Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ramadan di New York - Liyana Jasmay

Liyana tak kesunyian ditemani ibu bapa sambut ketibaan puasa di rantau orang SEJAK awal Julai lalu, Liyana Jasmay, 24, membawa diri ke New York. Bukan merajuk, tidak juga berjauh hati sebaliknya pemergian Liyana membawa misi penting untuk masa depannya. Seperti diketahui, Liyana ke New York untuk melanjutkan pengajian jangka pendek dalam bidang pengarahan dan lakonan selama enam bulan di New York Film Academy (NYFA). Tidak bersendirian kerana ditemani ibu tersayang, Habsah Simpon, bapa Liyana, Jasmay Md Shah turut bersama pada permulaan untuk memastikan anak bongsu mereka selesa memulakan hidup baru di rantau orang. Ketika artikel ini ditulis anak manja yang mesra disapa Nana masih berdepan masalah mencari rumah untuk didiami mereka selama tempoh berada di sana. “Buat sementara waktu, kami menginap di hotel berdekatan kawasan Gramercy hingga mendapat rumah. Ikutkan Babah menemani Nana dengan Mama tak lama di sini. Memandangkan masalah mencari rumah yang sesuai belum selesai, Babah tangguhkan dulu kepulangannya untuk menguruskan hal ini. “Memikirkan masalah itu, persiapan menyambut Ramadan dilakukan ala kadar. Untuk berbuka lebih mudah jika di luar kerana kebetulan, di kawasan berdekatan banyak pilihan restoran India yang halal. “Ada hikmahnya juga perkara ini berlaku, sekurang-kurangnya dapat juga Nana menyambut Ramadan dengan Babah dan Mama. “Lagipun Nana jenis yang tak pernah hidup berjauhan dengan keluarga, jadi apabila mereka bersama Nana mendapat kekuatan untuk memulakan hidup baru di sini,” kata Liyana menerusi kiriman emelnya baru-baru ini. Pemergiannya itu secara tidak langsung membuatkan Nana berjauhan dengan insan yang paling istimewa dalam hidupnya, Fathuddin Mazlan. Bagaimanapun, kemudahan teknologi seperti Skype dan Facebook menjadi penghubung kasih di antara Nana dengan tunangnya itu. “Dulu sewaktu awal perancangan Nana untuk belajar di sini, teruja juga. Tapi saat beberapa minggu sebelum terbang ke sini, Nana jadi sedih meninggalkan insan paling rapat dan disayangi di Malaysia. Tapi mahu atau tidak Nana perlu kuatkan semangat demi melunaskan pengajian ini. “Kelas Nana di akademi ini pun sudah bermula. Kelas Nana ada empat hari dalam seminggu bermula dari Isnin hingga Khamis. Alhamdulillah Nana sudah mula merasai keseronokan menuntut di sini. Suasana dalam kelas pun bagus. Nana pun sudah banyak berjumpa kawan sekelas baru dari serata dunia. “Ada yang dari India, Rome, Columbia, Sao Paulo Brazil, London dan Ireland. Ada juga di antara mereka itu yang bergelar pelakon seperti Nana. Contohnya dari India itu seorang pelakon baru yang dihantar agensinya ke sini untuk menjadi pelakon yang lebih baik dan dari Columbia pula bergelar pelakon soap opera di sana,” katanya bersemangat sambil memberitahu perjalanan dari hotel ke NYFA hanya sekitar 10 minit menggunakan teksi. Tambah pelakon genit itu lagi, jika tidak terikat dengan jadual kuliah, masanya akan dihabiskan bersama keluarga. Bagaimanapun, pergerakan mereka sedikit terbatas dan peluang menjelajah seluruh pelusuk kota metropolitan itu sedikit terganggu disebabkan belum mempunyai kediaman tetap. “Nana dan keluarga juga tak ketinggalan membeli barang keperluan. Nana juga tak ketinggalan menonton persembahan teater dan filem di Memphis. Nana juga nak memanfaatkan berada di sini untuk menonton semua persembahan broadway di sini,” katanya yang turut ingin mencuri peluang menyaksikan acara berkaitan fesyen dan meluaskan jaringan seninya di sana. Sekembalinya dari New York, Nana akan kembali menghitung hari hari bahagianya bersama Fathuddin. Mereka akan melangsungkan pernikahan pada 24 Januari depan. Keesokannya pula berlangsung majlis persandingan dan pada majlis bertandang pada 9 Februari. Pasangan ini bertunang pada Mac lalu.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails