Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Erin Malek kalis kontroversi


MERENUNG kembali apa yang telah terjadi, hatinya cukup luka. Bukan luka kerana keterlanjuran kata-kata yang keluar dari mulutnya tapi luka kerana mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Jika rakan-rakan seusia yang lain sedang sibuk menghabiskan usia remaja dengan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan, pelakon Erin Malek pula terjerat dalam kontroversi yang diciptakan oleh keadaan.

Enggan terus diburu pelbagai emosi yang bersarang dalam hati kecilnya itu, dia bertekad tidak mahu terus diburu perasaan bersalah sedangkan sepatutnya orang lain bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan.

Satu Malaysia tahu apa yang telah terjadi antara dirinya dan pelakon Fiza Elite. Cerita kononnya Fiza ‘melarikan’ bapanya, Abdul Malik Marwi dan menjalinkan skandal cukup hangat diperkatakan. Gara-gara kisah peribadi mencengkam, dia seringkali berbalas kenyataan tentang kisah hitam yang melanda bapanya sendiri.

Bukan apa, sebagai manusia biasa yang cukup kerdil, dia juga berhak memberi pandangan dan mengeluarkan kenyataan memandangkan isu tersebut melibatkan maruah keluarganya.

Bagi Erin, tidak ada apa yang lebih berharga selain mempunyai keluarga yang bahagia seperti mana yang pernah dikecapi satu ketika dahulu. Cukup serba serbi untuk meneruskan kelangsungan hidup seperti orang lain.

Gadis yang baru sahaja menginjak usia 16 tahun cukup kuat mengharung ombak tak bertepi. Bagi dirinya segala yang berlaku itu memberikan pengajaran yang cukup berguna sebagai bekalan pada masa hadapan.

Ada yang memandang sinis kelantangan anak sulung daripada tiga beradik ini mempertahankan maruah keluarga dari terus dipijak-pijak. Baginya tindakan yang dilakukan sebelum ini relevan untuk mengembalikan keadaan kepada sediakala.

“Orang hanya boleh cakap apa yang mereka nak cakap. Yang melaluinya Erin sendirian. Erin hanya buat apa yang difikirkan betul dan jangan terus bertanyakan hal itu kepada Erin.

“Alhamdulillah semuanya dah selesai. Keluarga Erin pun sudah kembali macam biasa. Kadangkala berdiam diri itu lebih baik daripada terus berkata-kata. Andai kata-kata yang keluar itu tak kena pada tempatnya.

“Saya rasa keadaan sudah menjadi sedia kala dan tak ada apa-apa lagi yang harus dikecohkan. Bapa Erin pun dah pulang ke rumah dan kami bahagia seperti dahulu,” tutur Erin dalam pertemuan Khamis lalu.

Makin matang

Mengenali gadis yang sedang meningkat naik di persada seni tempatan ini bagaikan mengenali ‘gadis besi’. Sikapnya yang tak mudah tunduk pada keadaan menyebabkan dia berani menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Sumbatlah dengan apa sahaja cerita dia tahu untuk menangkis. Bagilah apa sahaja cabaran, dia tak anak lari sebelum sampai ke destinasi yang hendak dituju.

Inilah yang membuatkan Erin begitu istimewa. Soal maruah bukan perkara yang boleh dipandang enteng. Kalau boleh dia mahu berhabis-habisan demi mempertahankan maruah keluarga yang dijunjung atas kepalanya.

Namun sebagai manusia biasa Erin juga tidak boleh lari dicengkam rasa sedih. Sedih dengan apa yang telah berlaku menyebabkan dia cukup berhati-hati dengan setiap langkah diatur.

Tidak pernah terfikir untuk menarik diri dari lapangan seni, Erin yakin semakin hari dirinya semakin matang akibat pelbagai perkara yang melanda.

“Kalau dulu Erin hanya membaca surat khabar membaca kontroversi orang lain, kali ini Erin sendiri yang lalui. Nak kata perit tidak juga tapi ia memang mendewasakan Erin.

“Banyak pelajaran yang Erin dapat sementelah semuanya hampir selesai. Bukan Erin berdoa untuk dihimpit dengan kontroversi, tapi kalau ia datang lagi menghimpit Erin sudah tahu apa yang hendak dilakukan.

“Bagi Erin berfikir itu penting daripada terus mengikut emosi. Tak salah untuk Erin berfikir apa yang patut dilakukan sebelum semuanya terlambat. Peristiwa itu benar-benar mengajar Erin untuk berhati-hati selepas ini,” luah pelakon utama drama bersiri Durja Ningsun ini lagi.

Merenung kembali laluan yang pernah dilalui oleh pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah kerajaan di Ampang, Selangor ini, dia teringatkan kata-kata yang pernah diucapkan oleh ayahnya, satu ketika dahulu.

Ayahnya kurang senang apabila dirinya mahu meneruskan minat menjadi pelakon memandangkan banyak cabaran yang perlu dilalui sebelum benar-benar berjaya.

Kata Malek lagi, sekali dia masuk ke lapangan seni, sukar untuk dirinya menarik diri. Sampai bila-bila orang tetap akan menulis dan memperkatakan dirinya sama ada perkara baik mahupun buruk.

“Tapi ini minat Erin. Erin suka apa yang Erin lakukan biarpun dalam usia yang masih muda. Tak salah untuk Erin mengembangkan bakat asalkan tidak menjejaskan pelajaran,” betah Erin lagi.

Mungkin ada yang tidak sedar, wajah manis Erin bukan muka baru dalam industri seni tanah air. Sudah banyak filem dan drama yang dibintanginya menjadikan dirinya cukup ‘laku’ ketika ini.

Memasuki arena ini dengan filem Bilut, Erin mendedahkan itu merupakan kemunculan pertamanya ke layar perak biarpun masih kosong dalam ilmu lakonan.

Selain Bilut antara filem yang pernah dibintangi oleh Erin termasuklah Tentang Bulan, Brainscan, Congkak dan Senjakala yang masih belum ditayangkan.

Tak abai pelajaran

BERCERITA mengenai hal pelajaran, bagai ada tenaga baru yang masuk ke dalam tubuh mulus gadis ini. Rancak sekali dia berbicara tentang aktiviti yang dilakukan sesekali terlepas kisahnya ‘ponteng’ sekolah.

Adat sebagai orang yang tengah naik daun, banyak sekali tawaran yang datang ketika ini.

Tidak mahu terus menjadi hipokrit dengan keadaan yang berlaku, akui Erin ada kalanya dia terpaksa ponteng sekolah semata-mata mahu menerima tawaran berlakon.

“Pernah juga Erin tak hadir ke sekolah dalam satu tempoh masa yang panjang. Erin hantar surat ke sekolah dah menerangkan apa yang berlaku. Alhamdulillah tak ada masalah yang wujud antara Erin dan pihak sekolah.

“Tipulah kalau Erin cakap Erin tak tertinggal dalam pelajaran. Ini memang cabaran yang paling besar untuk membahagikan masa antara pelajaran dan kerjaya.

“Kalau ada pelajaran yang tertinggal pasti Erin kena cepat-cepat ulang kaji. Bila Erin masuk kelas tak lah tertinggal jauh dengan kawan-kawan yang lain. Tapi dekat rumah ada personal tutor yang datang mengajar.

“Pelajaran penting untuk masa depan yang gemilang. Cuma Erin kena berusaha dua kali ganda daripada orang lain. Semua ada, cuma yang tinggal kuat atau tidak sahaja untuk mengecapi apa yang diimpikan,” kata Erin atau nama sebenarnya Nur Ariana Abdul Malek.

Ketika sesi fotografi ini dilangsungkan, kulitnya sedikit gelap. Cerita Erin dia baru sahaja pulang dari Pulau Tioman, Pahang dan melakukan aktiviti skuba di sana.

Memiliki lesen menyelam, ia merupakan satu aktiviti mencabar yang cukup diminatinya. Bagaikan satu kepuasan yang tak terhingga apabila dapat menikmati pemandangan dasar laut yang cukup mendamaikan.

“Erin memang sukakan sukan lasak seperti skuba. Kalau boleh Erin memang nak jadi jurulatih skuba pada masa hadapan. Pulau Tioman memang destinasi yang cukup indah. Sebelum ini Erin pernah lakukan skuba di Phuket, Thailand.

“Sebelum terlibat dengan skuba, Erin pernah belajar pandu bot laju Formula 1. Tapi tak lama mana sangat. Rugi pula rasanya bila berhenti belajar.

“Inilah masa untuk Erin buat apa yang Erin mahu. Kadangkala Erin nak sangat buat satu perkara itu, tapi kekangan waktu yang membatasi segala,” katanya lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails