tidak. "Saya dah tak nak buka mulut. Itu sudah cukup untuk menjawab sebarang soalan mengenai hal ini," katanya. Secara zahir, memang terserlah rasa kurang senang di wajah Almy ketika soalan ini diajukan. Sempat juga ditanya sama ada dia ada hati untuk mencari pengganti Fizz. Lalu ini jawapan yang diberikan. "Pengganti? Apa motifnya saya nak cari pengganti? " ulas Almy ibarat sengaja meninggalkan kenyataan tanpa noktah di penghujung bicara. Nampak tegas. Itu yang boleh digambarkan pada Almy atau mungkin sekali dia sudah penat untuk bercakap hal yang sama setiap kali ditemuramah. Dalam nada yang kembali tenang, Almy memberi penjelasan mengapa dia terpaksa menjadi seorang perahsia kini. "Saya betul-betul mohon maaf, untuk apa jua kesalahan saya. Iyalah, mungkin sebelum ini saya pernah terkasar bahasa dan membuat sesetengah pihak media tersinggung. "Saya tahu, bila media datang bertanya mengenai hal ini, itu adalah kerana kerja mereka. Saya tak pernah salahkan wartawan yang datang bertanya. "Cuma apa yang saya kesal ialah segelintir pihak yang buat cerita tanpa bertanya kepada saya terlebih dahulu dan kemudian siarkan benda yang saya tak cakap pun. "Jadi itu sebab saya perlu bertegas. Cukup-cukuplah dengan kontroversi sebelum ini gara-gara saya terlalu terbuka. "Sekarang, transparensi bukan lagi perkara yang perlu saya praktikkan. Maaflah, saya terpaksa buat begini. "Ada benda yang saya boleh jawab apabila ditanya dan ada benda yang tak perlu saya jawab. Saya betul-betul berharap agar semua pihak memahami dan boleh menerima keputusan saya ini," katanya. Menggali perasaannya tentang lelaki, kata Almy, dia tidak pernah meletakkan sebarang syarat semata-mata untuk mengejar lelaki sempurna. Bahkan baginya, dia tidak kisah untuk berkawan dengan sesiapa pun. Cuma, apa yang dibimbangi ialah dapatkah seorang lelaki itu menerima diri, keluarga serta anak angkatnya yang bernama Nur Afrina Darwisyah, 3. "Saya ni bukan datangnya dari keluarga senang. Saya anak sulung dan bekerja untuk menyara keluarga. Tambahan pula, saya ni ada anak angkat yang saya jaga sejak dia kecil. "Saya tahu, tak semua lelaki faham keadaan ini. Kalau diberi pilihan, saya cuma mahukan lelaki yang dapat menerima seadanya. Bukan cuma saya, tapi juga keluarga dan anak saya. "Kadang-kadang ada lelaki baik tapi dia tidak boleh menerima anak kita. Tapi kalau dia jahat sekali pun, namun dia menerima saya dan anak, itu adalah lebih memadai, " ujarnya. Enggan toleh belakangMenyedari terlalu banyak getir yang dilalui olehnya sepanjang menjalin hubungan cinta dengan Fizz, Almy bagaimanapun mengaku, selepas apa yang telah terjadi, dia lebih senang untuk meletakkan fikirannya di skala positif. Menurut Almy, kontroversi lalu begitu mematangkan dirinya walau perit untuk ditelan. Maka jangan dipersoalkan apabila dia membuat keputusan untuk menutup buku lama dan memulakan langkah baru dalam hidupnya tanpa perlu berlandaskan perancangan rapi. "Dulu, saya sering menyusun perancangan. Namun banyak yang dirancang tak menjadi. Bila tak jadi, saya jadi sedih. Jadi ia mengajar saya untuk tidak lagi begitu. "Sekarang, saya berjalan dan pandang saja ke hadapan. Apa saja yang datang di depan, saya teruskan tanpa perlu menoleh ke belakang. "Betullah apa orang cakap. Kita ni hanya merancang, tapi yang tentukan siapa? Tuhan bukan? Sebab itu kini saya serahkan sahaja semuanya kepada-Nya. "Sebab saya percaya, Dia boleh memberi dan Dia juga boleh menarik segala apa yang diberi. Serah sahaja pada Yang Maha Esa," katanya. Kawan dan lawanSelain dugaan percintaan, pelakon Cinta Buat Emelda dan Dunia Baru ini turut ditimpa musibah yang menyaksikan dia menghidap apendiks. Dimasukkan ke Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) pada 23 Mei lalu selepas mengalami sakit perut yang teruk, buat pertama kalinya dalam hidup, Almy mengaku dia tidak pernah menyangka akan sakit sedemikian rupa. "Saya ni dari kecil memang susah nak dapat sakit. Tak sangka bila sekali dapat sakit, ke hospital terus jawapannya. Terus terang saya katakan, saya sendiri pun tak tahu yang saya ada apendiks. "Boleh dikatakan, ia berlaku secara tiba-tiba sedangkan sebelum itu saya sihat saja. Langsung tak ada 'siren', saya kemudian jatuh sakit dan terus dibawa ke hospital," katanya. Hampir saja berada di ambang maut, kata Almy, apendiks yang dialaminya itu boleh dikelaskan sebagai kritikal. Meskipun kini semakin pulih, kata Almy, sehingga saat ini dia masih belum dapat melupakan pengalaman itu yang begitu menginsafkan. "Masuk saja ke bilik pembedahan, tiada apa yang saya ingatkan. Wajah emak, wajah keluarga tak ada dalam ingatan. Yang ada cuma Tuhan. Air mata mengalir laju tatkala disorong masuk ke bilik bedah. "Ketika itu, saya sampai bermohon, kalau Tuhan nak ambil nyawa saya, ambillah ketika itu kerana saya tak mahu saya mati dalam keadaan saya sedar," katanya. Cerita Almy lagi, ketika dikurniakan sakit itu, hijabnya juga bagai dibuka Tuhan untuk melihat siapa kawan dan siapa lawan. Apa yang menyentuh hati wanita ini, dia tidak menyangka, kawan yang selama ini dianggap sahabat, langsung tidak membantunya ketika jatuh sakit apatah lagi datang menjenguknya di hospital. "Inilah hikmah yang Tuhan nak tunjukkan pada saya. Dia mahu saya menilai mana kawan dan mana lawan. "Jadi dari situ saya nampak, kalau masa kita ada duit dan senang, ramailah yang nak berkawan. Tapi bila kita susah, kawan lari," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails