Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Air tangan Fazley bawa rahmat

KEBANYAKAN penonton yang mengikuti program MasterChef Selebriti Malaysia 2012 sedari awal begitu yakin kemenangan akan berpihak kepada Datuk Fazley Yaakob, 34. Namun bagi empunya diri, dia sendiri tidak pernah terfikir bakal menjadi juara seterusnya meraih hadiah berjumlah RM57,500 untuk disumbangkan kepada Yayasan Jantung Malaysia. Menurut Fazley, sewaktu pertandingan akhir berlangsung, dia sebenarnya gementar berhadapan dengan pesaing, Angah Raja Lawak. “Mungkin penonton tidak tahu, Angah ini kalau masak semuanya sedap. Lepas itu dia dapat menu dapur Asia, saya rasa memang kelebihan untuknya. “Awal-awal lagi saya dan Angah sudah bincang, apa yang kami buat ini bukan untuk bersaing tapi membantu mencari dana untuk badan kebajikan," katanya. Kata Fazley, biarpun berdebar namun tetap lega kerana pada pertandingan akhir dia mendapat menu masakan barat yang sudah biasa dilakukan dalam kehidupan seharian. “Memang bersyukur sangat bila dapat menu masakan barat kerana saya sudah biasa dan sebab itulah saya buat pastri, steak dan mushroom. “Kelegaan saya bertukar menjadi resah apabila diberitahu tempoh masakan bukan tiga jam seperti yang diuar-uarkan pada awal. Ada yang cadang saya tukar menu tapi saya tekad untuk teruskan sahaja dengan menu asal kerana matlamat saya adalah untuk habiskan apa yang telah dirancang," jelasnya. Kata penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini, apa yang diraih mungkin kerana tuah anak ketiganya, Ahmad Fierudz Shah (Piyush), 10 bulan. Dua lagi anak Fazley adalah Ahmad Fariedz Shah, (Payish) 4, Ahmad Fieradz Shah, (Piyash) 2, hasil perkahwinannya dengan Datin Azreen Soraya pada 2010. “Mungkin menu yang saya pilih itu bertepatan dan menarik perhatian juri. Sebenarnya, penat juga waktu pertandingan akhir itu. Mana taknya, kira-kira 18 kali saya berlari ulang alik antara dapur. “Bila sudah macam itu, saya tidak fikir apa-apa, janji masakan saya siap. Alhamdulillah, saya dapat siapkan ia dalam waktu yang ditetapkan," katanya tersenyum. Menurut Fazley, dia teruja untuk menyertai MasterChef Selebriti kerana ia sebuah program bercorak amal. Ditawar jadi hos Hasil kemenangan itu, pihak Astro telah menawarkan Fazley untuk menjadi hos program Chef Suprise untuk 13 episod. Menerusi program tersebut, selain bertindak sebagai hos, dia juga akan beraksi sebagai chef menyediakan masakan untuk tetamu. “Setakat ini saya telah buat penggambaran untuk tiga episod iaitu dengan Angah Raja Lawak, Sazzy Falak dan Ropi Cecupak. “Dalam program ini, selebriti boleh buat permintaan untuk mengejutkan suami, isteri atau sahabat handai mereka. “Tugas saya pula menyediakan masakan mengikut kehendak mereka untuk tetamu yang dipilih oleh selebriti tersebut. “Saya pun tidak tahu siapa tetamu undangan kerana penerbit hanya akan beritahu saya saat akhir," ceritanya. Kata Fazley, kemenangan sebagai juara MasterChef Selebriti Malaysia membawa banyak rahmat kepadanya. Jika selama ini dia sering diundang untuk menjadi penceramah atau memberi motivasi kepada orang ramai, sekarang ini tugasnya bertambah sebagai chef pula. “Dari memberi ceramah di dewan, saya kena beri ceramah kat dapur pula. Biarpun tugas bertambah tapi saya suka kerana dapat berkongsi segala ilmu yang saya pelajari dalam MasterChef dengan orang luar. “Selama ini saya tidak pernah terfikir untuk mencipta menu baru, tapi sejak berhadapan dengan cabaran MasterChef, apa sahaja bahan yang diberi, saya rasa boleh buat sahaja," katanya. Ditanya adakah dia bercadang memperkembangkan kebolehan memasak itu dengan membuka restoran, dengan pantas Fazley berkata buat masa sekarang dia tidak bercadang melakukannya. Bagi Fazley, dia lebih selesa meneruskan tanggungjawab sebagai penceramah bebas, penyanyi, pengacara, penulis lirik dan komposer serta ketua rumah tangga. Sementara itu, sepanjang hari Jumaat dan Sabtu dalam bulan Ramadan ini, Fazley akan menjadi chef jemputan di Hotel Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya. “Resipi saya dalam MasterChef akan disajikan di sana dan selain memasak, saya sendiri akan melayan tetamu yang datang," katanya. Kembali aktif Fazley yang pernah menghasilkan album Asmara Ini (2001), Seribu Kemaafan (2002), Cerita Asmara (2003) dan Lain (2006) sebenarnya sudah lebih empat tahun tidak aktif sebagai penyanyi. Kata Fazley, dalam tempoh tersebut dia banyak bekerja di belakang tabir seperti menjadi motivator untuk peserta Akademi Fantasia. “Tahun ini saya berazam untuk kembali aktif sebagai penyanyi. Lagu yang saya pilih untuk kembali dalam bidang ini adalah Jaga-Jaga. “Jaga-Jaga adalah lagu asal daripada Yale-Yale nyayian Rhoma Irama. Saya pilih lagu itu kerana ia kegemaran ibu dan ayah. Lagu itu saya dendangkan kembali dengan Altimet," katanya. Untuk single itu, selain Altimet, Fazley juga bekerjasama dengan penyanyi Imran Ajmain di dalam studio dan lagu tersebut telah pun dimuat turun di laman YouTube. Fazley menyasarkan sebuah album setahun dan selepas raya, dia akan turun padang untuk membuat promosi secara besar-besaran. Dia yang pernah berlakon sebagai hero untuk filem Gila Bola terbitan Nizarman Production pada 2003 berkata, sampai sekarang masih ada tawaran berlakon. “Saya baru selesai menjalani penggambaran drama Metro Skuad dan ada juga tawaran filem, tetapi masih dalam perbincangan. “Kalau jadual kerja saya tidak bertindih dan ada kelapangan, saya tidak pernah menolak untuk berlakon atau mengacara. Bagi saya semua itu aktiviti yang saya suka," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails