Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Teruja diiktiraf-Shamsul


MALAM ini menjadi penentuan kepada kejayaan terbesar sepanjang karier pengarah dan pelakon muda, Syamsul Yusof, 26, sekiranya dia dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23). Menerusi tiga kali FFM, FFM23 barulah mencatat pencapaian terbaik bagi anak teruna Datuk Yusof Haslam ini. Namun, segala-galanya akan menjadi kenyataan apabila keputusannya bakal diumumkan beberapa jam saja lagi.

Menerusi filem ketiga arahan Syamsul, Evolusi KL Drift 2 (EKLD2), ia memasuki finalis sebanyak tujuh pencalonan kategori termasuk Pelakon Lelaki Terbaik. Filem itu telobah menobahkan pelakonnya, Shaheizy Sam untuk menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada malam perasmian FFM23 sempena Anugerah Cipta, Rabu lalu.

Malam kemuncak FFM23 akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan Astro Prima mulai jam 8 malam ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam.

Syamsul, 26, mengakui, EKLD2 boleh dianggap pencapaian luar biasa dirinya selama dia terbabit dalam industri seni, manakala filem berkenaan adalah satu-satunya filem terbitan Skop Productions yang mendapat pencalonan terbanyak dalam sejarah penganjuran FFM! Malah, sebelum ini, filem itu juiga membuat kejutan apabila ditayangkan tempoh hari, ia berjaya mencecah kutipan RM6 juta.

“Inilah yang dinamakan evolusi seni karier saya dan pencapaian terbaik daripada Skop Productions. Saya benar-benar teruja dan dihargai. Rasa tersentuh apabila penilaian juri profesional memberi pengiktirafan kepada EKLD2. Bagi saya, menerusi tujuh kategori yang dipertandingkan, biarlah EKLD2 bakal membawa pulang sekurang-kurangnya satu atau dua trofi.

“Secara peribadi, saya memang mengimpikan kemenangan besar sekiranya dapat merangkul gelaran Pelakon Lelaki Terbaik. Tipulah kalau saya kata tak mengharapkan kemenangan itu. Cuma, saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana perlu bersaing dengan nama-nama besar yang lain. Jujurnya, saya sudah pun merasai kemenangannya apabila EKLD2 berjaya mencapai kutipan RM6 juta dan diiktiraf menerusi tujuh kategori.

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan barisan juri menilai kemampuan EKLD2. Selain terlalu gembira apabila tercalon menerusi kategori utama pada FFM23 ini, malam ini juga saya akan muncul menerusi segmen persembahan apabila berkoloborasi dengan Radhi OAG dan kumpulan Burn & Soul mendendangkan lagu tema EKLD2 versi baru.
“Menerusi FFM23, saya turut mencipta sejarah peribadi apabila buat kali pertama saya akan muncul sebagai penyanyi, sekali gus membuat persembahan secara live di depan ribuan penonton pada majlis berprestij!,” kata Syamsul yang kini semakin berjinak-jinak dalam bidang nyanyian selepas menempa nama sebagai pelakon dan pengarah sebelum ini.

Katanya lagi, dia bercita-cita menjejaki langkah Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berjaya sebagai pelakon, pengarah dan penyanyi sekali gus. Jelasnya lagi, P Ramlee adalah antara idola kejayaan beliau hari ini, selain menjadikan bapanya sendiri, Yusof Haslam sebagai contoh paling hampir.

“Bagi saya, tiada yang mudah dalam hidup ini, kita perlu bekerja keras dan mendisiplinkan diri sekiranya mahu karya kita sentiasa dinilai dan diterima baik oleh peminat,” kata Syamsul yang turut memaklumkan, trailer filem terbaru arahannya, Khurafat: Perjanjian Syaitan akan dipertontonkan buat kali pertama kepada peminat pada Malam Anugerah FFM23 sebelum menjengah pawagam mulai 13 Januari 2011.

Tidak lengkap temubual bersama Syamsul sekiranya tidak diajukan soalan peribadi kepadanya. Namun, sesuatu yang menarik mengenai Syamsul, dia tidak pernah mengelak apabila diajak berbicara soal cinta dan teman hidup kerana bagi dirinya yang kini dikenali sebagai selebriti, peminat pasti ingin mengetahui sedikit sebanyak perihal kehidupan peribadi beliau asal saja tidak keterlaluan.

Umum sedia maklum, dia pernah putus cinta dengan aktres jelita, Diana Danielle, selain digosip menjalin hubungan cinta dengan beberapa artis popular seperti Julia Ziegler, Stacy Akademi Fantasia 6 (AF6), Scha Al-Yahya dan gadis kebanyakan yang dikenali sebagai Nabila. Namun, semuanya tiada kesudahan.

“Saya bukannya remaja lagi, tapi sudah awal kedewasaan. Seharusnya saya sudah memiliki teman hidup istimewa, bukan masa untuk main-main lagi. Namun, terus-terang, buat masa ini, saya belum terikat dengan sesiapa pun lagi. Saya masih mencari untuk menamatkan zaman bujang. Pada masa sama, ramai calon yang dicadangkan oleh ibu (Datin Fatimah Ismail), tapi kebanyakannya saya tak berminat, pintu hati belum terbuka lagi.

“Rata-rata gadis yang saya kenali mempunyai masalah dengan masa kerja saya yang begitu padat. Saya tak boleh selalu dating dan 24 jam nak report duty atau punch card!,” terang Syamsul.

Bagaimana dengan Norliana atau Yana yang kali pertama bergandingan dengannya dalam fotografi ini, adakah dia boleh memenuhi kriteria yang diidamkan Syamsul, dengan pantas beliau mencelah: “Saya senang dengan karakter Yana. Dia gemar berjenaka. Tapi sayang, Yana tak boleh get along dengan saya.”

“Sebabnya Yana bukan bermata biru! Hanya gadis bermata biru saja, bukan pakai kanta lekap ya yang dapat mencairkan, seterusnya membuka pintu hati saya untuk bercinta lagi,” kata Syamsul berseloroh diikuti ketawa besar.

Sementara itu, pasangan Syamsul dalam fotografi sempena FFM23, Yana, 26, akui terharu apabila trofi berprestij sudah berada dalam genggamannya apabila beliau sudah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Adnan Sempit. Yana menerima trofi berkenaan pada Majlis Perasmian FFM23 di Centre Atrium e@Curve, Mutiara Damansara pada Rabu lalu.

Yana memegang watak sebagai Wawa menerusi filem Adnan Sempit yang berjaya mencecah kutipan RM7.8 juta apabila memasuki pawagam awal tahun ini. Pun begitu, Yana baru saja serius bergelar pelakon pada awal 2009 kerana sebelum ini dia hanya menerima tawaran berlakon pada cuti semester saja. Justeru, Yana mengecapi kemenangan pada majlis berprestij pada usia setahun jagung. Adil ke?

“Saya tak nafikan, saya memperoleh kemenangan dalam masa singkat. Baru setahun sembilan bulan saya berada dalam industri lakonan, bakat saya sudah diiktiraf pada FFM23. Namun, diam tak diam, sebenarnya sudah tujuh tahun saya menceburi bidang seni, tapi secara sambilan saja bermula sebagai penyanyi. Dari situ, saya mendalami ilmu lakonan dan alhamdulillah, kerja keras saya selama ini berbaloi!

“Terus-terang saya katakan, saya bertanding dengan nama-nama besar yang mempunyai pengalaman lebih luas dalam bidang lakonan. Tapi, sebagai orang baru, saya tetap mempunyai cita-cita dan hasrat memberi saingan menerusi kategori berkenaan. Sekalipun diri ini terlalu kerdil dalam industri, namun saya bersyukur kerana bakat dan kerja keras saya mendapat pengiktirafan juri.

“Sekarang baru saya sedar, orang menilai kerja kita apabila kita melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Saya memberikan 100 peratus komitmen dalam Adnan Sempit. Seperkara lagi, tarikh 20.10.2010 benar-benar membawa tuah dalam diri saya apabila trofi kemenangan diterima pada hari berkenaan.

“Kini, saya mengidam pula trofi Pelakon Wanita Terbaik. Namun, syarat menyertai kategori berkenaan, aktres itu perlu diberi peranan utama dalam filem. Saya pula belum diberi peluang secara total,” kata bekas kekasih Pierre Andre ini.

Kembali arah filem tahun depan

HAMPIR tujuh tahun, Yana Samsudin memperjudikan nasibnya dalam dunia seni. Selama itu juga, untung nasib mempertaruhkan bakatnya diserahkan untuk diadili peminat dan pemerhati seni. Bermula sebagai penyanyi runut bunyi bagi filem terbitan Metrowealth (MIG) milik David Teo, Yana sudah mencuba banyak cabang kerja.

Gadis kelahiran Yong Peng, Johor ini pernah bekerja di belakang tabir termasuk menyunting hasil kerja MIG. Pada awal pembabitannya, dia pernah menjadi pelakon tambahan dalam filem termasuk Mami Jarum Junior, Tujuh Perhatian, Potret Mistik dan Main-Main Cinta.

Bukan itu saja, beberapa kali juga Yana yang genap berusia 26 tahun pada 25 September lalu, melakukan penjenamaan baru dengan menukar namanya. Sebelum Yana, nama Reanna dan nama asalnya Norliana Shamsudin pernah diguna pakai.

“Selepas berbincang dengan David Teo, akhirnya saya sepakat menggunakan kembali nama Yana Samsudin untuk tujuan berlakon dan komersial. Tapi untuk kerja pengarahan, saya memilih kekalkan nama asal, Norliana Samsudin,” katanya yang turut menyertai Skim 10 Pengarah Muda di bawah MIG.

Berkat tidak pernah mengenal erti putus asa, Yana kini boleh berbangga dengan pencapaiannya. Berlakon dalam filem Adnan Sempit dan memegang watak Wawa seorang setiausaha yang tiba-tiba berubah ke dunia ‘mat rempit’ ternyata memberi tuah yang meledakkan namanya hingga dinobatkan pemenang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM23.

“Watak itu sedikit sebanyak memberi tempias hingga kadang-kadang ada orang yang tidak mengenali siapa itu Yana berbanding Wawa. Saya tak ralat, tetapi perlu berterima kasih dengan watak itu yang memberi impak pada kerjaya lakonan saya,” kata gadis berlesung pipit itu. dia turut beraksi dalam filem Kongsi arahan Farid Kamil.

“Tahun depan, saya akan kembali mengarah. Ikutkan skim pengarahan itu, saya kena hasilkan 10 filem untuk MIG. Tapi setakat ini, saya baru saja mengarah satu filem, Selamat Pagi Cinta. Kalau berpeluang mengarah filem genre cinta dan thriller pun sudah cukup bagus," katanya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails